PAS Kedah komited perjuang hak rakyat

Nasional
Typography

PAS Kedah merakamkan jutaan terima kasih kepada semua petugas jentera pilihan raya PAS dan rakyat umumnya yang memberikan kepercayaan memilih PAS di beberapa kerusi tertentu dalam PRU kali ini.

Walaupun PAS Kedah belum lagi berjaya mengambil alih tampuk pentadbiran Negeri Kedah namun PAS berjaya menambah jumlah kerusi Dun dari sembilan ke 15 kerusi.

Kejayaan ini adalah hasil kerja dari seluruh ahli dan para petugas jentera pilihan raya di semua peringkat di samping penolakan rakyat terhadap kepimpinan terdahulu.

Selain itu PAS mengambil sikap memerhati bagaimana perjalanan Kerajaan Kedah di bawah Pakatan Harapan (PH) yang memperolehi 18 kerusi buat masa ini.

Justeru itu juga, kesempatan ini PAS menyeru dan membuka pintu kepada seluruh rakyat Kedah yang memegang pelbagai keahlian parti politik seperti Umno dan sebagainya agar dapat bersama PAS yang berhasrat membentuk Kedah yang Sejahtera, Dinamik dan Harmoni.

PAS yang tegas memegang prinsipnya akan terus komited dan sentiasa bersama masyarakat menerusi para perwakilan PAS yang dipilih oleh rakyat untuk mengangkat serta memperjuangkan hak mereka.

Selain itu, PAS konsisten menjaga silaturahim dan keharmonian berbilang kaum serta berkomitmen tinggi menjaga kepentingan Islam di Negeri Kedah.

DR AHMAD FAKHRUDDIN FAKHRURAZI
Pesuruhjaya PAS Kedah 
13 Mei 2018 - HARAKAHDAILY 13/5/2018