Tafakkur dan Tafaqquh Juz 1 

Nasional
Typography

RAMADAN al-Mubarak kembali lagi. Orang-orang yang beriman pasti bergembira manakala golongan munafik dan fasik agak suram menyambut bulan yang penuh barakah ini. Sempena Ramadan kali ini, saya ingin berkongsi sedikit ilmu sebagai tatapan seluruh pembaca di media sosial khasnya.

Tazkirah setiap hari Ramadan yang saya namakan sebagai Tadabbur dan Tafaqquh ini lebih menjurus kepada pemerhatian terhadap ciptaan Allah untuk dijadikan pengajaran kepada kita semua. Dalam juz pertama, Allah telah membawakan perumpamaan seekor nyamuk untuk ditadabbur serta dikaji perkaitan dengan kehidupan seharian kita.

Firman Allah S.W.T:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَحْيِي أَنْ يَضْرِبَ مَثَلًا مَا بَعُوضَةً فَمَا فَوْقَهَا ۚ فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا فَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِنْ رَبِّهِمْ ۖ وَأَمَّا الَّذِينَ كَفَرُوا فَيَقُولُونَ مَاذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهَٰذَا مَثَلًا ۘ يُضِلُّ بِهِ كَثِيرًا وَيَهْدِي بِهِ كَثِيرًا ۚ وَمَا يُضِلُّ بِهِ إِلَّا الْفَاسِقِينَ

"Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, seperti nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya). Maka adapun orang-orang yang beriman, maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula, maka mereka akan berkata: Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini? (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan ramai orang yang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan ramai orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik."

[al-Baqarah: 26]

Nyamuk adalah sejenis serangga yang terlalu kecil dan penghisap darah. Sekali lihat, ia adalah suatu makhluk yang hina dan tidak mempunyai apa-apa kelebihan. Namun, jika ditadabbur serta dikaji, nyamuk boleh mendengar melalui antenanya sama dengan fungsi telinga manusia. Melalui kajian tentang indera pendengaran nyamuk sahaja, manusia boleh mencipta mikrofon yang terbaik dan mampu menangkap suara yang sangat perlahan.

Mengikut Saintis, jika dibuat penelitian melalui mikroskop dan diperbesarkan 400 kali, kita akan dapat menyaksikan di kepala nyamuk terdapat 100 mata, ada sekitar 48 gigi di mulutnya dan memiliki 3 jantung. Ini bermakna, daripada seekor nyamuk sahaja, kita dapat menyaksikan betapa lemahnya manusia dan tiada kemampuan untuk mencipta sesuatu yang lebih kecil daripada nyamuk. Jadi, apa sebab manusia ingin menyombong diri dan berlagak seolah-olah dialah yang berkuasa di muka bumi. Tadabburlah ayat Allah, nescaya ianya menginsafkan kita. Ramadhan Karim!.

USTAZ DATO' BENTARA KANAN
Menteri Besar Kelantan 
01 Ramadhan 1439H - HARAKAHDAILY 17/5/2018