23
Wed, Oct
41 Artikel Baru

Geoeskatologi (23): Isfahan

Nasional
Typography

SALAH satu wilayah yang terkenal di tanah Parsi adalah Isfahan. Ia terletak di tengah peta Iran hari ini. Salah sebuah Kota Metropolitan dengan populasi ketiga terbesar di Iran selepas Tehran dan Masyhad (Khurasan). Juga memiliki dataran kota terbesar di dunia. Pernah menjadi Pusat Pemerintahan pada Dinasti Seljuk kurun ke 10-11 dan Dinasti Safavid kurun 17-18 Masihi.

Isfahan antara kota lama yang masih tersergam indah dengan kombinasi hasil binaan Tamadun Babylon-Parsi-Islam. Selain kehijauan dan kesuburan tanahnya, banyak binaan lama seperti laluan, jambatan, masjid dan menara yang sangat unik dan menarik yang digilai oleh peminat seni. Tidak hairanlah orang Parsi mengatakan: “Isfahan adalah separuh dunia.”

Islam mengambil alih Isfahan seawal penaklukan Empayar Parsi di zaman Saidina Umar tahun 18 Hijrah/640 Masihi. Peninggalan Tamadun Parsi dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Islam. Atas kepesatannya, Isfahan menjadi antara kota tumpuan umat Islam di rantau Parsi selain Baghdad, Kufah, dan Basrah.

Hadis Nabi S.A.W berkenaan Isfahan:

يَخْرُجُ الدَّجَّالُ مِنْ يَهُودِيَّةِ أَصْبَهَانَ، مَعَهُ سَبْعُونَ أَلْفًا مِنْ الْيَهُودِ، عَلَيْهِمْ السيجان

"Dajjal keluar dari satu perkampungan Yahudi di Isfahan. Bersamanya 70,000 Yahudi memakai selendang."

[HR Ahmad]

Ditambah dengan Hadisnya:

يتبعُ الدجالَ من يهودِ أصبهانَ سبعونَ ألفاً عليهم الطَّيالِسَةُ

"Dajjal akan diikuti oleh orang Yahudi Isfahan seramai 70,000 orang lengkap memakai Tayalisah."

[HR Muslim]

Secara literal, Hadis ini seolah bercanggah dengan Hadis yang mengatakan bahawa Dajjal muncul di Khurasan (rujuk bab Khurasan) kerana Khurasan sudah memasuki rantau Asia Tengah. Ia juga bercanggah dengan Hadis yang mengatakan bahawa Dajjal berada di sebuah pulau sebelah Barat (rujuk bab Tasik Tiberias) sedangkan Isfahan adalah di Timur.

Untuk mengharmonikan Hadis ini, boleh jadi Dajjal adalah berasal daripada perkampungan Yahudi di Isfahan, tetapi ditahan di Barat. Sampai masanya, dia akan pergi ke Khurasan lalu menzahirkan diri. (Rujuk bab Khurasan).

Menurut Hadis di atas, pengikut Dajjal terdiri daripada Yahudi Isfahan seramai 70,000 orang. Namun secara fakta, Yahudi di Isfahan hanya tinggal sekitar 1,500 orang sahaja sekarang. Kebanyakannya telah keluar semasa British menawarkan penempatan kepada Yahudi di Palestin bermula tahun 1916. Selain di negara haram Israel, Yahudi Isfahan hari ini juga ramai di US. Yang tinggal kebanyakannya bermazhab Naturei Karta yang menolak kewujudan Negara Israel.

Justeru terdapat dua pandangan bagaimana bilangan Yahudi di Isfahan akan kembali bertambah sehingga mencapai bilangan 70,000 saat kemunculan Dajjal. Pertama, wujud Yahudi yang tidak mengaku sebagai Yahudi sekarang di Isfahan. Mereka akan menzahirkan diri sebagai Yahudi bila tiba masa Dajjal keluar. Hujah inilah yang digunakan bagi menjustifikasikan penganut Syiah yang mendominasi Iran sebagai tentera Dajjal.

Namun pandangan ini agak lemah kerana penganut Yahudi adalah sebuah agama bangsa (Ethnoreligious) khusus bagi keturunan Bani Israel. Mereka amat menjaga salasilah keturunan sehingga sebahagian besar Mazhab Ortodoks tidak mengiktiraf bangsa lain menganut Yahudi. Mereka memiliki ideologi “hamba tuhan yang terpilih”. Sedangkan penduduk Iran berasal dari keturunan Parsi yang menganut agama Zoroaster (Majusi). Semasa kedatangan Islam, ramai Bangsa Arab berhijrah ke Iran dan berasimilasi dengan orang Parsi. Malah di zaman Saidina awal Khilafah Umawiyah, ramai Ahlul Bayt berhijrah ke Iraq dan Iran kerana melarikan diri Umawi yang memburu Ahlul Bayt atas faktor politik. Mengikut bahasa Nabi S.A.W di zamannya, adalah lebih tepat menggunakan perkataan Parsi, jika benar penganut Syiah Iran adalah pengikut Dajjal sebagaimana Nabi S.A.W menyebutkan Rom sebagai pihak yang akan bekerjasama dengan Islam di akhir zaman.

Pandangan kedua yang lebih munasabah adalah, Yahudi Isfahan yang berada di Israel dan US akan kembali ke Iran suatu hari nanti bagi menunggu Dajjal. Penghijrahan besar Yahudi Isfahan direkodkan berlaku sebanyak dua kali, pertama pada permulaan Empayar Parsi kurun ke-5 dan kedua selepas Revolusi Khomenei 1979 kerana merasakan ancaman kepada bangsa mereka. Maka tidak mustahil sekiranya ancaman tersebut telah tiada, mereka akan kembali ke sana.

Mengikut perkembangan geo-politik, Iran menjadi sasaran utama Blok Barat di Asia Barat. Barat pernah berjaya menguasai Iran pada era Pahlavi (1925-1979) dan menjalankan berbagai polisi luar dengan jayanya ke atas rantau tersebut hingga ke Asia Tengah dan Asia Selatan. Barat sudah mendahului Blok Timur dengan menguasai Iran ketika itu, dan hampir menjadi kuasa Unipolar di dunia.

Di samping itu, Iran juga merupakan negara yang kaya dengan hasil petroleum dan gas asli. Rantau Teluk Parsi lain seperti Iraq sememangnya terkenal dengan kekayaan emas hitam tersebut hingga melimpahkan syafaat kepada negara sekitar seperti Syria, Bahrain, Kuwait, UAE dan Qatar. Semua ini amat dicemburui Blok Barat sehingga mendorong mereka melakukan misi besar-besaran menundukkan Iran di bawah pengaruh mereka.

Namun perancangan tersebut terbantut selepas Shah Iran digulingkan dalam Revolusi Khomenei. Sistem Monarki ditukar kepada Sistem Republik. Perkara pertama dilakukan Revolusioner adalah mengusir Kedutaan Israel dan menculik 52 staf Kedutaan US selama 444 hari. Sejak itu Iran tidak pernah aman dari serangan Barat sama ada secara langsung ataupun melalui proksi. bermula Perang Teluk 1981 dengan Iraq, konflik sempadan Iran-Afghanistan, sekatan ekonomi, dilabel sebagai pengganas hinggalah kepada ancaman perang. PBB juga kelihatan bersekongkol apabila laporan senjata kimia yang digunakan oleh Iraq tidak diambil tindakan oleh US melainkan selepas negara tersebut berpaling tadah.

Kejutan terbaru adalah pembatalan Perjanjian Nuklear Iran-US, sebagai satu tekanan keras negara tersebut tunduk kepada kemahuan Barat terutama dalam isu serantau. Ramai pengkaji politik melihat perkara sebagai mukaddimah kepada serangan ketenteraan Blok Barat terhadap pemuka hadapan Blok Timur itu. US kini sedang giat melobi Korea Utara supaya berada di sebelah mereka, bagi mengurangkan risiko Barat sekiranya perang nuklear benar-benar tercetus.

Walaupun Iran menyatakan kesediaan mereka untuk segala kemungkinan, ditambah komitmen Rusia untuk membantu negara tersebut, namun keadaan mungkin tidak menyebelahi mereka. Selain berjaya menghuru-harakan negara sekutu Timur dengan kempen Arab-Spring, sekatan ekonomi yang dibuat besar-besaran terhadap Rusia dan Iran, di samping campur tangan US terhadap politik negara-negara yang memiliki hubungan ekonomi dengan China (seperti Malaysia) juga akan melemahkan kuasa Blok Timur dari sudut kewangan, menyebabkan mereka sukar untuk bertahan dalam situasi perang untuk tempoh yang panjang. Kemungkinan untuk Iran dihuru-harakan sebagaimana Syria dan Iraq adalah sangat tinggi.

Dari sudut yang lain pula, Yahudi paling dominan di Israel kini adalah Yahudi Isfahan. Di sana mereka memang merancang bagi mendirikan kuil Nabi Sulaiman di atas tapak Masjidil Aqsa yang bakal diruntuhkan. Mereka percaya Kerajaan Bani Israel persis Kerajaan Sulaiman yang pernah memerintah dunia akan tertegak kembali. Pemimpin mereka adalah al-Masih yang palsu iaitu Dajjal. Di US pula, Yahudi telah berjaya menghasut sebahagian Kristian urban untuk menyokong matlamat Zionis melalui gerakan Evangelicaism. Gerakan ini sudah menguasai Kerajaan US melalui Parti Republikan. Maka tidak mustahil Yahudi daripada kedua negara musuh Islam ini adalah 70,000 orang Yahudi yang dimaksudkan oleh Nabi S.A.W.

Wallahualam.

(Petikan dari buku Hadis Geo-Eskatologi; Lokasi dan Kronologi akhir zaman yang bakal diterbitkan.)

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
24 Ramadan 1439
9 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 9/6/2018