PAS umum lancar Manifesto GAGASAN 18 Mac ini

Nasional
Typography
KUALA LUMPUR: Gagasan Sejahtera hari ini mengumumkan pelancaran Manifesto GAGASAN bertemakan "Malaysia Sejahtera" oleh Pengerusi Gagasan, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam Majlis Syarahan Perdana yang akan diadakan di Astana Banquet Hall, Cyberjaya pada 18 Mac ini.
 
Pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut di sini telah menyentuh 9 teras utama yang menjadi dasar Manifesto GAGASAN.
 
Pertama pembentukan sebuah kerajaan yang berintegiriti, beramanah serta bebas daripada korupsi dan kedua, penambahan pendapatan boleh guna dan penjanaan peluang baru untuk rakyat.
 
Ketiga pemberdayaan rakyat untuk meredakan kesan peningkatan inflasi dan kenaikan kos sara hidup, manakala keempat, pengurangan jurang agihan pendapatan dan kekayaan ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar.
 
Kelima peningkatan kualiti pendidikan ke arah pembinaan modal insan cemerlang serta keenam, pengharmonian sistem perundangan dan tadbir urus negara selaras dengan kehendak syariah.
 
Ketujuh pengukuhan semula konsep federalisme dengan mengembalikan hak-hak tertentu kerajaan negeri dengan kelapan, pemerkasaan suara rakyat selaras dengan tuntutan syura dan amalan demokrasi.
 
Kesembilan penambahbaikan keberkesanan sistem sokongan sosial untuk golongan yang memerlukan.
 
"Manifesto GAGASAN ini adalah satu lagi dokumen rasmi yang dihasilkan GAGASAN dairpada dokumen-dokumen lain yang dihasilkan sebelum ini seperti Piagam Memorandum Gagasan dalam memerangi barah rasuah dan memorandum gagasan terhadap masalah Felda.
 
"Mainfesto ini adalah lanjutan daripada dokumen rasmi yang dihasilkan oleh anggota komponen Gagasan seperti Deklarasi Kongres Rakyat, Budaya Politik Matang dan Sejahtera, Dokumen Hijau dan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS)," terang Ibrahim.
 
Turut diumumkan pada sidang media ini adalah penangguhan muktamar PAS yang sepatutnya diadakan pada 4, 5 dan 6 Mei ini berikutan pilihan raya yang semakin hampir.
 
Selain itu, Gagasan Sejahtera hari ini secara rasmi mengumumkan telah menerima keahlian parti Barisan Jemaah Islamiyah Malaysia (Berjasa) menjadikan komponen blok ketiga pembangkang itu terdiri daripada PAS, Ikatan dan Berjasa, 200 Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan beberapa tokoh (NGI) dalam Gagasan Sejahtera.
 
 Turut disampaikan pada petang itu penyerahan 'mock check' sejumlah RM100,000 oleh Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) kepada wakil Social Development International (SDI) sebagai sumbangan kepada dana bantuan kepada krisis kemelut yang melanda di Ghouta, Syria baru-baru ini. -HARAKAHDAILY 12/3/2018