20
Thu, Jun
41 Artikel Baru

Solusi Sejahtera tangani kos sara hidup

Nasional
Typography

KUALA LUMPUR: Pilihan raya yang semakin menghampiri adalah peluang untuk rakyat melakukan perubahan di negara ini sebagai langkah menangani isu bebanan kesempitan, khususnya kos sara hidup.

Bebanan ini ditanggung apabila berlaku ketidakseimbangan antara perbelanjaan dan pendapatan, ditambah pula bebanan bayaran cukai yang harus ditanggung oleh seluruh rakyat di negara ini tanpa mengira kaya dan miskin.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, berkata manusia hilang sifat rahmat dan timbang rasa apabila golongan kaya menambahkan kekayaan tanpa mengira keberkatan halal dan haram rezeki tersebut dan hilang rasa simpati terhadap mereka yang kurang bernasib baik.

Ujarnya lagi, Islam tidak menghalang penganutnya untuk mengumpul kekayaan tetapi mestilah dicari dengan cara halal, tidak menindas dan diagih serta dibantu kepada yang tidak bernasib baik.

"Manusia hanya mengenal dua teori sahaja dalam aspek ekonomi, teori yang kanan disebut liberal kapitalisme dan teori kiri yang disebut dengan sosialisme dan komunisme.

"Walaupun kedua-dua teori ini mengaku untuk membahagikan sumber adil kepada manusia semuanya, tetapi ternyata menemui kegagalan dan jalan buntu," katanya dalam satu rakaman Solusi Sejahtera Siri 2 di bawah tajuk Kos Sara Hidup, semalam.

Tambah beliau, dua teori dicipta manusia ternyata menemui kegagalan dan kebuntuan setelah ianya hasil kekayaan yang dikumpulkan tidak diagihkan sama rata dan rakyat terpaksa menanggung derita berdepan dengan kos sara hidup menekan.

Demikian itu katanya, rakyat menyaksikan situasi pemerintah menghadapi masalah ekonomi, tidak ada cara melainkan dengan menambahkan cukai dan mengenakan cukai kepada semua rakyat.

"Ini semua memberi kesan berlakunya inflasi, berlakunya ketidakseimbangan pendapatan dengan sara hidup, berlakunya tindas-menindas di antara satu sama lain.

"Islam menganjurkan supaya kekayaan tidak berpusing dalam kalangan orang tertentu sahaja, mestilah diagih oleh mereka yang berada dengan cara wajib mengeluarkan zakat.

"Dan cukai yang menjadi tanggungjawab mereka dan tidak wajib terhadap mereka yang miskin, mereka yang pendapatannya tidak bernasib baik.

"Apa yang berlaku pada hari ini penuh dengan kecelaruan, menghilangkan rasa rahmat di antara satu sama lain, yang menjual mahu untung semata-mata tanpa mengira pembeli dia membeli semurah-murahnya walaupun yang ruginya orang yang menjual," ujarnya.

Justeru itu katanya, PAS memperkenalkan manifesto dan janji-janji kepada rakyat yang terkandung beberapa aspek Islam.

Sebagai bukti untuk meyakinkan rakyat katanya, Kelantan adalah sebahagian kejayaan pentadbiran PAS, di mana Terengganu dan Kedah juga pernah menjadi jajahan tadbiran PAS.

"Insha-Allah dengan bukti yang kita tunjukkan sedikit kemenangan di Kelantan, pernah di Terengganu, pernah memerintah Kedah, dapat dilihat oleh rakyat dengan insaf dan sedar supaya memberi peluang kepada Islam untuk memerintah dan mentadbir termasuk dalam mengendalikan urusan kehidupan rakyat berkait dengan sara hidup mereka.

"Saya yakin dan percaya, sekiranya diberi kepercayaan kepada parti Islam Se-Malaysia PAS memperkenalkan Islam ini, maka masalah akan dapat diselesaikan dengan cara sebaik-baiknya," ujar beliau. -HARAKAHDAILY 9/3/2018