Larangan berkasih sayang dengan musuh

Nasional
Typography

KENAPA Allah larang kita berkasih sayang dengan orang-orang yang memusuhi Allah dan Rasul? Kerana Allah tidak mahu kita diheret oleh mereka sehingga kita menjadi kufur setelah beriman kepada Allah dan Rasul.

Kita mungkin tak tukar agama. Tapi kerana mahu menjaga hati mereka kita bertolak ansur dalam perkara yang batil dan syirik. Kita mahu dianggap kawan yang setia maka kita terpaksa membuktikan kesetiaan dengan melakukan perbuatan atau perkataan yang senada dengan mereka. Sekalipun perkara tersebut hukumnya haram di sisi Islam.

Kita memang masih beragama Islam, tapi kerana mahu membuktikan kita sehati dan sejiwa dengan mereka maka kita turut mengkritik Islam dan mula memcampur aduk Islam dengan kebatilan atas nama hak asasi dan kebebasan berfikir.

Lama kelamaan kita mula melihat Islam itu sempit. Orang Islam itu ketinggalan dan kolot. Ulamak-ulamak itu hanya pak lebai yang jumud dan memalukan. Kita mula berpendapat ulamak-lah punca umat ini mundur. Akhirnya kita mula memperlekehkan Islam. Memaki ulamak. Melihat kafirin itu mulia dan hebat. Lalu, akhirnya tanpa sedar kita telah murtad. Na'uzubillah.

Allah sayang kita, kerana itu awal-awal lagi Allah larang berkasih sayang dengan mereka. Tapi kita tak sayang Allah. Kita lebih rela mencari kemuliaan di sisi musuh-musuh Allah. Sehingga sanggup memerangi agama Allah.

Tunggulah, kita akan menyaksikan musuh-musuh Allah itu berlumba-lumba menampilkan diri untuk memerangi agama Allah kemudian orang-orang yang munafik akan mempertahankan mereka jika ada segerombolan mukmin bertindak mempertahankan agama.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat  - HARAKAHDAILY 22/5/2018