20
Thu, Jun
39 Artikel Baru

Umno gelabah manifesto PAS

Nasional
Typography

KUALA TERENGGANU: Lima lagi tawaran akan diisytiharkan selepas 15 tawaran awal Manifesto PAS Terengganu diumum sebelum ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Setiausaha PAS Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid berkata, manifesto itu akan diumumkan sebagai tawaran baharu kepada rakyat.

Menurutnya juga Umno Terengganu kini terdesak mengenai tawaran PAS sehingga terpaksa menganjurkan Ekspo Terengganu 2018.

"Ekspo Terengganu itu berlangsung di perkarangan Kompleks Sukan Negeri Gong Badak 25 Februari hingga 3 Mac lepas dengan pelbagai tawaran hadiah lumayan kepada rakyat.

"Antaranya sebuah rumah di Pangsapuri Ladang Tok Pelam, sebuah lot tanah perumahan, sebuah lot tanah pertanian, sebuah kereta dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

"Penganjur juga menawarkan hadiah sepanjang ekspo berlangsung seperti motosikal, barangan elektrik dan elektronik," katanya.

Muhyidin juga berkata, tawaran PAS bagi membuka semula permohonan lot tanah kediaman dan pertanian kepada seluruh rakyat Terengganu.

Katanya, PAS hendak beri tanah kepada rakyat yang diumumkan beberapa bulan lalu.

"Sedangkan Umno hanya hendak beri satu lot sahaja, ribuan orang serbu Ekspo Terengganu itu," ujarnya.

Menurutnya juga tawaran manifesto PAS telah sampai kepada pengetahuan rakyat sehingga menyebabkan Umno menjadi gelabah. -HARAKAHDAILY 7/3/2018