Kecam buka Kedutaan AS di Baitulmaqdis

Nasional
Typography

ASIAN Federation of Muslim Youth (AFMY) mengecam sekeras-kerasnya pembukaan kedutaan Amerika Syarikat di Baitulmaqdis, menandakan pengiktirafan sebagai ibu kota negara haram Israel. Majlis pembukaan ini telah diadakan beberapa hari sebelum menjelangnya bulan suci Ramadan 1439H.

Pemindahan kedutaan ini telah meletuskan kemarahan umat Islam di Gaza yang selama ini telah dinafikan hak kebebasan di bumi Baitulmaqdis. Israel telah mengadakan sekatan darat, laut dan udara ke atas bumi Gaza selama lebih satu abad, menyebabkan kawasan itu terputus keperluan dan menyebabkan penderitaan rakyatnya.

Setakat kenyataan ini ditulis, sudah 62 rakyat Palestin yang terkorban dan hampir 2000 lagi yang tercedera. Lebih menyayat hati apabila salah seorang mangsa yang terkorban ialah bayi berumur 8 bulan bernama Laila Anwar al-Ghandour, yang terbunuh sewaktu Ulang Tahun ke-70 hari memperingati Peristiwa An-Nakbah.

Kecaman keras juga ditujukan kepada 33 negara yang menghantar perwakilan mereka ke majlis pembukaan kedutaan tersebut, di sebalik Resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada 21 Disember 2017 yang menolak pengisytiharan Baitulmaqdis sebagai ibu Negara Israel.

Negara umat Islam sepatutnya menunjukkan reaksi keras terhadap kebiadapan ini seperti mana yang ditunjukkan oleh Turki yang memanggil pulang dutanya di Washington dan Tel Aviv serta mengarahkan diplomat Israel di Turki untuk pulang ke negara asal mereka.

Jihad mempertahankan bumi Palestin adalah suatu yang akan berkekalan sehingga Hari Kiamat. Ramadan yang tiba ini seharusnya menyedarkan umat Islam menyemarakkan semula semangat jihad dan membantu Palestin melalui doa, sumbangan kewangan yang tidak terputus, serta sebaran melalui pelbagai bentuk media.

DR ABDUL MUNTAQIM ABU BAKAR  
Setiausaha Agung
Asian Federation of Muslim Youth (AFMY)
18 Mei 2018 / 2 Ramadan 1439H - HARAKAHDAILY 18/5/2018