17
Wed, Jul
40 Artikel Baru

Tafakkur dan Tafaqquh Juz 4

Nasional
Typography

TAFAKKUR hari ini memfokuskan satu ayat dalam Juz 4 yang membicarakan peranan tidur kepada tubuh badan manusia. Islam mengajar umatnya agar turut mementingkan jadual tidur dan kerehatan badan agar ibadah dan aktiviti harian dapat dilakukan dengan baik.

Tentera Rasulullah S.A.W pernah dibantu oleh Allah dengan bantuan tidur yang dapat mengumpulkan tenaga ketika berperang. Firman Allah S.W.T:

ثُمَّ أَنْزَلَ عَلَيْكُمْ مِنْ بَعْدِ الْغَمِّ أَمَنَةً نُعَاسًا يَغْشَىٰ طَائِفَةً مِنْكُمْ ۖ وَطَائِفَةٌ قَدْ أَهَمَّتْهُمْ أَنْفُسُهُمْ يَظُنُّونَ بِاللَّهِ غَيْرَ الْحَقِّ ظَنَّ الْجَاهِلِيَّةِ ۖ يَقُولُونَ هَلْ لَنَا مِنَ الْأَمْرِ مِنْ شَيْءٍ ۗ قُلْ إِنَّ الْأَمْرَ كُلَّهُ لِلَّهِ ۗ يُخْفُونَ فِي أَنْفُسِهِمْ مَا لَا يُبْدُونَ لَكَ ۖ يَقُولُونَ لَوْ كَانَ لَنَا مِنَ الْأَمْرِ شَيْءٌ مَا قُتِلْنَا هَاهُنَا ۗ قُلْ لَوْ كُنْتُمْ فِي بُيُوتِكُمْ لَبَرَزَ الَّذِينَ كُتِبَ عَلَيْهِمُ الْقَتْلُ إِلَىٰ مَضَاجِعِهِمْ ۖ وَلِيَبْتَلِيَ اللَّهُ مَا فِي صُدُورِكُمْ وَلِيُمَحِّصَ مَا فِي قُلُوبِكُمْ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ

"Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan daripada kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas), sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang-orang Jahiliyah. Mereka berkata: Adakah bagi kita sesuatu bahagian dari pertolongan kemenangan yang dijanjikan itu? Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya perkara (yang telah dijanjikan) itu semuanya tertentu bagi Allah. Mereka sembunyikan dalam hati mereka apa yang mereka tidak nyatakan kepadamu. Mereka berkata (sesama sendiri): Kalaulah ada sedikit bahagian kita dari pertolongan yang dijanjikan itu, tentulah (orang-orang) kita tidak terbunuh di tempat ini? katakanlah (wahai Muhammad): Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun nescaya keluarlah juga orang-orang yang telah ditakdirkan (oleh Allah) akan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing. Dan (apa yang berlaku di medan Perang Uhud itu) dijadikan oleh Allah untuk menguji apa yang ada dalam dada kamu, dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan segala yang ada di dalam dada."

 [Ali-'Imran: 154]

Tidur mengikut amalan Sunnah akan mendapat tenaga untuk beribadah. Di dalam Kitab 'Misykatul Mashabih' disebutkan tentang salah satu amalan Sunnah baik untuk kesihatan ialah tidur yang sedikit di waktu tengahari atau Qailulah. Mengikut kajian para Saintis, didapati bahawa tidur pada malam hari sahaja tidak mencukupi untuk manusia tetapi perlu ada sedikit tidur di siang hari dalam masa yang singkat.

Mereka mendapati bahawa otak manusia sebenarnya terdedah kepada keletihan di siang hari kerana berfungsi mengumpul pelbagai maklumat yang sampai kepadanya. Dengan demikian, otak memerlukan sedikit rehat. Rehat ini membolehkan otak menyusun semula maklumat dan mengatur gelombang-gelombang sel ke arah memantapkan semua maklumat yang diterima. Para Saintis juga mendapati prestasi otak dan kemampuan mengingati sesuatu bagi orang yang tidur sekejap di siang hari adalah lebih baik.

Sekiranya penumpuan kepada ibadat banyak diberikan pada waktu malam sempena Ramadan ini, maka sangat wajar ada sedikit kerehatan pada siang hari. Kekurangan tidur sebenarnya juga boleh mengakibatkan prestasi kerja menurun.

Di Amerika Syarikat, terdapat satu Suruhanjaya Khas untuk mengkaji tentang permasalahan yang timbul akibat tidur dan mereka melaporkan bahawa masalah akibat tidur telah menjejaskan produktiviti dan menyebabkan kerugian USD 100 hingga 150 billion setahun.

Saintis-saintis dari Universiti Chicago mendapati kekurangan tidur boleh menyebabkan gangguan kepada proses pengeluaran hormon, melemahkan kemampuan badan untuk memanfaatkan karbohidrat di dalam badan dan mewujudkan masalah seperti penyakit kencing manis.

Kajian juga mendapati seseorang yang tidur kurang daripada 3 jam akan mudah mengalami tekanan perasaan dan akan mudah dijangkiti kuman kerana sistem pertahanan badannya juga turut menjadi lemah.  

Umat Islam perlu sedar bahawa Ramadan merupakan bulan yang datang untuk menjaga kesihatan mereka dan puasa itu sendiri adalah vitamin kesihatan yang sangat mujarab. Baki lagi kita perlu menyusun jadual tidur dengan baik supaya ibadah semasa Ramadan tidak terganggu.

Ramadan Karim!

USTAZ DATO' BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
04 Ramadan 1439H - HARAKAHDAILY 20/5/2018