21
Mon, Oct
11 Artikel Baru

Menjawab tuduhan PAS bukan agama

Nasional
Typography

FIRMAN Allah swt dalam surah Al Maidah ayat 54,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ۚ ذَٰلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

"Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya."

najhanAyat ini dihuraikan oleh para ulamak tafsir bahawa ia berkait dengan kewajiban diwujudkan satu kumpulan atau jamaah atau parti untuk mengembalikan semula pegangan Islam yang sebenar yang telah disalaherti atau diselewengkan.

1. Sering kali dakwaan mudah untuk menolak perjuangan PAS yang menjadikan Islam sebagai wadah perjuangan ialah PAS bukan agama.

2. PAS tidak pernah mendakwa dirinya atau partinya adalah agama. Tidak ada pernah ada seorang pemimpinnya yang mengucap demikian, tiada tulisan dalam perlembagaan mahupun kenyataan rasmi dan lelainnya.

3. PAS adalah sebuah wadah yang membawa risalah Islam menerusi perjuangan di lapangan politik pilihan raya dengan mengutamakan jalan damai (Muwajahah Silmiah) sebagaimana parti politik yang lain. Hanya yang berbeza ialah PAS meletakkan dasar dan idealisme perjuangannya adalah Islam yang syumul. Pendirian PAS ini selari dengan pandangan ulamak muktabar serata dunia bahawa amalan demokrasi dan menceburi di lapangan politik pilihan raya tidak bercanggah dengan Islam.

4. Penubuhan PAS adalah hampir serentak dengan penubuhan gerakan Islam sedunia seperi Al Ikhwan Muslimin di Mesir, Jamat el Islami di Pakistan dan juga Refah Partisi di Turki, Masyumi di Indonesia dan banyak lagi.

5. Hanya kelebihan PAS apabila PAS adalah yang terawal menyertai pilihan raya dalam sistem demokrasi daripada banyak parti atau gerakan Islam di serata dunia lain yang agak sikit kelewatan berbanding PAS.

6. Kenapakah ditubuhnya PAS dan juga gerakan Islam yang lain di serata dunia? Jawapannya ialah untuk mengembalikan sistem pemerintahan negara berprinsipkan Islam secara syumul. Rentetan kejatuhan Kerajaan Islam Uthmaniyyah yang pernah menaungi dunia dengan pemerintahan Islam.

7. Kenapakah pula demokrasi dan pilihanraya? Jawapannya adalah demokrasi dan pilihan raya adalah yang paling hampir kepada sistem Islam walaupun ia masih jauh daripada Islam sebenar namun ianya adalah jalan terbaik untuk menegakkan Islam. Ini juga kerana masyarakat dunia beriman dengan demokrasi, tetapi PAS menjadikan demokrasi sebagai jalan bukannya matlamat, jalan bagi menegakkan Islam.

8. Kejatuhan kerajaan Islam terakhir berpunca antara lain adalah kerana umat Islam jauh daripada sistem kesyumulan Islam. Terpengaruh dengan sistem penjajah seperti sekularisme dalam kehidupan dan urusan pemerintahan, kapitalisme dalam ekonomi, sosialisme dalam kemasyarakatan dan ekonomi, meninggalkan jauh daripada keindahan Islam.

9. PAS mengambil peranan dan tanggungjawab untuk mengembalikan semula kegemilangan dan keagungan Islam sebagai cara hidup bersistemkan petunjuk Allah dan Nabi saw. Pada ketika umat Islam menganggap Islam cukup sekadar berlegar di dalam masjid dan surau, hanya berkait upacara dan kerohanian semata-mata.

10. Sejak awal penubuhan PAS bergerak di lapangan politik, rata-rata masyarakat menganggap Islam itu tiada dalam politik, kerana politik itu kotor jijik. Termasuk dakwaan bahawa agama tiada urusan dalam pemerintahan. Berkat kesabaran PAS, akhirnya masyarakat mula menerima bahawa Islam itu syumul termasuk di lapangan politik.

11. Cumanya masyarakat belum dapat melihat bagaimana Islam itu berfungsi di lapangan politik. PAS walaupun sebuah partai, ia tetap berdakwah. Dalam berpolitik, PAS berdakwah kepada masyarakat dengan cuba sedaya upaya untuk menzahirkan Islam supaya masyarakat nampak dengan penyaksian pengalaman dan mata zahir mereka bahawa Islam itu mampu berfungsi lebih baik daripada sistem yang dipraktiskan sekarang.

12. PAS ketika bertanding dalam pilihan raya sebanyak 13 kali sejak merdeka, berusaha menonjolkan Islam dengan mengemukakan hujah menerusi petunjuk Al Quran dan Hadis sebagai rujukan, sewaktu para pemimpin politik lain jahil dengannya. PAS juga menzahirkan akhlak Islam ketika berkempen sewaktu ahli dan pemimpin politik lain bermaharajalela dengan rasuah, berhibur tanpa batasan, berkempen dengan kekerasan sehingga ada pemimpin PAS dan ahlinya dimangsakan. PAS menonjolkan akhlak muslimahnya dalam politik tanpa mengabaikan batasan agama.

13. Apabila PAS diberikan kuasa, memerintah negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, terlalu banyak prinsip dan idealisme Islam berjaya dipraktiskan dalam pemerintahan. Sebagai contoh, memindahkan kewangan negeri daripada perbankan konvensional kepada perbankan Islam, mewujudkan skim pinjaman Qardul Hasan, sistem Ar Rahn, Hisbah dengan menutup premis perjudian, menyusun semula pusat jualan arak dan bermacam lain konsep kebajikan selari dengan Islam yang semuanya kini ditiru oleh negeri lain. Malah PAS membuktikan kehebatan Islam dalam politik apabila pemimpinnya tidak pernah didakwa ataupun disabit kesalahan dalam rasuah dan salahlaku ketika memikul kuasa daripada rakyat. Ini kerana dosa pahala turut dikaitkan dalam politik, bukan dosa pahala kerana mengerjakan solat atau meninggalkannya sahaja.

14. Dan yang paling signifikan diusahakan oleh PAS ketika memerintah adalah mengembalikan sistem perundangan jenayah menurut undang-undang Islam walaupun terpaksa mengharungi cabaran yang getir dari sudut bidang kuasa dan salahfaham serta campur tangan.

15. PAS tidak pernah mengatakan bahawa orang yang tidak ikut PAS adalah tidak Islam. Yang hanya PAS pertahankan adalah perjuangan bersungguh-sungguh PAS untuk memartabatkan Islam ini pastinya ditentang hebat dan juga dimusuhi ketat oleh seteru politiknya dari pelbagai sudut. Kenapakah begitu? Jawapannya adalah kerana PAS membawa Islam sama ada mereka menentang kerana jahil, atau benar-benar memusuhi Islam.

16. Tanpa dinafikan parti politik Umno BN, PKR dan rakan mereka DAP dan PAN juga mendakwa bahawa ada sumbangan mereka pada Islam seperti pembinaan universiti, masjid, pusat pengajian Islam, sumbangan kewangan berkait ibadah dan lain-lain. Begitu juga segala usaha dan pembelaan kepentingan rakyat dan kebajikan dilaksanakan oleh parti pemerintah dan pembangkang.

17. Namun PAS ingin tegaskan Islam tidak sekadar itu, Islam yang diperjuangkan PAS adalah sebagai cara hidup dan sistem kehidupan. Islam itu mentadbir manusia dan mengatur sistem pemerintahan dan sebagai dasar. Bermakna segala tatacara kehidupan dunia ini dan dasar kepentingan rakyat dan negara adalah berpaksikan kepada kehambaan kepada Allah swt.

18. Daripada urusan kemasyarakatan dan hubungan sosial, ekonomi negara dan kewangan, sistem undang-undang dan peraturan, dasar negara dan pemerintahan, termasuklah urusan individu dan keluarga, PAS akan terapkan dan realisasikan menurut sistem Islam. Inilah yang diimani oleh PAS yang berbeza dengan parti politik lain.

19. PAS yakin, tiada parti politik yang lain mahu dan ingin mengaku bahawa mereka akan laksanakan seperti cita-cita PAS ini. Malah dasar politik mereka sendiri bercanggah dengan Islam. Ada kalangan parti amat tegar dengan prinsip sekularisme seperti PKR, ada juga tegar dengan pemikiran Liberalisme seperti PAN, ada yang tegar nasionalisme sempit dan pragmatisme seperti Umno BN dan termasuk yang tegar berfahaman sosialisme seperti DAP. Jikalau ini aliran mereka, bagaimana mereka mampu merealisasikan Islam yang syumul sebagai sistem kehidupan?

20. PAS sejak dari dahulu lagi pernah menyatakan bahawa sekiranya parti terbabit sanggup menerima Islam, PAS bukan sahaja sanggup bekerjasama, malah PAS akan dibubarkan. Kalau mereka menolak dan menentang Islam yang dibawa oleh PAS kononnya itu Islam ala PAS, silakan kemukakan Islam yang didakwa Islam yang betul. Silakan, PAS bersedia menerimanya.

21. Selagi Islam di negara ini, tidak berdaulat dan menjadi sistem pemerintahan serta kehidupan, selagi itulah PAS tetap wujud dan memperjuangkannya sehingga dunia ini dikembalikan kepada Allah Empunya Semesta Alam.

22. Inilah PAS, ia bukan agama. Tetapi sebab agamalah tertubuhnya PAS di muka bumi Malaysia ini. Berkata Saidina Uthman bin Affan ra, "Allah swt melahirkan manusia atau pemimpin di dunia ini bertujuan untuk menzahirkan Islam daripada Al Quran, yang tidak mampu dilakukan oleh Al Quran itu sendiri."

Malaysia Sejahtera
Undilah PAS✅

Ustaz Muhammad Najhan Halim
Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat
23 April 2018 / 7 Syaaban 1439 – HARAKAHDAILY 23/4/2018