Naratif politik yang penuh 'perangkap'

Nasional
Typography

ENTAH mengapa saya tak berapa berminat nak ulas pendedahan kemewahan DS Najib dan Rosmah yang sedang didedah oleh kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) penuh ghairah.

Tak berminat itu bukan kerana saya rela harta negara dirompak jika betul Najib melakukannya. Atau kerana saya tiba-tiba berubah arah menyokong Najib. Bukan juga kerana saya tak bersetuju Kerajaan PH menyiasat sehingga berjaya bawa balik duit negara yang diseludup ke beberapa buah negara (sebagaimana yang dilaporkan). Bukan rakyat Malaysia-lah saya kalau tak suka Malaysia diselamatkan dari penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Saya kurang berminat itu kerana ada beberapa sebab:

●     Saya bimbang saya dan rakyat terperangkap sekali lagi dalam keghairahan skandal politik pemimpin. Bimbang jadi macam kes yang lepas-lepas. Heboh negara pasal salah laku seks dan liwat. Saban malam berita tersebut disogokkan kepada rakyat dan penonton. Siap usung tilam ke Mahkamah. Rakyat terpaksa mendengar taklimat Pakar DNA, walaupun rakyat tak faham istilah dan kod-kod DNA yang disyarahkan. Tiba-tiba kes tersebut hilang dengan sebuah jampi kesucian.

Di satu pihak pula rakyat diajak bersama mempertahankan sebuah keadilan dan menentang kezaliman. Lalu berdemonstrasilah rakyat membela mangsa mata lebam. Merah mata rakyat bermandikan semburan Water Canon di Masjid Jamik, Sogo dan Dataran Merdeka. Tiba-tiba datang kalimat "Itu hanyalah luka kecil". Rakyat terpaku. Lalu mereka diminta pula menjulang orang yang dahulunya dikatakan zalim itu ke persada kuasa.

Rakyat sudah letih, penat dan bosan. Kalau Filem Hindustan, bila ketua penjahat dah berjaya dikalahkan dan jatuh dari kereta api, maka tamatlah ceritanya. Tapi Filem Melayu ini lebih hebat. Yang dah jatuh jambatan dan kena lenyek dek lori balak pun boleh hidup balik dan mendakwa hero di Mahkamah.

Lalu kerana bimbang isu yang sedang ghairah diviralkan ini tak lain hanya sebuah episod yang sama dengan episod liwat dan mata lebam. Maka saya mengambil langkah berhati-hati untuk turut teruja sama. Saya tidak membuat sebarang ulasan kerana saya bimbang saya turut terlibat membuang masa rakyat yang sangat berharga.

●     Saya jadi tak bersemangat nak ulas berkaitan pendedahan tersebut kerana pihak yang sedang bersemangat nak dedahkan penyelewengan harta negara itu juga masih banyak kes penyelewengan yang belum selesai. Antaranya isu Marminco (1980-an) melibatkan kerugian RM 1.5 billion. BMF RM 2.5 billion. Perwaja Steel, RM 10 billion. Pertukaran Mata Wang Asing (1990-an) kerugian RM 30 billion. MAS RM 9.4 billion. PKFZ (tahun 2000) terlebih kos RM 12.5 billion.

Saya tidak mahu terlalu mengharapkan orang yang pernah merompak harta negara itu menangkap perompak. Walaupun tidak salah mengharapkan siapa pun menangkap si perompak namun untuk terlalu teruja, terpaksa saya kawal. Lebih-lebih lagi jika diambil kira pendedahan SPRM beberapa minggu sebelum PRU14 yang menyenaraikan Tokoh-tokoh Politik di Malaysia yang telah dibuka kertas siasatan kes rasuah masing-masing.

Atas sebab-sebab tersebut maka saya tidak buat apa-apa ulasan mengenai penggeledahan dan rampasan harta yang dibuat ke atas DS Najib dan keluarga. PAS ada agenda besar dan PAS tidak boleh masuk perangkap siapa pun.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat - HARAKAHDAILY 25/5/2018