18
Thu, Jul
47 Artikel Baru

Kenapa Tun M terpaksa hadir berdepan Dr Kamarul?

Nasional
Typography

SIK: Terdapat begitu ramai, lama dan lantang para pengkritik serta musuh kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi mereka kini mensucikan, melutut dan membuntut kepadanya.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sejak puluhan tahun, Tun M menerima kritikan bergunung-ganang dan melaut banyaknya di mana jika dibukukan boleh menjadi perpustakaan.

"Paling kuat, paling banyak, dan paling kerap adalah sejak tahun 1998, selepas Dato' Seri Anwar Ibrahim dipecat dan Umno berpecah dua melahirkan Parti Keadilan Negara.

"DAP juga tidak pernah berhenti bercakap tentang Tun M. Semuanya buruk dan salah pada pandangan mereka. Paling kuat adalah tentang Melayu dan kemelayuan dalam penswastaan, DEB.

"(Juga) Wawasan 2020, selain ultra Melayu, rasisme, Umnoputra dan deretan skandal kewangan. Mereka juga menjadikan semua majlis mereka medan mengkritik Tun M yang mengetuai BN, Umno dan Kerajaan.

"(Kini) Belum sampai setahun pun Tun M disucikan (para pengkritiknya itu)," ujar mengulas mengenai Wacana Sinar Harian Ke-53 "Apakah Tun M Terlalu Tua Untuk Jadi PM?" ketika ditemui di kediamannya di sini semalam.

Beliau juga menambah, sebelum itu Tun M dikritik dalam Umno sendiri sehingga melahirkan Team B, kemudiannya menjadi Parti Semangat 46.

PAS juga menurutnya, tidak terkecuali mengkritik dan membantah dasar-dasar dan tindakan Tun M yang tidak selari dengan Islam, salahguna ISA dan menyekat kebebasan media.

Malah PAS tegasnya, konsisten mengkritik salahguna harta dan premis awam, salahguna polis, pembaziran, salahguna dana awam untuk _bailout' syarikat kroni dan mengamalkan nepotisme dan lain-lain.

Namun jelas Sanusi, perkara itu berbeza dari dilalui Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Terangnya, pandangan dan analisa Dr Kamarul menerusi penulisannya memberi bekas mendalam kepada Tun M dan gerombolannya dalam PH hingga beliau terpaksa hadir berdepan sendiri.

"Malah tiada satupun kritikan-kritikan puluhan tahun dari pelbagai penjuru itu dihadapi oleh Tun M dengan cara hadir berdepan dengan pengkritiknya, seperti dibuat kepada Dr Kamarul.

"Mahfuz, Mohd Sabu, Kit Siang, Lim Guan Eng dan Khalid Samad menghentam Tun M lebih 30 tahun, sekali berdepan dengannya, terus melutut, membuntut. Semua ludah dan kahak dijilat kembali," sindirnya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah menambah, ketika menjadi Menteri Pelajaran pada 1970-an, Tun M pernah hadir berdepan dengan gerakan mahasiswa.

Ketika itu ceritanya, mahasiswa berdemontrasi membantah dasar-dasar kerajaan, terutama isu kemiskinan di mana gerakan mahasiswa tahun 70-an, dipengaruhi pelbagai aliran melahirkan ramai tokoh pemimpin dalam pelbagai sektor.

Terutama menurutnya, pemimpin gerakan politik hingga turut mencetuskan perubahan lanskap politik negara beberapa tahun kemudiannya.

"Sehinggalah ke zaman Tun M menjadi PM, dia mengurung pimpinan mahasiswa tahun 70-an di celah kangkangnya dalam Umno dan kerajaan, dan kini diulangi lagi.

"Sebesar mana kesan tulisan Dr Kamarul kepada Tun M, PH dan 'banduan' politik Tun M? Hanya mereka yang 'merasainya'," ulas beliau. - HARAKAHDAILY 24/3/2018