22
Thu, Aug
33 Artikel Baru

Kerapuhan idealogi parti politik tidak berteras akidah

Nasional
Typography

PARTI-parti lain selain PAS adalah penganut ideologi-ideologi tertentu. Kerana itu mereka boleh berubah-ubah dengan mudah. Walaupun perkara yang berkaitan dasar parti masing-masing.

Demi mencapai cita-cita kemenangan mereka boleh sahaja berubah 24 kali dalam masa sehari semalam. Namun PAS bukan seperti mereka. PAS adalah sebuah parti yang berdiri di atas akidah yang sudah ditetapkan Allah.

Kalaupun berubah hanya dalam soal-soal pendekatan dan uslub dakwah. Itu pun tidak dibolehkan secara bebas tanpa diselaraskan dengan kehendak-kehendak syarak. Jika menyentuh soal-soal akidah, PAS tidak akan bertolak ansur:

"Kamu agama kamu dan aku agama aku"

(al-Kafirun: 6)

Kalimat akidah inilah yang diibaratkan oleh Allah di dalam al-Quran sebagai sepohon pokok yang kukuh. Akarnya tertanam jauh ke dasar bumi dan pucuknya merendang menyentuh awan. Sungguh puas hati berada dalam jamaah yang teguh dan kukuh ini.

Ideologi adalah suatu yang sangat rapuh. Kerana ianya bukan suatu yang fitrah. Hanya sebuah idealisma yang digarap oleh akal manusia untuk satu-satu keperluan dan kepentingan. Adakalanya untuk kepentingan peribadi atau kumpulan.

Lenin, penganut tegar Komunisme yang menafikan kewujudan tuhan pernah berkata di saat terlalu sakit:

"Jika tuhan benar-benar tidak ada, manusia perlu mencipta tuhan agar hati mereka tenang dan lapang"

Akhirnya Komunisme yang dikawal rapi oleh kuasa politik negara tabir besi itu runtuh dalam usia 70-an.

PAS mengajak manusia seluruhnya kembali kepada akidah fitrah. PAS bukan hanya mahu rakyat Malaysia ini mengundi PAS, tetapi lebih jauh dari itu ialah kembali kepada iman yang hakiki. Bernaung di bawah teduhan iman dan memetik lazatnya hidup di halaman syariat yang adil.

PAS bukan hanya menawarkan manifesto, tetapi lebih jauh dari itu PAS menawarkan wahyu Allah iaitu al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W.

Bekerjalah wahai abnau'l harakah. Setiap langkah kita adalah ibadah dan jihad. Setiap titisan peluh adalah ibadah dan setiap apa yang kita belanjakan di jalan ini demi menyeru manusia seluruhnya kepada Allah adalah jihad. Kita akan memetik ganjarannya di sana.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja 
PAS Pusat - HARAKAHDAILY 12/4/2018