PAS tenang mengorak langkah kemenangan

Nasional
Typography

BERKATA Ulama, muqaddimah kepada sebuah kemenangan itu ialah apabila Allah kurniakan 'Sakinah' atau ketenangan kepada jamaah yang dikasihi-Nya. Sebelum datang nusrah-Nya yang berupa "Bantuan dari tentera yang tidak dapat dilihat".

Selepas PAS bertegas memutuskan hubungan tahaluf dgn DAP, parti yang dilihat semakin agresif menyerang Islam, ketenangan mula menyelubungi PAS. Kemudian ketenangan itu semakin terasa apabila para perwakilan PAS menggugurkan beberapa orang pimpinan Pusat, yang dilihat ghairah mahu mengheret PAS bersekedudukan dengan DAP, dalam Muktamar PAS yang ke-61 di Kuala Selangor.

Selepas itu bahtera PAS semakin tenang. Dalam ketenangan itu PAS terus mengorak langkah dengan gaya politik matang. Pendekatan baru PAS ini dianggap oleh PH sebagai langkah mesra Umno. Fitnah UG segera dilemparkan kepada PAS untuk menyelubungi kegusaran mereka jika dengan pendekatan budaya politik matang itu PAS akan semakin dimesrai oleh rakyat dan umat. Ternyata PAS semakin disenangi dan diyakini. PAS dilihat parti yang berprinsip dan bukannya parti bacul yang terpaksa menjilat ludah sendiri demi meraih kepentingan peribadi. PAS semakin tenang.

Di tengah-tengah kekalutan pertelagahan dalam BN dan PH, PAS menyusun agenda menguasai Putrajaya dan menawarkan solusi kepada apa sahaja masalah yang sedang dihadapi oleh negara. PAS perkenalkan Dokumen Hijau dan Wawasan Induk Negara Sejahtera sebagai kerangka ke arah "Putrajaya Baru" pimpinan PAS. Melihat kepada langkah PAS yang semakin jauh kehadapan, membuatkan parti-parti dalam PH semakin gusar dan gelisah. Hati mereka semakin sakit apabila gagal memujuk PAS agar sekali lagi bersama dengan mereka dalam PH. Fitnah demi fitnah dicipta penuh kesumat. Tujuannya untuk melengahkan PAS. Namun PAS sudah jauh kehadapan dan tidak lagi mendengar makian dan cercaan mereka. PAS semakin tenang. Sungguh ketenangan itu dari Allah dan kegelojohan serta kegopohan itu dari syaitan.

Hari ini PAS di bawah pimpinan Ulama tersohor dunia terus bekerja. Menjinakkan hati-hati manusia yang cintakan kebenaran dan kejujuran. PAS tidak kisah dengan apa yang BN dan PH nak kata dan tuduh. Kerana memaki, mencerca dan meludah adalah senjata terakhir bagi orang yang sudah dekat dengan kekalahan. PAS tidak hiraukan mereka kerana PAS tidak boleh menjadi 'bodoh' saat rakyat sedang mengharapkan PAS. Ahli-ahli dan para amilin PAS berada di mana-mana dalam masyarakat.

Mereka berkhidmat dalam diam. Mereka menawarkan bantuan dan pertolongan tanpa upah. Pimpinan PAS di semua peringkat adalah anggota masyarakat yang sedia berkhidmat. Masyarakat umum tidak mampu meninggalkan mereka, kerana semua urusan hidup, bermula dari menjadi imam solat, mandi jenazah, kafan, pengebumian, perkahwinan, bantuan saat kecemasan, tahnik, kuliah-kuliah pengajian dan berbagai lagi, terpaksa bergantung kepada ahli-ahli dan pimpinan PAS. PAS sebenarnya sudah sebuah "Kerajaan rakyat". Cuma keputusan pilihan raya sahaja belum berpihak kepada PAS. 

Nusrah kedua yang sedang ditunggu oleh PAS ialah datangnya "Tentera yang tidak dapat dilihat" yang akan membantu dan menolong PAS. Tentera yang tidak dapat dilihat itu bukan sahaja para malaikat, tetapi juga pengundi-pengundi yang sebelum ini tidak terbayang kecenderungan politik mereka. Tetapi saat membuang undi, mereka memberikan undi kepada PAS. Mereka ialah orang-orang yang berada di dalam gelap yang akan mengalahkan musuh-musuh PAS.

Sebelum itu mereka menjadi pemerhati dari jauh. Semakin banyak fitnah yang dilontar oleh BN dan PH kepada PAS, akan membuatkan pengundi gelap ini semakin simpati kepada PAS. Jangan sekali-kali musuh-musuh PAS menganggap fitnah yang mereka lontar bertubi-tubi saban hari itu akan mampu membunuh PAS. Bahkan peluru-peluru fitnah itu akan kembali menembusi jantung mereka.

Para amilin PAS, sila dekatkan diri kepada Allah dan bersungguh dalam melakukan kerja-kerja jihad ini. Kemenangan sudah dekat.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja 
PAS Pusat - HARAKAHDAILY 17/4/2018