Anwar versi Umno lama?

Nasional
Typography

MAHU rampas Kelantan dan Terengganu, ini kata-kata Anwar Ibrahim di pentas pertama di himpunan 16 Mei selepas diberi pengampunan penuh oleh Istana Negara berkaitan kes liwat pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.

Kata-kata angkuh ini sebaik bebas dari tirai besi, sedikit pun tidak melihat sejarah silam bila aibnya dijaja Tun Dr Mahathir Mohammad era reformasi.

Benar beliau maafkan Mahathir hatta Najib tanpa dendam dalam aib kes liwat, ini suatu sifat mulia, tetapi apakah dosa PAS yang dapat suara majoriti rakyat di Terengganu dan Kelantan hingga tiba-tiba ayat kesumat versi Umno lama terungkap di mulut bekas Timbalan Presiden Umno ini?

Apakah ini tarbiyah dalam tirai besi versi pembebasan di era Tun Mahathir menjadikan Anwar kembali menjadi angkuh menjarah dendam politik tatkala rakyat amat berharap Umno versi lama tidak masuk menjiwai PH.

Nampak gayanya, belum pun penat bersemayam di tirai besi berlabuh, dia memenatkan rakyat yang dahulu turun jalan raya, meletak badan sebagai perisai, darah, luka, dihumban ke black maria, di lock up, malah ada yang hilang kerjaya kerana membela aibnya, kini dia bersama sang penguasa yang berjaya mengaibnya semusim reformasi dahulu.

Suara Anwar kembali garang menelan ganas bara kuasa, wajahnya terpampang bersama diktator tua yang dahulu memenjaranya.

Dia lupa, kenyataannya itu bagaikan singa lapar yang pulang ke kandang asalnya yang bernama Umno versi lama.

Suatu masa lalu, dia pernah menghentam rapat Mahathir dan Najib, dia duduk di pentas PAS mencari rakan pembela.

Ya, benarlah ijtihad Tuan Guru Abdul Hadi Awang, putus dengan PKR ini satu yang tepat, kerana kita semua dapat melihat sifat sebenar pengemudi PKR yang kini bersama sang penguasa menafi suara demokrasi rakyat di Pantai Timur. Maka tiada bezanya kerajaan PH yang ada dengan versi Umno lama. – HARAKAHDAILY 17/5/2018