20
Thu, Jun
40 Artikel Baru

Royalti: Perlembagaan dan undang-undang

Nasional
Typography

SEMASA pembentukan Persekutuan Tanah Melayu (dan kemudiannya Malaysia), Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu hanya membenarkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Parlimen untuk melaksanakan sebahagian kuasa perundangan, serta membenarkan Yang di-Pertuan Agong dan Kerajaan Persekutuan melaksanakan sebahagian kuasa pentadbiran bagi tujuan pembentukan sebuah Persekutuan, kuasa tersebut dibenarkan dalam maksud yang terhad sepertimana yang diperuntukkan oleh Fasal 14(2) Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu. Fasal 14(2) berbunyi;

“Tidaklah apa-apa yang terkandung di dalam Fasal ini atau di dalam Fasal 15 akan menyebabkan tidak sah bagi Raja membuat satu Perjanjian dengan Yang Maha Mulia Baginda Queen dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja bagi Negeri-negeri Melayu untuk membatalkan Perjanjian Persekutuan 1948 dan mengadakan syarat kerana Perlembagaan dan Kerajaan bagi sesebuah Negeri Persekutuan yang baharu dan merdeka di dalam Negeri British Komanwelnya, terdiri daripada Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat Melaka dan Pulau Pinang dan lain-lain jajahan yang harus akan diterima masuk ke dalam Persekutuan itu dari satu masa ke satu masa.”

Hubungan di antara negeri dan Persekutuan ada termaktub dalam peruntukan-peruntukan di bawah Bahagian Enam Perlembagaan Persekutuan dan hendaklah tertakluk kepada Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu.

Kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan Pelantar Benua di mana minyak atau petroleum dijumpai adalah dalam wilayah dan hak kedaulatan Negeri Terengganu, EEZ dan Pelantar Benua tidak pernah diserah atau dilepaskan maka ianya adalah kekal di bawah wilayah dan hak kedaulatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu dan menjadi milik Negeri.

Mengikut Artikel 1(4) Perlembagaan Persekutuan, ZEE dan Pelantar Benua bukanlah dalam kawasan Wilayah Persekutuan.

Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Kerajaan Terengganu tidak boleh malah ditegah sama sekali untuk menyerah atau melepaskan wilayah dan hak kedaulatan ke atas tanah, air dan hasil bumi termasuklah ZEE dan Pelantar Benua kepada Kerajaan Persekutuan.

Jika dirujuk kepada Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu tidak pernah menyerah atau melepaskan hak ke atas hasil bumi kepada Kerajaan Persekutuan secara mutlak.

Perenggan (j) Perkara 8 dalam Jadual Kesembilan Senarai Persekutuan hanyalah memberi kuasa kepada Parlimen untuk meregulasi ehwal perlombongan minyak dan hasil galian bagi tujuan tred, perdagangan dan perusahaan.

Hanya terdapat Akta Parlimen yang tidak mempunyai bidangkuasa yang kompeten; Akta Perlombongan Petroleum 1966, Akta Pelantar Benua 1966, Akta Pembangunan Petroleum 1974, Akta Zon Ekonomi Eksklusif 1984 dan Akta Laut Wilayah 2012 yang menyerahkan hak kedaulatan Negeri (kawasan di Luar Pesisir Pantai) kepada Yang di-Pertuan Agong dan mengubah takat sempadan wilayah Negeri.

Kerajaan Persekutuan sendiri telah meminta Negeri-negeri untuk menandatangani Perjanjian Pembangunan Petroleum bagi memberi hak kepada Petronas. Ini membuktikan Kerajaan Persekutuan mengiktiraf bahawa hasil minyak yang ditemui di dalam kawasan ZEE dan Pelantar Benua adalah milik negeri.

Kerajaan Persekutuan sentiasa mengiktiraf hak kedaulatan kawasan Tanah luar Pesisir atau perairan negeri. Peristiwa terbaru, PM umumkan penemuan minyak di Bertam sebagai penemuan di dalam kawasan perairan Negeri Pahang, tidak diumumkan dalam pantai Malaysia.

Ujian yang boleh digunakan untuk membuktikan hak kedaulatan Terengganu ke atas ZEE dan Pelantar Benua, apabila Singapura disingkir dari Malaysia, Singapura terus memiliki hak kedaulatan ke atas ZEE dan Pelantar Benua kawasan yang berdampingan dengan pantai Singapura, malah ECJ putuskan Pulau Batu Putih terletak di bawah kedaulatan Singapura. Sama halnya apabila berlaku pemisahan wilayah Sudan.

Kerajaan Persekutuan mengiktiraf hak negeri ke atas petroleum. Dalam masa 22 tahun sehingga Mac 2000, Negeri Terengganu telah menerima bayaran tunai (royalti) sejumlah RM 7.13 billion.

Kerajaan Terengganu di bawah PAS pada tahun 2001 telah menyaman Petronas apabila Kerajaan Persekutuan gagal meneruskan bayaran tunai sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perjanjian 1975.

Dalam beberapa siri perundingan di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam tahun 2012. Kerajaan Persekutuan telah meminta Kerajaan Negeri menarik balik saman dan bersetuju untuk teruskan bayaran tunai.

Pembentukan kerajaan yang baru di Peringkat Persekutuan diharap memperbetulkan kesalahan yang berlaku dengan menghormati Perjanjian Pembangunan Petroleum 1975 dengan mengembalikan bayaran yang sepatutnya kepada Kerajaan Terengganu seperti dikehendaki dalam perjanjian berkenaan.

Sebarang pembentukan medium ketiga bagi menerima wang royalti berkenaan tanpa persetujuan Kerajaan Terengganu adalah tidak sah dan melanggar perjanjian berkenaan. Malaysia tidak perlu melantik wakil 'ala Residen British' di era penjajahan Inggeris atau orang tengah yang bertindak `ala Broker' bagi menguruskan wang royalti petroleum milik Terengganu.

"Medium Ketiga" ala Residen British, atau Orang Tengah "ala Broker" akan hanya menjarakkan lagi hubungan kerja yang sepatutnya dipereratkan antara Kerajaan Terengganu dan Persekutuan dalam konteks kita berkongsi negara yang sama selaras semangat Federalism.

Ia juga tidak efisyen dan merugikan negara kerana perlu mewujudkan satu jentera yang lain seolah-olah kerajaan dalam kerajaan bagi pengurusan wang berkenaan sedangkan Terengganu ada Kerajaannya sendiri yang dipilih secara proses demokratik.

Ia meningkatkan kos pengurusan dan terdedah kepada berulangnya salah laku seperti dilaporkan di dalam pelbagai Laporan Ketua Audit Negara sebelum ini dalam pengurusan 'wang ehsan'.

Ia tidak menghormati pilihan demokratik rakyat Terengganu dan penghinaan langsung kepada Kerajaan Terengganu yang berada di bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, yang pelantikan Menteri Besar dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, kesemuanya dibuat dengan perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu.

Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu tidak pernah memberi perkenan kepada pelantikan sebarang pihak ketiga 'ala Residen British' di era penjajahan atau orang tengah 'ala Broker' untuk menguruskan wang yang menjadi hak Kerajaan Terengganu.

Kembalikan Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang Malaysia dengan mengembalikan hak negeri Terengganu dalam isu royalti petroleum dan menghormati kedaulatan wilayah milik Negeri Terengganu termasuk perairannya dalam isu Telaga Minyak Bertam.

HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu 
16 Mei 2018 - HARAKAHDAILY 16/5/2018