21
Sun, Jul
31 Artikel Baru

Tengkolok yang membunuh

Nasional
Typography

SAYA meminati politik sejak dari kecil. Entah macam mana, satu perasaan keterujaan bila melibatkan politik. Saya masih ingat suatu pagi di tahun 1982, ketika berjalan beramai-ramai ke sekolah, saya lihat begitu banyak poster tergantung di jalan-jalan.

Terbayang lagi poster-poster itu dalam hitam putih, sama ada digantung atau dilekatkan di pokok atau dinding. Antara nama yang saya sempat baca ialah Tock Teng Sai, calon BN di Dun Bandar, Kuala Terengganu. Suatu suasana yang memberikan kemeriahan. Tetapi disebabkan terlalu kecil, saya tidak terlibat dengan apa-apa aktiviti politik.

Pada Ogos 1986, PRU ke-7, yang diwarnai dengan Peristiwa Memali, PAS kalah teruk. Di Dun Terengganu, PAS tinggal nisan. Saya menyokong PAS, walaupun tak layak mengundi, tetapi memanjat pokok, memasang poster untuk Umno sebab dapat duit. Alahai, biasalah, cari makan.

Antara sebab kekalahan PAS ialah isu berkenaan Memali, kafir mengkafir dan Amanat Haji Hadi. Tetapi lebih dari itu, undi simpati kepada PAS turut hilang di akhir-akhir hari berkempen iaitu dengan banyak kumpulan lawan PAS yang menyamar sebagai penyokong PAS menaiki motosikal, memegang bendera PAS, masuk ke kampung-kampung dan membuat bising, mengganggu penduduk kampung. Akhirnya orang ramai marah, dan PAS menjadi mangsa. PAS tidak sempat menerangkan atau membalas serangan akhir itu.

Tahun 1987, berlaku krisis kepimpinan Umno yang sangat parah. Tengku Razaleigh yang kalah selepas Pemilihan Agung Umno, mula berjinak-jinak dengan PAS, parti yang beliau tewaskan dengan cara kotor pada tahun 1978 dengan helah Mageran. Tetapi dalam politik, semuanya mungkin. PAS bersetuju bergabung dengan Semangat 46 dan beberapa lagi parti termasuk PBS di Sabah bagi membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

PAS berpecah kerana ada ahlinya yang menentang pergabungan itu. Tetapi PAS teruskan juga langkah politiknya. APU dilihat akan menjadi lawan yang sangat kuat dalam sejarah politik Malaysia. Kemungkinan BN kalah banyak kerusi itu besar. Saya masih ingat melalui cerita beberapa rakan, apabila beberapa wakil dari Kelantan yang datang ke Terengganu menjelang PRU, mereka ada memberitahu, jangan bimbangkan Kelantan, insyaAllah 42-0, hanya pastikan Terengganu juga PAS menang.

Sungguh, PAS sapu bersih Kelantan, orang Kelantan tak makan provokasi ketika itu. Tetapi Terengganu, PAS hanya menang tujuh kerusi. Tema Tahun Tawan Terengganu pada waktu itu, layu berguguran. Bukan itu sahaja, di peringkat nasional juga, Tengku Razaleigh juga tidak mampu membawa APU menawan Malaysia.

Apa yang berlaku ketika itu ialah, BN menggunakan semaksimanya TV, radio dan juga akhbar untuk menyerang APU. Dan serangan yang kita katakan paling ‘iconic’ ialah "Tengkolok Berlambangkan Salib". Ia bermula dengan lawatan Tengku Razaleigh ke Sabah dan beliau disambut oleh Presiden PBS ketika itu, Datuk Joseph Pairin Kitingan.

Sebagai adat menyambut tetamu kenamaan, Pairin menyarungkan tengkolok ke kepala Tengku Razaleigh. Esoknya, berkebetulan sehari atau dua hari sebelum PRU, di muka depan akhbar-akhbar perdana, gambar Tengku Razaleigh memakai tengkolok berlambangkan salib tersebar di seluruh Malaysia. Isu agama ini sungguh berkesan di hati rakyat Malaysia kerana cara mereka mengubah gambar asal itu sangat berjaya dengan mengubah lambang daun itu menjadi lambang salib agama Kristian. 1990, APU gigit jari, BN menang selesa. Tengkolok itu benar-benar membunuh APU.

Berlaku di Terengganu 2004, ketika hampir dengan PRU 11, isu yang dimainkan oleh BN ialah PAS zalim kerana mengunci balai raya di Dungun, menghalang kanak-kanak Tadika Kemas daripada belajar. Dengan gambar-gambar yang menarik, tanpa diubah, tetapi mereka melakonkan aksi kanak-kanak membawa kerusi dari balai raya itu.

Sebelum itu surat sudah diberikan untuk Kemas berpindah, kerana balai raya itu milik kerajaan negeri dan Kemas adalah di bawah Umno, tetapi tidak dihiraukan. Pada waktu lakonan itu, pintu pagar dikunci, balai raya tidak dibuka. Jadi, dari mana datangnya kerusi itu? Akhirnya diakui oleh mantan Ketua Pemuda Umno Terengganu Datuk Razali Idris, selepas keluar Umno, bahawa lakonan itu adalah diarahkan oleh beliau. PAS kalah di Terengganu dengan dibantu isu penipuan pengundi juga.

Kesemua tipu helah ini, sudah lama berlaku dan akan terus berlaku terutama saat-saat akhir menjelang PRU kerana itu adalah resepi untuk mereka menang. PAS sentiasa menjadi mangsa keadaan fitnah ini. Alhamdulillah, teknologi semakin berkembang, dan fitnah juga boleh ditangani dengan agak berkesan berbanding dahulu. Mereka tidak boleh hidup tanpa fitnah. Bagi mereka matlamat menghalalkan cara untuk mereka menang. Fitnah jika diberitakan hari-hari, ia akan diterima sebagai berita benar.

Kini, fitnah itu datang lagi, hanya ketika sehari sebelum PRU14. PAS difitnah telah berpakat dengan Umno untuk membahagi-bahagikan kerusi dan jawatan. Fitnah ini dirancang sangat lama, bertahun lamanya, mereka sangat sabar menyudahi adegan demi adegan fitnah ini. Pada permulaan plot fitnahnya ia memberikan persepsi PAS mahu bergabung dengan Umno, sudah terkantoi kerana sudah hampir 10 tahun, masih tidak bergabung.

Kemudian fitnah PAS menerima duit Umno RM 90 juta, sudah hampir kalah di Mahkamah London. Lagi, fitnah PAS tidak meletakkan calon di beberapa kerusi untuk melawan Umno, sudah mereka menarik balik. Kini dikeluarkan surat pula bagaikan minit mesyuarat, PAS sedang berbahagi harta dan kedudukan dengan Umno terutama di Kelantan.

Mereka tidak memerlukan masa yang lama untuk rakyat mempercayainya, tetapi hanya sehari, iaitu hari mengundi. Kerana jika lama, rakyat akan mempersoalkan banyak perkara dan mereka akan terkantoi lagi. Mereka tidak mampu menarik hati rakyat dengan agenda mereka, akhirnya fitnahlah yang menjadi senjata mereka. Begitulah kerja-kerja fitnah ini, tak kira daripada siapa, ianya cukup keji. Neraka tidak lagi menjadi ancaman kepada mereka. Tiada apa yang mereka takutkan. Maka berhati-hatilah dengan kempen fitnah saat akhir, mereka berada di mana-mana. InsyaAllah, rakyat tidak sedungu yang mereka sangka.

MOHD NASIR ABDULLAH 
8 Mei 2018 - HARAKAHDAILY 8/5/2018