20
Mon, May
28 Artikel Baru

Jatuhkan Presiden PAS kerana pertahan Islam

Nasional
Typography
KANGAR: Wujud usaha terancang menurunkan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dari saf kepimpinan dengan mencatur kedudukan dalam senarai teraju PAS.
 
Bendahari PAS Pusat, Razman Zakaria berkata, perancangan besar pihak-pihak tersebut adalah kerana Presiden PAS mengesani usaha terancang mereka untuk melemahkan Islam di negara ini.
 
Beliau menyatakan perkara tersebut ketika berucap dalam satu program di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS), di sini kelmarin.
 
Jelasnya, oleh kerana Tuan Guru menyedari tindakan terselindung mereka disebalik parti-parti politik, maka beliau telah dituduh membawa PAS lari dari landasan perjuangannya.
 
Kerana itulah menurutnya, Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia itu merupakan ulama di negara ini yang paling kuat dihadapkan dengan pelbagai tohmahan, selain cuba 'digulingkan' sebagaimana berlaku pada Muktamar Tahunan PAS dahulu.
 
"Beliau dikatakan tersasar, cuba membawa PAS bersama-sama (bergabung) dengan Umno. Tidak kurang yang membuat perbandingan ketegasan beliau dengan kelembutan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz (Nik Mat).
 
"Mereka menyatakan beliau penyebab kepada kehancuran Pakatan Rakyat. Sedangkan Tuan Guru bertegas mahu PAS jaga Islam di negara ini. Cuba bayangkan puak (penentang Islam) ini berkuasa?
 
"Apa akan jadi kepada Islam? (Jadi) Tuan Guru nampak kepentingan politik ini. Kita (PAS) mesti bawa Islam berkuasa. Paling tidak menyekat golongan penentang Islam dari berkuasa," ujarnya.
 
Terang beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, beberapa isu mutakhir seperti penentangan RUU355 dan permohonan murtad di Sarawak menjadi bukti jelas golongan terbabit semakin berani mencabar Islam.
 
Kerana itu ujarnya, amat penting PAS dipastikan menang pada PRU14 nanti untuk kekal mempertahan kedaulatan Islam terpelihara dalam negara ini.
 
Akuinya, hanya PAS yang sentiasa siap sedia dan tampil dengan berani mempertahankan Islam yang ditonjolkan sendiri ke hadapan perkara itu oleh Tuan Guru Abdul Hadi. -HARAKAHDAILY 22/3/2018