Tafakkur dan Tafaqquh Juz 27

Nasional
Typography

AL-QURAN telah menjelaskan fenomena hujan yang mencurah ke bumi sebagai ketentuan Allah S.W.T yang perlu dilihat sebagai nikmat ataupun bencana berdasarkan kapasiti dan kadar turunnya hujan tersebut. Kejadian hujan yang turun melalui langit dan bukan awan telah dirakamkan melalui ayat:

فَفَتَحْنَا أَبْوَابَ السَّمَاءِ بِمَاءٍ مُنْهَمِرٍ. وَفَجَّرْنَا الْأَرْضَ عُيُونًا فَالْتَقَى الْمَاءُ عَلَىٰ أَمْرٍ قَدْ قُدِرَ

"Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah. Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air, lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk melakukan satu perkara yang telah ditetapkan."

[al-Qamar: 11-12]

Hujan yang menjadi asbab rahmat kepada manusia selalunya diturunkan dengan kapasiti yang sesuai untuk manfaat manusia. Tidak semua hujan merupakan rahmat bagi manusia, terkadang ia adalah malapetaka yang diturunkan Allah S.W.T sebagai peringatan buat mereka yang ingkar.

Kaum Nabi Nuh telah ditimpa dengan hujan yang lebat sehingga tenggelam bumi keseluruhannya sebagai tanda azab lantaran keingkaran mereka terhadap seruan Nabi Nuh A.S. Allah menggunakan perkataan 'buka pintu langit' sebagai lafaz yang menunjukkan betapa luasnya pintu langit dibuka berserta azab melalui air hujan yang mencurah-curah bergabung dengan air yang keluar melalui bumi.

Mengikut Ahli Sains, hujan yang lebat dan membawa musibah juga biasanya turun apabila berlaku pembentukan awan Kumulonimbus yang disertakan dengan petir. Awan jenis ini dikategorikan sebagai awan yang paling berbahaya jika dibanding dengan awan-awan lain. Awan ini lazimnya menghasilkan hujan yang sangat lebat dalam tempoh yang singkat dan selalu dikaitkan dengan kejadian banjir kilat.

Jadilah hamba Allah yang bersyukur dan sentiasa mendoakan kebaikan tatkala turun hujan agar malapetaka tidak turun bersama.

USTAZ DATO' BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
27 Ramadan 1439H - HARAKAHDAILY 12/6/2018