Geoeskatologi (18): Tanah Rom

Nasional
Typography

ROM sebenarnya merujuk kepada nama satu bangsa yang hebat dalam sejarah. Sejarawan Barat mengatakan ia berasal dari Roma, Itali. Namun Sejarawan Islam mengatakan berasal dari Rom bin Isu bin Nabi Ishak bin Nabi Ibrahim, yang berasal dari Asia Barat.

Tamadunnya bermula pada kurun ke-8 sebelum Masihi. Ia kemudian berkembang ke Timur dan Barat membentuk empayar sehinggalah mencapai zaman kegemilangan sekitar kurun ke-3 hingga 1 sebelum Masihi. Di era tersebut, Rom tidak mampu lagi mentadbir empayarnya secara berpusat lalu berpecah kepada Rom Timur dan Rom Barat. Pusat pemerintahan Rom Barat masih lagi di Roma, tetapi Rom Timur bertukar ke Constantinople.

Oleh kerana Nabi S.A.W dibangkitkan pada zaman Rom sudah berpecah, maka kesemua ayat dan Hadis yang menyatakan tentang Rom adalah merujuk kepada Rom Timur iaitu Byzantine. Mereka menguasai kawasan sekitar Asia Barat bermula Syria di sebelah Timur hinggalah ke rantau Balkan di Barat. Mereka turut menguasai sebahagian Timur Laut benua Afrika.

Selepas kejatuhan Constantinople di tangan Sultan al-Fateh tahun 1453 Masihi, penguasa Byzantine berpindah ke Utara lalu membentuk empayar Tsar di Eropah Timur hingga ke rantau Eurasia. Ianya terus kekal hinggalah kejatuhannya ketika tercetus Revolusi Bolshevik tahun 1917 lalu digantikan dengan Soviet Union. Soviet berideologi Komunis dan menentang semua unsur keagamaan termasuklah Kristian Ortodoks yang menjadi Agama Rasmi Tsar.

Pada tahun 1991, Soviet digulingkan dan Rusia membebaskan diri dari ideologi Komunisme. Kini pengaruh agama Kristian Ortodoks kembali berkembang sehingga diterima di Kremlin, Pusat Pentadbiran Rusia.

Nabi S.A.W menyatakan bahawa di akhir zaman, umat Islam bakal bergabung dengan Rom. Sabda Rasulullah S.A.W:

ستُصالِحون الرُّومَ صُلْحًا آمِنًا، فتغزُون أنتم وهم عدُوًّا مِن ورائِكم، فتُنصَرون وتغنَمون وتسلَمون، ثمَّ ترجِعون حتَّى تنزِلوا بمَرْجٍ ذي تُلولٍ، فيرفَعُ رجُلٌ مِن أهلِ النَّصرانيَّةِ الصَّليبَ فيقولُ: غلَب الصَّليبُ، فيغضَبُ رجُلٌ مِن المُسلِمِينَ فيدُقُّهُ، فعند ذلك تَغدِرُ الرُّومُ وتَجمَعُ للمَلْحَمةِ.

"Kamu akan berdamai dengan bangsa Rom, untuk berhadapan dengan musuh kamu dan musuh mereka bersama. Maka kamu akan menang, mendapat ghanimah dan selamat. Kemudian apabila kamu pulang hingga sampai ke kawasan tanah tinggi yang subur, seorang Kristian mengangkat Salib lalu berkata: Salib telah menang! Maka seorang Islam menjadi marah lalu membunuhnya. Maka pada saat itu terlerai perdamaian dan keduanya bersiap untuk berperang."

[HR Abu Daud & Ibn Majah]

Mengikut bahasa syarak ketika itu, boleh jadi Rom yang dimaksudkan adalah pewaris Rom Timur hari ini berpusat di Rusia. Dari sudut realiti, Rom Timur yang menganut fahaman Kristian Ortodoks lebih terbuka dengan Islam berbanding Kristian Katolik di Rome mahupun Kristian Protestan di Eropah Barat dan US. Bahkan kuasa politik US lebih cenderung kepada ideologi Evangelicalisme yang menyokong penubuhan negara haram Israel dan cita-cita Israel Raya.

Dari sudut politik pula, Rusia bersaing dengan Barat dalam melebarluaskan hegemoni masing-masing. Sekiranya difokuskan musuh utama umat Islam adalah Zionis, maka kecenderungan untuk umat Islam bersama Rusia adalah lebih besar berbanding US dan Eropah. Ini kerana Zionis merupakan sekutu utama Barat.

Boleh jadi juga ia bermaksud kedua-dua Rom Timur dan Barat bersatu atas nama agama. Ini kerana keduanya sangat menentang ajaran Protestan yang kini sudah berevolusi kepada Evangelicalism. Vatican dan Moscow menolak pengiktirafan Evangelicalis terhadap perjuangan Zionis. Tidak mustahil mereka boleh bersatu atas titik tersebut, sebagaimana mereka pernah bersatu dalam Siri Perang Salib menentang Islam.

Walau bagaimanapun, Hadis tersebut turut menyatakan bahawa Islam bakal berperang dengan Rom kembali. Bermakna pakatan Islam-Rom tidak akan bertahan lama. Selepas musuh berjaya menewaskan musuh dalam satu siri peperangan, Rom dan Islam akan kembali berperang. Ini kerana masing-masing memiliki matlamat agama tersendiri, dan tergabung hanya atas tujuan menewaskan musuh bersama.

Perkara ini berlaku sebelum kemunculan Dajjal. Sabda Rasulullah S.A.W:

تغزون جزيرةَ العربِ ، فيفتحُها اللهُ . ثم فارسٌ ، فيفتحُها اللهُ . ثم تغزون الرومَ ، فيفتحها اللهُ . ثم تغزون الدَّجالَ ، فيفتحه اللهُ

"Kamu akan memerangi tanah Arab lalu Allah memberikan kemenangan. Kemudian kamu akan memerangi tanah Parsi lalu Allah memberikan kemenangan. Kemudian kamu akan memerangi tanah Rom lalu Allah memberikan kemenangan. Kemudian kamu akan memerangi Dajjal lalu Allah memberikan kemenangan."

[HR Muslim]

Wallahualam.

(Petikan dari buku Geoeskatologi Islam yang bakal diterbitkan)

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
17 Ramadan 1439
2 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 2/6/2018