Beri perhatian sewajarnya pandangan anak muda

Nasional
Typography

SAYA sekali lagi berpeluang melakukan perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pesawat Air Asia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA). Pesawat yang dijadualkan berlepas pada jam 11.05 malam telah ditunda sehingga jam 11.50 malam. Perjalanan untuk menghadiri Liqa' Fikri PAS Pusat yang dijadualkan pada jam 8.30 pagi 24 Februari dilakukan bersama rombongan ahli Dewan Harian PAS Sabah yang diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling.
 
Allah mentakdirkan rombongan kami menaiki pesawat bersama-sama kumpulan Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail yang pada sebelah siangnya mengadakan program di Kota Kinabalu. Penulis dan Bendahari PAS Sabah menempati kerusi betul-betul di belakang Presiden PKR tersebut. 
 
Kerusi di sebelah kiri penulis diduduki oleh seorang pelajar universiti yang belajar di salah sebuah universiti di Semenanjung berasal dari Kota Marudu. Pelajar tahun pertama jurusan IT ini sempat memberikan pandangannya sebagai seorang pelajar dan anak muda berhubung suasana politik di Sabah. Beliau juga sempat meluahkan pandangannya berkenaan kepimpinan dan sikap serta peranan rakyat dalam suasana politik sekarang. Beliau melahirkan kekesalan dengan sikap ahli politik yang telah menang dalam pilihan raya tetapi melompat dari parti yang memenangkannya kepada parti lain dengan mengenepikan amanah dan kepercayaan pengundi mereka.
 
Kemunculan berbagai parti politik apabila hampir pilihan raya dan pertembungan sesama pembangkang dilihat seolah-olah ada agenda untuk memecahbelahkan kekuatan pembangkang bagi memastikan Barisan Nasional terus berkuasa. Para pemimpin parti ini tidak mahu bertolak-ansur dan saling menyerang sesama sendiri tetapi tidak mengkritik dan menyerang parti kerajaan. Beliau menganggap ahli politik seperti ini sebagai tidak bertanggungjawab dan tiada pendirian yang tegas. 
 
Anak muda yang diberi nama Elton Jaibil ini dilahirkan di Kota Marudu 21 tahun yang lalu daripada keluarga suku Dusun Kimaragang. Beliau juga berpandangan anak muda khususnya para pelajar harus lebih peka dan terbuka dalam memahami suasana dan struktur politik negara dimulai dengan politik di peringkat universiti. Budaya ahli politik turun padang berjumpa rakyat apabila hampir pilihan raya harus dihentikan sebaliknya pemimpin dan wakil rakyat harus berkhidmat, mendampingi rakyat dan turun padang pada bila-bila masa mereka diperlukan.
 
Begitu juga budaya membeli rakyat dengan mengumum dan meluluskan projek keperluan asas bernilai jutaan ringgit kepada rakyat di kampung-kampung apabila hampir pilihan raya juga merupakan perbuatan yang tidak bertanggungjawab kerana projek sebegini tidak akan dapat mencapai matlamat yang sebenar.
 
Rakyat juga katanya perlu lebih bijak menilai kebolehan dan kesungguhan pemimpin politik. Sikap menjual undi dengan pulangan beberapa ratus ringgit mesti dikikis dan dihentikan bagi menjamin rakyat Sabah akan diwakili oleh mereka yang benar-benar jujur berjuang untuk rakyat.
 
Anak muda ini merupakan salah seorang dari generasi pewaris masa depan rakyat Sabah. Saya yakin pandangan beliau ini turut dikongsi oleh ramai mereka yang lain. Ahli-ahli politik di Sabah khasnya dan di Malaysia amnya mesti lebih peka kepada suara hati golongan muda seperti ini. Segala pandangan dan luahan mereka perlu diberikan perhatian yang sewajarnya kerana merekalah yang akan menyambung perjuangan yang akan kita tinggalkan ini.
 
"Sabah Sejahtera"
 
ABDUL HISHAM OTHMAN
Ketua Penerangan
PAS Negeri Sabah - HARAKAHDAILY 25/2/2018