Teguhkan PAS hadapi kebatilan penggerak sekular

Nasional
Typography
SIK: Kefasadan dilakukan Umno menjadikan parti itu bukanlah pilihan untuk memayungi Islam hatta negara sekalipun, apatah lagi PH yang mahu mengangkat kembali sang diktator tua penyemai sekular.
 
Yang DiPertua PAS Kawasan Sik, Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, sang diktator itu telah membajai sekular selama 22 tahun dalam sistem pemerintahan negara hingga mencambahkan benih-benih baru sekularisma yang diteruskan sehingga kini.
 
Beliau menyatakan demikian ketika berucap sempena Majlis Munajat Perdana PAS Sik yang turut dihadiri Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hashim Jasin di Madrasah Ar-Rahmaniah, di sini kelmarin.
 
Katanya, sekularisma yang dipelopori sang tua itu kini menjadi anutan kedua-dua kumpulan batil sehingga amaran dan peringatan dari Allah dibakul sampahkan mereka.
 
"Umat kini di serata dunia dihasut untuk meninggalkan lapangan siyasah yang padanya dikatakan bukan agenda Islam. (Kononnya) Islam hanya untuk diamalkan sahaja, bukan untuk sistem pemerintahan.
 
"Mereka menghasut untuk melihat pertembungan antara dua kumpulan dalam Islam yakni kumpulan di medan siyasah dan kumpulan di bidang ilmu," terangnya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
 
Menurutnya, pertembungan ini hanya akan merugikan Islam kerana faedahnya dinikmati golongan kuffar di mana sentiasa menunggu peluang dan seterusnya mengambil hak yang sepatutnya milik Islam.
 
Di dalam negara ini juga katanya, berlaku perkara sedemikian kerana terpengaruhnya dengan dakyah musuh sehingga melupakan peringatan dari Allah melalui surah Al-Hujurat ayat 6, 10 dan 12 sepertimana pernah diwasiatkan oleh mantan Menteri Besar Kedah, Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak.
 
Sang ditaktor menurutnya, sehingga hari ini tidak pernah mengakui kesalahan yang dilakukannya terhadap Islam hingga Islam terhina di mata mereka yang bukan Islam akibat dari sistem diperkenalkannya.
 
"Apakah segerombolan bekas pimpinan PAS yang bersama sang tua yang dulunya (mereka) menentang perbuatan dan salah laku sang tua, kini sudah mensucikan sang tua hanya kerana ketamakan kepada kuasa yang dijanjikannya?" soalnya.
 
Tegas beliau, PAS diajar untuk berpolitik secara matang dan sejahtera mengikut acuan Islam dibawa oleh Baginda Nabi S.A.W dan bukannya berimankan dengan teori sekularisma dan liberalisma ciptaan Yahudi.
 
Kerana itu maklumnya, PAS sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya yang akan diadakan pada bila-bila masa kerana PAS yakin akan kekuatan sendiri.
 
"Sebagai gerakan Islam, menjadi tanggungjawab kita untuk bergantung penuh pada Allah S.W.T untuk memberi kemenangan kepada Islam dalam pilihan raya kali ini," ujarnya.
 
Menurutnya, PRU14 dijangka paling sengit dalam sejarah pilihan raya Malaysia kerana berlaku pertembungan yang sangat besar di antara haq dan batil di mana batil terdiri dari dua kumpulan manakala haq tinggal PAS sahaja.
 
Tambah beliau, senario di medan siyasah negara ketika ini yang boleh disangkut harapan membawa Islam padanya hanya PAS dan masih komited untuk melaksanakannya sehingga diberi kemenangan seperti dijanjikan oleh Allah S.W.T.
 
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah menzahirkan pujian kepada institusi pondok kerana telah berjaya melahirkan ramai murabitun yang berjuang di medan siyasah.
 
Katanya institusi pondok dan PAS berpisah tiada sejak dahulu hingga kini walaupun pelbagai tohmahan dan fitnah dilemparkan kepada pejuang siyasah hanya kerana keberadaan yang berbeza tetapi hakikatnya sama-sama mahu menegakkan syariat Allah ke tempat tertinggi.
 
Beliau dalam pada itu turut menyeru kepada amilin untuk terus memberi sokongan kepada institusi pondok dan juga mengharapkan institusi pondok dapat melahirkan lebih ramai pejuang yang berpencak di medan siyasah. -HARAKAHDAILY 12/3/2018