26
Mon, Aug
27 Artikel Baru

Surat terbuka kepada anak muda

Nasional
Typography

“SESIAPA di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak mampu hendaklah dengan lisannya, dan sekiranya tidak mampu hendaklah dengan hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.”

(Maksud Hadis Riwayat Muslim)

Saudara dan Saudari,

Terdapat banyak perkara yang berlaku di luar kemampuan kita.

Saban hari kita mengeluh tentang isu ekonomi yang membelenggu negara, di samping bimbang terhadap moral dan akhlak generasi muda, kesan pelbagai kemelut sosial dan politik yang melanda negara.

Realitinya, kebimbangan ini telah lama berlarutan, dan mungkin akan berterusan sekiranya generasi muda hanya sibuk memberikan komentar di FB, Twitter dan WhatsApp, tetapi tidak menterjemahkannya dalam bentuk tindakan dan keberanian untuk melakukan perubahan.

Saudara dan Saudari,

Pilihan raya merupakan medan terbaik untuk mengubah ‘status-quo’ dalam negara.

Kesedaran dan penyertaan politik yang tinggi di kalangan anak muda, akan membuka mata semua pihak, seterusnya meningkatkan kepedulian kerajaan terhadap kebajikan anak muda, khususnya dalam aspek peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan, kenaikan kos sara hidup, di samping agenda pendidikan, kesihatan, dan capaian pengangkutan.

Justeru dalam kita melantik pemimpin pada PRU ke-14 ini, pilihlah mereka yang benar-benar berjiwa rakyat, dan menjalani hidup seharian seperti rakyat; mengisi minyak kereta sendiri, membayar bil dan cukai sendiri, menimbang ikan dan sayur sendiri, serta membeli makanan dan pakaian anak-anak dengan sendiri.

Selain itu, anak muda perlu sentiasa menjadi watak ‘orang tengah’ dalam persaingan politik negara, menolak politik wang dan skandal rasuah yang tidak berkesudahan, serta menolak politik fitnah dan permusuhan yang bercanggah dengan ketamadunan Melayu dan keharmonian kaum dalam negara.

Inilah pendekatan Politik Matang dan Sejahtera yang lebih disenangi oleh majoriti rakyat dan anak muda, di mana anak muda sentiasa bijak untuk menilai mana yang baik, dan mana yang buruk, dan bijak untuk menilai siapakah perasuah, siapakah pendusta, siapakah pemfitnah, dan siapakah di pihak yang benar.

Insya Allah dengan pertimbangan akal, ilmu dan kesedaran yang tinggi, pada 9 Mei 2018 ini, anak muda akan memilih mereka yang benar-benar ikhlas membantu rakyat, dan yang hidup seharian bersama rakyat, untuk diangkat dan dilantik sebagai wakil rakyat.

Cukuplah situasi yang sama tidak sepatutnya berulang, di mana “Pemimpin yang tidak baik dihantar ke Putrajaya, oleh rakyat yang baik tetapi tidak mengundi”.

"Anak Muda Bijak"
"Undi YB Rakyat"

SYAHIR SULAIMAN 
Pengarah Strategi Pemuda PAS
8 Mei 2018  - HARAKAHDAILY 8/5/2018