18
Wed, Sep
31 Artikel Baru

5 saman menanti Adun PAN Salor

Nasional
Typography

KOTA BHARU: Sekurang-kurangnya lima saman sedang menunggu Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa berikutan pelbagai dakwaan fitnah terhadap kerajaan negeri dan PAS.

Oleh itu Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, Adun PAN terbabit ‘jangan lari’ daripada menerima notis saman nanti.

“Sebelum ini ada notis daripada peguam yang mahu disampaikan kepadanya tidak mahu diterima,” katanya pada ceramah jelajah Bangkit Pertahan di Kampung Badang malam tadi.

Hadir sama Ketua Penerangan PAS Negeri Kelantan, Dato’ Mohd Nassurudin Daud, Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Pengkalan Chepa, Dr Izani Hussin, Adun Chempaka, Ustaz Fathan Mahmood, Adun Kijang, Wan Ubaidah Omar dan Naib Yang Dipertua PAS Pengkalan Chepa, Md Azmi Nor.

Tahun lepas wakil pejabat peguam gagal menyerah notis mengosongkan Wisma Tok Guru di Pendek Salor, yang dibeli PAS daripada pemiliknya.

Wisma tersebut pada awalnya sebagai Pusat Khidmat PAS Dun Salor, bagaimanapun bertukar menjadi pusat khidmat PAN selepas Husam menyertai parti tersebut.

Berikutan kegagalan itu notis pengosongan beberapa kali dihantar namun gagal, menyebabkan notis ditampal di pagar pada 12 Oktober lepas.

Terbaru Adun PAN terbabit dilapor mendakwa sebuah syarikat belum wujud dianugerah tender bagi mereka bentuk projek bekalan air di Kelantan.

Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan anggota Exco kerajaan negeri, Dato’ Hanifa Ahmad. -HARAKAHDAILY 9/3/2018