19
Thu, Sep
46 Artikel Baru

Bila ilmuan Islam benci parti politik Islam

Nasional
Typography

MUKADDIMAH

Semakin dekat PRU ke-14, ada beberapa tokoh agama yang tidak berpolitik, semakin galak mengajak rakyat menolak politik yang berteraskan agama. Tolak politik golongan Ulama. Tolak politik menggunakan Ijtihad secara Islam, kerana Ijtihad itu yang boleh jadi betul dan boleh jadi salah.

Mereka sangat naif dalam memahami sistem politik dan perundangan dalam negara kita.

Beberapa tuduhan mereka 

Kata mereka, "Semua Ijtihad dan pandangan golongan Ulama daripada parti tertentu adalah untuk kepentingan partinya. Bukan untuk kepentingan Islam". "Ada parti mendakwa Parti Islam tetapi mencerca orang, menghina parti lain dan tak ada akhlak Islam".

"Mereka mengkafirkan pihak yang tak bersetuju dengan pendapat mereka". "Mereka Khawarij" dan banyak lagi.

Begitulah PAS diserang dengan ganas dan keras oleh golongan agama yang tidak berpolitik.

Apa yang mereka mahu? 

Mereka tidak suka politik. Tidak mahu berpolitik. Mereka mahu dunia yang bersih semata-mata. Yang makruf sahaja, tiada yang munkar. Yang baik saja, tiada yang jahat. Yang jernih saja, tiada yang keruh.

Mereka tidak suka melihat tokoh-tokoh politik berkempen, membentangkan manifesto dan mengkritik keburukan dan kesilapan kerajaan sebelum ini dan memberikan cadangan alternatif yang lebih baik.

Mereka tak suka rakyat memilih pemimpin. Mereka tak suka pilihan raya. Mereka suka kerajaan yang sedia ada saja. Mereka hendak taat kepada kerajaan itu saja. Tak perlu susah-susah menukar kerajaan. Walaupun salah guna kuasa dan menyusahkan rakyat.

Mereka tidak mampu bersabar dengan karenah masyarakat. Mereka hanya mahu beruzlah daripada aktiviti kemasyarakatan dan politik. Mereka hanya mahu membawa diri mereka. Tidak mahu memimpin masyarakat. Mungkin itulah yang mereka mahu.

Atau mungkin ini yang mereka mahu? 

Mungkin juga, mereka tidak mahu orang ramai mengundi PAS dalam PRU ke-14. Mereka tak suka golongan agama berpolitik. Golongan agama sepatutnya mengajar di sekolah-sekolah agama dan madrasah saja.

Serahkan urusan politik kepada bukan ahli agama sepenuhnya. Ahli agama, cukuplah sebagai penasihat yang tidak berpihak. Lebih mudah nasihat itu diterima.

Cukup Sekular bunyinya. Mungkin itulah politik mereka. Dengan itu, mereka hanya mahu rakyat mengundi BN atau PH sahaja di dalam PRU ini. Mungkin itulah yang mereka mahu.

Apakah yang mereka terlepas? 

Mereka tidak sedar mereka berada dalam ruang lingkup sistem politik itu sendiri. Mereka pensyarah, mereka terikat dengan Menteri yang menguruskan Kementerian Pengajian Tinggi. Mereka Mufti, mereka terikat sedikit sebanyak dengan cadangan Menteri Besar yang menasihati Sultan dalam perkara berkaitan urusan agama Islam.

Bahkan semua Kementerian dan Jabatan-jabatan dibawahnya akan distrukturkan oleh parti yang memenangi pilihan raya. Mereka juga tidak sedar bahawa proses meminda atau menambah baikkan Undang-undang Syariah juga memerlukan cadangan dan sokongan daripada Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat.

Di mana ahli-ahli YB di Dun dan Parlimen, hanya dipilih melalui pilihan raya. Mereka seakan terlepas pandang kesan besar yang terhasil daripada sesebuah pilihan raya.

Adakah mereka sedar rakyat terbeban dengan beberapa dasar Kerajaan BN? 

Dasar percukaian kerajaan seperti GST, telah menyebabkan ramai yang merana. Walaupun kerajaan bergembira. Peniaga mengeluh. Rakyat mengeluh. Orang kampung mengeluh. Orang bandar pun mengeluh.

Apa tidaknya, jika setiap bulan, katakanlah sesebuah isi rumah hanya berbelanja sebanyak RM 1000 untuk keperluan asasi dan makanan, mereka dikenakan GST sebanyak RM 60. Jika setahun, sebanyak RM 720 cukai GST dikenakan ke atas mereka.

Antaranya, dasar menghapuskan subsidi minyak. Minyak kononnya ditaksirkan mengikut harga minyak dunia. Ketika harga minya dunia rendah, minyak di negara kita semakin mahal. Bayangkanlah, jika harga minyak dunia melonjak!

Selanjutnya, harga barang keperluan melambung naik. Dan Kerajaan sedia ada hanya menyediakan alternatif Kedai 1 Malaysia dan dasar "Ubah gaya hidup anda" untuk mengatasinya!

Antaranya lagi, terdapat pelbagai skandal kewangan yang parah di bawah BN seperti 1MDB, Saham FELDA, kerugian daripada krisis spekulasi mata wang, Skandal BMF, Skandal PERWAJA dan lain-lain. Termasuk dasar zalim yang menafikan hak royalti untuk Terengganu dan Kelantan.

Adakah mereka sedar PH mempunyai dasar yang merugikan umat Islam? 

Mereka juga seakan tidak sedar pemimpin utama PH dibarisi oleh ramai tokoh yang pernah menghina Islam, menghina Rasulullah S.A.W, menghina Sunnah, menghina hari raya umat Islam, menghina tokoh Ulama Islam dan bertegas tidak mahu mendaulatkan Perundangan Syariah di negara kita.

Bahkan ada pendukung LGBT, pendukung pemikiran Islam Liberal, pendukung gerakan Kristianisasi, pendukung hak asasi manusia yang mahukan kebebasan umat Islam untuk Murtad dan lain-lain.

Sebelum menang lagi, mereka telah menunjukkan perseteruan yang terang dan nyata terhadap Islam dan Institusi Islam di dalam negara. Bayangkanlah setelah mereka dibenarkan berkuasa.

PH mahu meruntuhkan jahiliyyah moden versi kerajaan sedia ada dengan menegakkan jahilyyah moden versi mereka yang lebih teruk lagi! Inna LilLaah wa Inna Ilaihi Raji'un.

Kenapa tidak mahu memberi peluang kepada PAS? 

PAS bekerja mengikut pertimbangan hukum syarak dan mencadangkan penyelesaian masalah negara dan rakyat berdasarkan pertimbangan neraca pertimbangan hukum syarak.

Sebagai parti politik dalam sistem demokrasi, PAS akan berfungsi sama ada sebagai kerajaan atau pembangkang. Dan PAS pernah berpengalaman sebagai kerajaan dan berpengalaman juga sebagai pembangkang.

Sama ada PAS sebagai kerajaan atau pembangkang, kedua-dua fungsi itu dijalankan oleh PAS menurut tuntutan Islam serta kepentingan rakyat dan negara.

PAS telah lama memerintah Kelantan dan terbukti tidak terpalit dengan isu rasuah. Daripada sudut tadbir urus, Kelantan mendapat pelbagai anugerah dalam pelbagai sektor.

Dasar-dasar Kerajaan PAS juga, banyak yang diikut oleh Kerajaan Pusat kerana lebih mengutamakan kebajikan penjawat awam dan rakyat jelata.

Penutup

Jika dahulu, umat Islam hanya mampu berdoa agar pemerintah mereka dikurniakan taufik dan hidayah agar menjadi pemimpin yang baik, berkebajikan, adil dan saksama. Selain berdoa, mereka juga hanya mampu menasihatkan pemimpin sedia ada sekadar terdaya.

Untuk menukar pemimpin pada ketika itu adalah amat sulit. Kebanyakannya memerlukan kepada pertembungan bersenjata yang melibatkan begitu banyak mudharat yang besar.

Namun kini, rakyat bukan sahaja boleh berdoa untuk mendapat pemerintah yang baik. Tetapi, boleh juga menasihati mereka melalui pelbagai medium seperti media, NGO, parti politik, melalui Sidang Dun dan Sidang Parlimen.

Lebih daripada itu, pada 9 Mei nanti, rakyat boleh memilih sendiri pemerintah yang mereka kehendaki! Libatkanlah diri anda dengan proses besar ini. Ini sebahagian daripada usaha kita untuk mendapatkan pemimpin yang baik. Proses itu mungkin sedikit kurang menyelesakan. Tapi ia adalah amat penting. Oleh kerana itu, kita terpaksalah mengharungi proses ini dengan penuh sabar.

Jika kita tidak memilih parti dan calon yang baik, maka parti dan calon yang tidak baiklah yang akan memimpin kita untuk 5 tahun yang mendatang.

Buatlah Pilihan Bijak!

ZAKARIA ISMAIL
AJK PAS Kawasan Marang
23 April 2018 - HARAKAHDAILY 23/4/2018