Nafikan The Economist, laksana PRU14 adil dan telus

Nasional
Typography

KENYATAAN terbaharu majalah antarabangsa, The Economist yang mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memanipulasikan proses pilihan raya atau membenarkan gerimandering menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU 14) perlu disangkal dengan mengheret majalah itu ke mahkamah. Jika tidak nama Malaysia terus buruk di mata dunia setelah isu 1MDB dipanaskan dengan pelbagai siri pendedahan, serbuan, tangkapan mahupun rampasan.

Artikel di dalam Majalah The Economist bertajuk “How Malaysia’s Next Election Will Be Rigged” itu berniat jahat dan mempunyai motif memburukkan nama Malaysia. Bagaimana pengarang dan editor majalah itu mempunyai akses dengan isu dalaman terutama perjalanan pilihan raya di negara ini. Sama ada ada rakyat di negara ini yang menjaja keluar dengan membawa pelbagai maklumat dalaman negara, ataupun mungkin beberapa pihak dari majalah terbabit membuat kajian melalui rakyat di negara ini berpandukan petunjuk tertentu yang dijadikan rujukan.

Pendedahan ini tidak boleh dipandang remeh kerana seluruh dunia kini tertumpu kepada Malaysia dan sebelah mata mereka memandang sinis perjalanan pilihan raya negara. Justeru, penting bagi SPR membuat penafian dengan pembuktian bahawa tuduhan tersebut tidak berlaku. Fakta dan tindakan SPR selama ini yang bebas, adil dan tidak berat sebelah perlu ditunjukkan kepada dunia. Malah, SPR perlu lebih bertegas dengan mengheret majalah The Economist ke mahkamah kerana tindakan jahat majalah tersebut. Tindakan saman penting supaya jangan ada lagi akhbar atau media asing sewenang-wenangnya memburukkan nama negara.

Dari sudut yang lain, apabila ada dakwaan dan tuduhan, SPR perlu membuktikan dakwaan mereka meleset dengan menjadikan Pilihan Raya Umum ke-14 ini sebagai PRU paling adil dan telus pernah diadakan. Sebagai contoh, dalam soal persempadanan pilihan raya, SPR mesti bersikap adil dengan pembahagian yang betul dan bukan untuk menguntungkan sebelah pihak.

Dakwaan itu timbul kerana setiap kali persempadanan pilihan raya, BN kemudiannya menang besar dalam pilihan raya tersebut. Dan didapati pula, agihan untuk kawasan antara pembangkang dan BN tidak adil, yang menjadikan BN menang mudah di kawasan-kawasan tertentu. Justeru, pendedahan The Economist adalah sebagai amaran supaya SPR benar-benar telus, tidak memihak atau sebaliknya.

Selain itu, dunia semakin pesat dan masyarakat semakin pintar. Penipuan dan pembohongan yang dilakukan akan mudah dilihat walau sehalus mana pun perancangan dibuat. Jika dahulu pelbagai kejahatan direncanakan dan masyarakat mudah ditipu dengan pelbagai silap mata ketika pilihan raya, kini cabaran besar buat mereka yang merancang penipuan ini adalah, masyarakat dunia akan menjadi pengadil yang menilai. Jika penipuan yang selama ini direncanakan terhadap rakyat yang tidak berdaya melawan kerana kongkongan kuasa pemerintah, kini masyarakat dunia yang bebas memerhati setiap langkah dan gerak geri pemerintah. Maka SPR, atau mana-mana agensi kerajaan, mesti bertindak adil dalam pilihan raya, supaya jangan ada pembongkaran oleh mana-mana pihak terhadap kejahatan atau makar yang disembunyikan dari pengetahuan umum.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat - HARAKAHDAILY 14/3/2018