19
Mon, Aug
15 Artikel Baru

Geoeskatologi (24): Timur

Nasional
Typography

ZON Timur mengikut kefahaman nas merupakan segala tanah yang berada di sebelah Timur tempat turunnya wahyu dari awal hingga akhir. Dikira mengikut garis longitud tanpa mengambil kira latitud. Mengikut kedudukan peta, segala kawasan yang berada di kanan tempat turun wahyu adalah Timur. Kawasan turun wahyu pula kebanyakannya sekitar tanah Hejaz.

Justeru, Najd atau Riyadh sudah dikira sebagai Timur walaupun masih berada di dalam negara yang sama dengan Makkah dan Madinah iaitu Arab Saudi. Nabi S.A.W sendiri merujuk Najd sebagai negara sebelah Timur, menerusi Hadis pada bab Najd dan disokong oleh Hadis berikut yang disampaikan ketika menghadap ke arah Timur:

ألا إنَّ الفتنةَ هاهنا ألا إنَّ الفتنةَ هاهنا من حيثُ يطلعُ قرنُ الشيطانِ

"Sesungguhnya fitnah bermula di sini, sesungguhnya fitnah bermula di sini, di mana muncul tanduk atau era Syaitan"

[HR Ahmad]

Antara contoh minda yang terjajah oleh Barat adalah apabila menggelar kawasan sekitar Asia Barat sebagai Timur Tengah atau Middle East. Orang Arab sendiri tidak terlepas dari penjajahan minda ini apabila menggunakan perkataan شرق الأوسط secara meluas. Timur Tengah mengikut kefahaman Barat adalah kawasan rantau negara-negara berbahasa Arab dan sekitar, bermula Algeria di Afrika, mencakupi Turki di Eurasia hinggalah ke Pakistan di Asia. Sedangkan Mesir hingga ke Algeria berada di sebelah kiri peta Makkah dan Madinah, maka ia tidak lagi termasuk dalam kategori Timur. Untuk itu, adalah lebih sesuai merujuk Semenanjung Arab dan Tanah Rom Timur sebagai Asia Barat, manakala Mesir, Libya dan Algeria kepada Afrika Utara.

Negara kita Malaysia termasuk dalam zon Timur. Ia berakhir sehingga ke tengah laut Pasifik mengambil kira Pusat bumi adalah Makkah. (Rujuk Siri ‘Barat’ untuk memahami isu Pusat bumi yang ditipu oleh Barat.)

Hadis akhir zaman Nabi S.A.W banyak menyatakan tentang Timur sebagai kawasan yang negatif. Kawasan Timur merupakan kawasan fitnah, dan kawasan berhati keras. Sabda Rasulullah S.A.W:

غِلَظُ القلوبِ، والجفاءُ، في المشرقِ. والإيمانُ في أهلِ الحجازِ

"Kekerasan dan kekeringan hati berada di sebelah Timur, dan keimanan berada pada penduduk Hejaz."

[HR Muslim]

Timur juga dirujuk oleh Nabi S.A.W sebagai tempat munculnya Dajjal. Sabda Rasulullah S.A.W:

الدَّجَّالُ يَخْرُجُ مِنْ أَرْضٍ بِالْمَشْرِقِ يُقَالُ لَهَا خُرَاسَانُ ، يَتْبَعُهُ أَقْوَامٌ كَأَنَّ وُجُوهَهُمْ الْمَجَانُّ الْمُطْرَقَةُ

"Dajjal keluar daripada satu tanah di Timur yang dipanggil Khurasan. Diikuti oleh kaum-kaum yang mukanya leper"

[HR Tirmizi]

Walau bagaimanapun, masih terdapat Hadis yang positif terhadap Timur. Antaranya Hadis yang dinyatakan pada bab Makkah, dan disokong dengan Hadis berikut:

إنَّا أهلُ بَيتٍ اختارَ اللهُ لنا الآخرةَ علَى الدُّنيا ، وإنَّ أهلَ بَيتي سيَلقَونَ بعدِي تطريدًا ، وتَشريدًا ، حتَّى يَجيءَ قومٌ مِن هاهُنا وأومأَ بيدِه نَحوَ المشرِقِ أصحابُ راياتٍ سودٍ ، يسأَلونَ الحقَّ ولا يُعطوْنَه مرَّتينِ أو ثلاثًا ، فيُقاتِلونَ ، فَيُعطَوْنَ ما سأَلوا فلا يَقبلونَ ، حتَّى يدفَعوها إلى رجُلٍ مِن أهلِ بَيتي يملَؤُها عدلًا كما مُلِئَتْ ظُلمًا وجَوْرًا ، فمَن أدركَ ذلكَ منكُم ، فليأْتِه ولَو حَبْوًا علَى الثَّلْجِ

"Sesungguhnya Allah telah memilih akhirat berbanding dunia kepada kami Ahlu Bayt. Sesungguhnya Ahlu Bayt selepasku akan menerima bala musibah, pemulauan dan pengusiran. Sehinggalah muncul satu pihak dari arah sini (menunjuk ke arah Timur) membawa panji hitam, mereka meminta hak sebanyak dua atau tiga kali tetapi tidak diberi, maka mereka berperang. Lalu mereka diberi apa yang dikehendaki namun tidak lagi mahu menerima. Sehingga mereka memberinya kepada seorang lelaki di kalangan ahli keluargaku, lalu dia memenuhi dunia dengan keadilan selepas sebelum ini dipenuhi dengan kekejaman dan kezaliman. Maka barangsiapa yang sempat dengannya maka berbai`ahlah dengannya walau terpaksa merangkak di atas salji."

[HR Ibn Majah dan at-Thabrani]

Hadis ini dikategorikan lemah oleh sebahagian besar Muhaddis. Namun mereka tetap mengambil kira Syawahid daripada matan Hadis ini kerana ianya bertepatan dengan Hadis-hadis lain yang Sahih. Sementelah Hadis ini bukan dalam kategori Hadis hukum, maka peiwayatannya diperingankan sedikit. Antara silsilah perawinya juga adalah Abdullah bin Mubarak yang digelar Amirul Mukminin dalam ilmu Hadis.

Mengikut Hadis di atas, Ahlul Bayt Nabi S.A.W akan menerima musibah di atas dunia. Ia telah berlaku di zaman Muawiyah apabila beliau mengambil tindakan tegas terhadap Ahlul Bayt hingga ke tahap pembunuhan, atas tujuan politik. Menyebabkan mereka melarikan dari tanah Arab dan Syam dan bergerak ke arah Timur mendiami tanah Parsi. Di akhir zaman, akan muncul panji hitam dari arah Timur yang akhirnya melantik pemimpin dari kalangan Ahlul Bayt Nabi S.A.W. Beliau adalah al-Mahdi.

Satu kekeliruan yang timbul kebelakangan ini berkenaan panji Timur ini adalah teori Rukn Hajarul Aswad yang menghadap ke Timur. Apabila diukur, sudut tersebut betul-betul menghadap ke arah Nusantara kita, Pentas Sunda. Secara lebih spesifik, menuju ke arah Malaysia! Lalu dibuat konklusi bahawa kemungkinan panji hitam keluar daripada Timur.

Pemahaman ini adalah terlalu jauh dari kaedah memahami nas syarak. Tidak terdapat apa-apa dalil yang merujuk kepada kaedah pemahaman sedemikian. Bahkan jika dilihat pada sudut Kaabah yang lain, ia tidak merujuk secara tepat ke arah negara yang dinamakan. Rukn Yamani diambil nama sempena arah Yaman. Tetapi jika diukur, ia tidak tepat menuju ke arah Yaman sebaliknya melencong ke arah Ethopia. Rukn Syam pula tidak langsung merujuk ke arah Syam sebaliknya ke Iraq. Jika benar sekalipun pengiraan mengikut arah sudut Kaabah, maka sebelum ia sampai ke Nusantara, ia terlebih dahulu menunjukkan ke arah negara Qatar. Kerajaan Qatar dipimpin oleh keturunan Bani Tamim, dan mereka lebih logik untuk dianggap sebagai pembawa panji hitam. Sabda Rasulullah S.A.W mengenai Bani Tamim:

ثُبُتُ الأقدامِ رُجُحُ الأحلامِ عِظامُ الهَامِ أشَدُّ النَّاسِ على الدَّجَّالِ في آخِرِ الزَّمانِ هَضْبةٌ حَمْراءُ لا يضُرُّها مَن ناوَأها

"Kaum yang tetap pendirian, matang pemikiran, peranan yang besar, paling keras terhadap Dajjal di akhir zaman, kental jiwa, tidak dapat dimudaratkan oleh mereka yang mengecewakannya."

[HR Thabrani]

Kesimpulannya, tidak ada apa-apa keistimewaan pada arah sudut Kaabah. Walau bagaimanapun, tidaklah mustahil bahawa bumi Nusantara ini bakal menjadi tempat munculnya panji hitam jika dikira dari sudut lain. Semuanya mungkin dalam ilmu Allah S.W.T.

Wallahualam.

(Petikan dari buku Hadis Geo-Eskatologi; Lokasi dan Kronologi akhir zaman yang bakal diterbitkan)

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
25 Ramadan 1439
10 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 10/6/2018

FB IMG 1528627937905