Bebaskan Kementerian Kewangan

Nasional
Typography

DENGAN sebegitu banyak skandal yang terkait dengan rejim terdahulu, agak menghairankan mengapa Tun Dr Mahathir boleh mencadangkan nama Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan sedangkan beliau sedang berdepan perbicaraan kes rasuah.

Perdana Menteri kemudiannya menjelaskan bahawa tiada nama lain dicadangkan untuk menggantikan Lim Guan Eng dan beliau mesti bebas dari segala tuduhan sebelum boleh menjawat jawatan tersebut. Sementara itu, sebarang keputusan dan tindakan penting kementerian akan dirujuk secara terus kepada Perdana Menteri.

Maka ini adalah satu lagi cara untuk meletakkan Kementerian Kewangan terus di bawah pengaruh Perdana Menteri?

Di kala urusan ekonomi dan ketelusan dikatakan menjadi keutamaan kerajaan hari ini, adalah penting agar tugasan Menteri Kewangan dipisahkan sepenuhnya dari Perdana Menteri. Hakikatnya, tradisi Perdana Menteri menjadi Menteri Kewangan bermula dari zaman Tun Dr. Mahathir dan menjadi salah satu sebab utama yang menyebabkan kecelaruan pentadbiran ekonomi negara. Ianya tidak boleh diulangi.

Wakil-wakil rakyat PH, tokoh-tokoh terkemuka yang dilantik dan Jawatankuasa Reformasi Institusi mesti segera membangkitkan isu ini dengan PM dan membetulkan keadaan yang timbul selari dengan janji untuk menubuhkan kerajaan pusat yang terbuka serta bebas dari konflik kepentingan dan rasuah.

Tinggal 93 hari lagi.

Nurul Islam Mohamed Yusoff
Exco Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 16/5/2018