19
Thu, Sep
32 Artikel Baru

Masa untuk bekerja

Nasional
Typography

JIKALAU kekanda mengangkat peti, pastikan benar muatnya barang; Jikalau Pemuda bersatu hati, kerja yang sukar menjadi senang.”

Sebelum ini kita sibuk berteka-teki, “Parlimen dijangka bubar esok hari”.

Kini setelah Parlimen dibubarkan, sibuk pula kita berteka-teki, “Adakah PAS boleh menang esok hari”.

Dalam tempoh kritikal ini, Pemuda PAS sangat memerlukan watak yang mahu dan tahu untuk bekerja. Rebutlah peluang untuk menjadi ‘pekerja’, dan janganlah kita sibuk menjadi ‘peramal’ nasib di kemudian hari. Tugasan di peringkat JPRU, JPRD, dan JPRK terlalu banyak, masa yang ada sangat singkat, namun semuanya dapat diselesaikan jika wujud kerjasama yang erat.

Di samping itu, dianggarkan lebih 51 peratus anak muda masih belum membuat keputusan untuk menyokong kerajaan ataupun pembangkang. Selain faktor parti, pengundi bawah 40 tahun cenderung untuk melihat kualiti calon dan menilai manifesto yang dijanji.

Dalam aspek ini, Pemuda PAS perlu menjadi ‘pendakwah’ yang mendekatkan, bukannya ‘penghukum’ yang menjauhkan. Setiap anak muda yang kita temui, adalah potensi yang perlu didekati. Santuni mereka dengan senyuman dan salam, dan rancakkan program sentuh pengundi di hotspot anak muda. Kuasai media sosial dan interaksi di lapangan, kerana tugas kita adalah untuk menarik sokongan, khususnya pengundi muda yang belum ada keputusan.

Selain itu, letakkan diri kita di posisi ‘pendukung’ perjuangan, sebagaimana yang diungkapkan di dalam Surah As-Soff, dan elakkan menjadi watak ‘pengkritik’ yang tidak berkesudahan. Pastinya di sana banyak persiapan awal yang terlepas pandang, namun jangan menuding jari mencari kesalahan, tetapi jadilah watak yang menyelesaikan bagi menampung kekurangan.

Di sinilah pentingnya seluruh Pemuda PAS untuk mengambil posisi pekerja, pendakwah dan pendukung dalam tempoh kritikal ini. Biarlah pihak lain yang mengambil watak Pak Belalang, penghukum dan pengkritik ketika kita mara ke hadapan.

Kemuncaknya pada 9 Mei 2018, pastikan kita memimpin seluruh anak muda untuk keluar mengundi. Kita tidak mahu situasi yang sama berulang di mana, ‘pemimpin yang tidak baik’ terus berkuasa apabila ‘rakyat yang baik’ tidak keluar mengundi.

PRU14 adalah masa yang dinanti, untuk meletakkan impian dan strategi dalam bentuk realiti.

#MalaysiaSejahtera
#UP

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Ketua Pemuda PAS Malaysia
12 April 2018 – HARAAHDAILY 12/4/2018