PRU14: Kemenangan PAS bakal suntik perubahan politik

Nasional
Typography

TEMERLOH: PAS sebagai sebuah gerakan Islam sedunia memerlukan mandat kuasa politik lebih besar khususnya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 yang akan menjelang tidak lama lagi.

Demikian dinyatakan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPP), Dr Zuhdi Marzuki dalam Ijtimak Jentera Pilihan Raya PAS Kawasan Temerloh yang berlangsung di Markaz Tarbiah Darul Amin, Sungai Gau, di sini kelmarin.

Menurut beliau, dunia Islam semakin suram hasil daripada percaturan kuasa besar dunia kerana tidak mahu umat Islam bangkit bersatu membentuk empayar dunia.

Sehubungan itu terangnya, umat Islam telah dilagakan sesama sendiri dengan sentimen sektarian mazhab dan pelbagai fahaman oleh musuh-musuh Islam.

Maka menurut beliau, dunia Islam perlukan satu kuasa baru yang mampu bangkit bersuara membela nasib khususnya dalam isu Masjid Al-Aqsa Palestin yang sedang menunggu masa untuk dirobohkan oleh rejim Zionis.

Kata beliau, reputasi PAS yang mendapat penghormatan gerakan Islam sedunia dalam menyelesaikan konflik, telah mewajibkan PAS mendapatkan kuasa politik lebih kuat agar membawa suara Islam ke peringkat tertinggi kuasa dunia.

“PRU 14 adalah medan penting buat PAS bagi mendapatkan mandat terkuat untuk membentuk dan memimpin negara bagi membawa perjuangan kedudukan Islam, bukan sahaja di negara ini bahkan di peringkat dunia,” ujar beliau yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Jelasnya, sasaran PAS untuk bertanding di sekurang-kurangnya 130 kerusi dan menang di 40 Parlimen adalah realistik seperti yang di umumkan oleh Tuan Guru Presiden baru-baru ini.

Hal ini menurut beliau, kerana PAS mempunyai asas perjuangan dan rekod yang baik untuk diterima oleh rakyat, khususnya Melayu Islam berbanding BN dan PH.

Terang Dr Zuhdi juga, dapatan yang mengejut dalam satu kajian antarabangsa berkaitan trend politik kini sangat mempengaruhi ekonomi Malaysia menunjukkan, sokongan Melayu kepada PAS bakal menjangkau lebih 62 peratus menjelang PRU.

“Jentera PAS perlu berusaha keras dalam menyahut cabaran Presiden PAS untuk bertanding di lebih 130 kerusi Parlimen. Kemenangan PAS dalam PRU ini sangat penting sebagai kuasa check and balance kepada pemerintah khususnya dalam perkara agama Islam dan hal ehwal orang Melayu,” ujarnya.

Beliau turut memberi peringatan khusus kepada jentera PAS untuk bersedia dengan tiga senario utama dalam PRU akan datang ini iaitu persempadanan baru, pertandingan tiga penjuru dan bertanding di lebih 130 kerusi Parlimen.

Tiga senario ini ujarnya, merupakan cabaran besar buat semua jentera pilihan raya PAS dalam PRU akan datang ini.

"Maka jentera PAS perlu meletakkan tahap kesediaan dan disiplin kerja yang tertinggi serta bersedia dengan apa sahaja arahan pimpinan pada bila-bila masa," peringatnya.- HARAKAHDAILY 13/3/2018