18
Wed, Sep
30 Artikel Baru

Kuasa memilih: Ayuh wanita turun undi 9 Mei

Nasional
Typography

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia menyeru para wanita turun mengundi pada 9 Mei biarpun tarikh membuang undi jatuh pada hari bekerja yakni Rabu.

Timbalan Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam berharap perkara itu tidak menjadi halangan kepada para pengundi demi menunaikan tanggungjawab bersama menuju ke arah Malaysia Sejahtera.

Seru beliau, para pengundi diingatkan menyemak tempat mengundi terlebih dahulu dan dinasihatkan merancang perjalanan agar selamat sampai ke kampung halaman masing-masing.

"Kami mendoakan perjalanan pergi dan pulang dipermudahkan oleh Allah. Semoga pengorbanan yang dilakukan ini dinilai oleh Allah, insha Allah. Kuasa memilih terletak di tangan kita.

"Ayuh! Pesan dan ajak bersama adik-beradik, jiran tetangga, sanak saudara, sahabat handai dan semua anak muda untuk balik mengundi dan memilih calon yang membawa agenda Malaysia Sejahtera yang bakal membawa Malaysia memacu ke arah yang lebih gemilang.

"Pesanan bersama, semak tempat mengundi, bawa bersama kad pengenalan diri dan keluarlah awal bagi mengelakkan kesesakan lalu-lintas dan kejadian yang tidak diingini berlaku. Selamat menunaikan kewajipan. Kuasa memilih, undilah PAS!" katanya dalam satu kenyataan semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu sidang media tengahari semalam telah mengumumkan tarikh mengundi adalah pada 9 Mei 2018 (Rabu) manakala hari penamaan calon pula ditetapkan pada 28 April hari Sabtu dan hari mengundi awal pada 5 Mei, Sabtu.

Turut diumumkan adalah waktu berkempen adalah selama 11 hari bermula dari 28 April sehingga 11:45 malam pada 8 Mei.

Walaubagaimanapun, pemilihan tarikh yang ditetapkan oleh SPR mendapat kecaman awal dari PAS kerana hari mengundi jatuh pada pertengahan minggu iaitu pada hari bekerja. -HARAKAHDAILY 11/4/2018