19
Wed, Jun
30 Artikel Baru

Kementerian Pendidikan diminta kembalikan J-Qaf

Nasional
Typography

IKATAN Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru) memohon pihak KPM mewujudkan kembali Pendidikan J-Qaf di peringkat rendah dan seterusnya ke tahap pendidikan menengah rendah bagi memperkasa nilai-nilai murni di kalangan para pelajar Muslim.

Program J-Qaf pernah dilaksanakan di zaman Perdana Menteri ke-5 iaitu Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi. Pelaksanaan program ini berjaya menerapkan nilai-nilai penghayatan keagamaan di kalangan para pelajar serta mengatasi masalah buta al-Quran . Di samping itu J-Qaf ini dapat membentuk sahsiah pelajar dari sudut kesedaran terhadap kepentingan solat serta menguasai asas-asas fardhu ain dan penguasaan jawi.

Namun amat malang selepas tahun 2016 pelaksanaan J-Qaf menghadapi zaman suram dan tidak diteruskan di peringkat menengah. Satu kajian yang telah dijalankan oleh JAKIM mendapati kira-kira 23-25 peratus pelajar menengah rendah tidak tahu mengucap, membaca al-Quran, menulis jawi, mengetahui rukun iman dan Islam serta mengabaikan solat lima waktu.

Meskipun KPM telah memperkenalkan program SUMUR (Sahsiah Unggul Murid) di peringkat sekolah rendah, namun ia tidak diteruskan secara menyeluruh di peringkat sekolah menengah. Bagi memantapkan pembinaan modal insan pelajar dan pembentukan sahsiah murid unggul, iGuru mencadangkan agar dikembalikan semula program J-Qaf di peringkat menengah khususnya di tahap menengah rendah.

Apatah lagi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 tidak menjelaskan peranan subjek pendidikan Islam di dalam memperkasa kemenjadian murid secara jelas. iGuru bimbang jika Pendidikan Islam tidak diperkasa di dalam sistem pendidikan arus perdana, ia akan mendedahkan para pelajar dengan pengaruh liberalisme yang bakal menghapus identiti dan jati diri pelajar Melayu Islam.

Justeru iGuru berharap pihak KPM khususnya Bahagian Pendidikan Islam diberikan nafas baharu dan peranan lebih besar untuk memperkasa pendidikan Islam di dalam sistem pendidikan negara. Pada masa yang sama pihak KPM perlu menilai semula PPPM 2013-2025 agar diberikan penekanan kepada aspek pendidikan Islam di samping penekanan kepada penguasaan sains dan matematik serta bahasa.

iGuru bimbang gelombang TN50 yang dicanang oleh kerajaan serta menghadapi Revolusi Industri 4.0 akan gagal membina tamadun manusiawi apabila aspek penghayataan keagamaan di dalam sistem pendidikan kita dikesampingkan.

MOHD AZIZEE HASAN 
Presiden iGuru - HARAKAHDAILY 22/3/2018