26
Wed, Jun
13 Artikel Baru

Diskriminasi politikus yang menyakiti rakyat 

Nasional
Typography

SEJAK dahulu, negeri yang dikuasai oleh PAS seperti Kelantan sering menjadi sasaran diskriminasi oleh parti pemerintah. Tuduhan kononnya Kelantan serba mundur acap kali dikumandangkan terutamanya di ambang musim pilihan raya.

Motif ejekan

Ejekan tersebut bertujuan sebagai propaganda bahawa kononnya dasar pemerintahan Islam pasti mendatangkan kemunduran kepada sesebuah negeri. Dahulu Umno yang sering menggunakan modal tersebut dan kini PKR pula mengulanginya. Padanlah kerana masing-masing berkongsi ideologi yang lebih kurang sama.

Ulasan Ibnu Khaldun

Tokoh ilmu Sains Sosial Islam, Ibnu Khaldun telah menegaskan di dalam kitabnya yang berjudul al-Muqaddimah:

إنّ الإنسان مدنيّ بالطبع

"Sesungguhnya manusia hidup secara Madani tabiatnya"

Ibarat ini bermaksud bahawa betapa manusia dalam sesebuah masyarakat saling perlu memerlukan antara satu sama lain. Hubungan ini penting demi memenuhi keperluan masing-masing.

Fungsi bandar

Kita perlu memelihara keharmonian hubungan antara penduduk bandar dan luar bandar. Bandar berfungsi sebagai 'pasar' yang menawarkan peluang pekerjaan. Daya tarikan tersebut mengundang pekerja-pekerja dari luar bandar untuk memenuhi peluang pekerjaan di pelbagai sektor.

Kerancakan aktiviti ekonomi tersebut menjana kemajuan kepada kawasan bandar. Pada masa yang sama ia merangsang pembangunan kawasan luar bandar apabila pendapatan yang diperolehi, dibawa pulang ke kampung masing-masing.

Maka adalah sangat normal jika orang ramai datang ke kawasan bandar untuk mencari peluang pekerjaan. Bahkan itulah yang sepatutnya.

Hargai sumbangan ekonomi masing-masing

Jika kita memahami hubungan sosioekonomi yang saling perlu memerlukan antara satu sama lain, sudah pasti tidak akan wujud kenyataan dangkal memperlekeh negeri yang berada jauh dari pusat bandar.

Dari satu sudut yang lain, sedarkah kita antara penduduk bandar yang kelihatan serba maju berbanding penduduk luar bandar yang dilihat serba sederhana, siapakah antara mereka yang mempunyai kuasa beli yang lebih kukuh?

Siapakah antara mereka yang menanggug hutang yang lebih banyak semata-mata untuk meneruskan hidup? Jangan terkejut jika penduduk luar bandar yang dipandang lekeh itu mempunyai status ekonomi yang lebih melegakan.

Bakal kehilangan undi

Politikus yang gemar menjentik sensitiviti rakyat sebenarnya mengamalkan politik dangkal. Rakyat cukup sensitif dengan kata-kata berbaur diskriminasi yang melambangkan sikap tidak pandai menghormati orang.

Apakah politikus seperti ini boleh diharap dapat menerapkan keadilan yang sebenar untuk seluruh rakyat? Belum pun berkuasa sepenuhya tetapi sudah pandai menunjuk lagak berat sebelah.

ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD 
23 April 2018 - HARAKAHDAILY 23/4/2018