21
Sat, Sep
42 Artikel Baru

Umno kitar lagi isu kafir-mengkafir

Nasional
Typography

UMNO Jabi kitar semula isu kafir-mengkafir dengan bermodalkan ceramah Zulkifli Nordin. Orang PAS kenal Zulkifli Nordin. Hamba Allah ini tak lulus tapisan Majlis Syura Ulama PAS untuk jadi calon PAS dalam pilihan raya. Tentu ada isu besar yang menyebabkan MSU membuat keputusan begitu. Dia masuk PKR dan jadi calon PKR. Lepas itu keluar PKR masuk Umno. PRU 13 bertanding sebagai calon BN Shah Alam dan kalah besar.

Saya perjelaskan semula isu ini. Isu perpecahan dalam masyarakat antara PAS dan Umno kembali dibuka. Besut kawasan tanah tumpah darah saya antara tempat yang menyaksikan pertembungan panas dan keras ekoran perbezaan pegangan politik. Selalunya PAS yang menjadi mangsa dan kambing hitam. Kononnya PAS adalah punca segala perpecahan ini.

Orang selalu terlupa bahawa PAS adalah mangsa. Di zaman pertembungan panas dulu, Umno bagaikan tak boleh terima bila ada orang kampung yang bukan Umno. Orang yang menyokong PAS dilihat dengan penuh seteru dan kebencian.

Pengikut PAS dianiaya. Hak mereka dinafikan. Seingat saya, ayah seorang pesawah tak pernah dapat rasa baja subsidi padi. Borang anak sekolah pun JKKK tak nak tandatangan. Ini bukan cerita lama, bekas YB Jabi Ramlan Ali pernah tandatangan tak sokong untuk anak orang PAS terima bantuan awal Yayasan Terengganu untuk masuk IPT.

Cerita program PAS diganggu Umno semua orang tahu. Ceramah PAS dihalang serta disekat. Diganggu dengan pelbagai aneka ragam gangguan. Cerita ugut-mengugut bukan rahsia. Samseng pemuda tahan lasak Umno menunjukkan lagak sehabisnya. Sehingga ada orang PAS kena kapak kecik di kepala.

Kakitangan kerajaan seperti guru-guru yang menyokong PAS ditukar terpelanting ke ceruk hulu. Ahli PAS ditangkap, ditahan, malah pernah dibunuh. Penceramah PAS terpaksa ke mahkamah kerana alasan tiada tauliah dan pernah ke penjara.

Berhadapan dengan semua tindakan keras ini, tak munasabah orang PAS nak terima dengan senyum dan ucapan terima kasih. Tindakan yang keras biasanya mengundang tindak balas keras. Isu yang menjadi punca keretakan hubungan dalam masyarakat bukannya kafir-mengkafir. Tapi isu ketidakadilan, penindasan, tekanan dan kezaliman dari pihak yang berkuasa bernama Umno. Maka jangan salahkan PAS atas sejarah silam ini.

Kafir-mengkafir hanya isu picisan yang ditimbulkan segelintir kecil individu dan bukannya keputusan PAS. Malah mereka yang suatu ketika dulu begitu bersemangat mengkafirkan Umno, kini telah berada dalam Umno dan sebahagian mereka mati sebagai ahli Umno. Dalam konteks Dun Jabi, solat Jumaat di masjid tertentu yang dikuasai PAS bukannya kerana kafir-mengkafir dan tak boleh solat bersama orang Umno.

Masjid Lama Jabi tempat diadakan solat Jumaat ialah sebuah masjid lama yang dikenali sebagai Masjid Lama Jabi. Boleh semak balik sejarah diadakan solat Jumaat di Masjid Lama Jabi yang diadakan lebih dulu dari masjid kerajaan di Jabi.

Masjid Tok Dat antara tempat solat Jumaat yang dikuasai orang PAS. Perlu dimaklumi bahawa di Kampung Tok Dat Jabi tak ada masjid kerajaan. Hanya sebuah masjid milik orang PAS yang ada. Di masjid inilah diadakan solat Jumaat.

Satu lagi tempat solat Jumaat ialah Masjid Matlain Badrin di Kampung Pasir Tawar Jabi. Di kampung ini juga tiada masjid kerajaan. Dengan didirikan solat Jumaat di Masjid Matlain Badrin, ianya memberi rahmat dan kemudahan kepada penduduk sekitar Kampung Pasir Tawar.

Sejarah lama perpecahan sudah berlalu. Sekarang masyarakat kampung hidup dengan harmoni walau berbeza fahaman politik. Boleh pergi mari bila ada sakit mati, kenduri kendara. Orang yang masih menimbulkan isu perpecahan ini sebenarnya ketinggalan zaman.

Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang dibawa PAS sekarang telah meningkatkan lagi momentum ini. PAS nak mengajak masyarakat mencari kesejahteraan bersama Islam. Bukan nak ajak orang ramai berpecah.

DR AZMAN IBRAHIM 
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat - HARAKAHDAILY 6/3/2018