Guru melahirkan insan rabbani

Nasional
Typography

DIRIWAYATKAN oleh Abu Umamah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكتَهُ وَأَهْلَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ حَتَّى النَّمْلَةَ فِيْ جُحْرِهَا وَحَتَّى الحُوْتَ لَيُصَلُّوْنَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الخَيْرَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah swt, para Malaikat dan semua penduduk di langit dan di bumi, sehinggakan semut di sarangnya dan ikan (di lautan) pasti berselawat (mendoakan) kebaikan bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.” (Riwayat Imam at-Tirmizi)

Seorang guru memiliki martabat yang tinggi di sisi Islam. Jika nilai sesuatu ilmu dan seorang yang menuntut ilmu sangat dimuliakan oleh Islam, apatah lagi bagi mereka yang mengajarkan ilmu tersebut.

Rasulullah SAW juga seorang guru. Baginda SAW mendidik dan membentuk pegangan, pemikiran serta keperibadian seluruh umat manusia. Begitu juga seorang guru yang memiliki tugasan hakiki membentuk pegangan, minda dan akhlak generasi mendatang.

Sewajarnya sambutan hari guru di sekolah turut melibatkan para ibu bapa dan penjaga, bagi mengeratkan hubungan di antara keduanya, bahkan memastikan para ibu bapa memahami serta menghayati kemuliaan dan pengorbanan seorang guru yang telah mendidik anak mereka.

Malah perlu juga melibatkan masyarakat secara amnya supaya semua pihak sedar, bahawa berjayanya seseorang pada hari ini adalah hasil jerih payah seorang guru yang mendidiknya sebelum ini.

Saya mengucapkan selamat hari guru kepada semua guru yang mengajar di pelbagai peringkat secara langsung atau tidak secara langsung. Semoga diberikan kekuatan oleh Allah swt. untuk terus berbakti kepada ummah.

Hanya Allah swt. jua yang akan membalas segala jasa baik anda semua.

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 16/5/2018