Geoeskatologi (28): Roma

Nasional
Typography

MENGIKUT catatan Barat, bangsa Rom berasal dari Wilayah Roma yang kini menjadi Ibu Negara Itali di Selatan Eropah. Tetapi mengikut catatan Islam, Rom berasal dari cucu Nabi Ishak yang bernama Rom bin Eisu bin Ishak. Beliau menetap di Wilayah Syam.

Roma merupakan Pusat Pemerintahan Empayar Rom Barat. Daripada sebuah Pusat Pemerintahan, Roma bertukar sebagai Pusat Keagamaan setelah Revolusi Industri yang didorong oleh fahaman Protestan dan Sekularisme. Hari ini, Roma menjadi Pusat Agama Kristian Katolik seluruh dunia. Di sana terdapat sebuah wilayah autonomi bernama Vatican City, dipimpin oleh seorang Ketua Paderi yang digelar Pope. Pemimpin terkini bergelar Pope Francis.

Nabi S.A.W bersabda mengenai Roma:

كنا عند عبدِ اللهِ بنِ عمرو بنِ العاصِ، وسُئِلَ أيُّ المدينتيْنِ تُفتحُ أولًا القسطنطينيةُ أو روميَّةُ؟ فدعا عبدُ اللهِ بصندوقٍ له حِلَقٌ، قال: فأخرج منه كتابًا قال: فقال عبدُ اللهِ: بينما نحنُ حولَ رسولِ اللهِ نكتبُ، إذ سُئِلَ رسولُ اللهِ: أىُّ المدينتيْنِ تُفتحُ أولًا القسطنطينيةُ أو روميَّةُ؟ فقال رسولُ اللهِ: مدينةُ هرقلَ تُفتحُ أولًا: يعني قسطنطينيةَ

"Sahabat bertanya bandar manakah yang bakal dibuka dahulu, Constantinople atau Roma? Jawab Nabi S.A.W: Bandar Heraclius yang pertama dibuka."

[HR Hakim]

Tidak dinyatakan tentang bilakah Kota Rome akan dibuka oleh Islam. Boleh jadi sebelum membuka Baitulmaqdis, iaitu sebelum yahudi dan Dajjal ditumpaskan, dan boleh jadi juga selepas Islam menegakkan Khilafah di atas Manhaj Nubuwwah. Apa yang pasti, ia akan dibuka juga oleh orang Islam.

Perkembangan di Eropah hari ini menunjukkan perkembangan yang sangat pesat. Menurut kajian Pew Research, Islam merupakan agama yang mengalami pertambahan penganut paling mendadak. Bahkan menjelang 2050, jumlah penganut Islam akan menyamai penganut kristian, dengan 10 peratus populasi Muslim dunia adalah daripada Eropah. Tetapi menurut Monsgnor Formenti, jurnalis sebuah akhbar Vatican L`Osservatore Romano mencatatkan bahawa Muslim telah mengatasi populasi Catholic dengan 19.2 peratus berbanding 17.4 peratus.

Perkembangan di Vatican City sejak akhir-akhir ini juga semakin menarik. Pope John Paul II sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Islam bakal menguasai Eropah. Bahkan beliau memiliki sikap yang sangat terbuka dengan Islam sehingga digelar Pope Of Islam.

Jolokan yang sama turut diberi kepada Pope Francis kini. Beliau pernah mengeluarkan kenyataan bahawa keganasan tidak ada apa-apa kaitan dengan Islam. Malah beliau dengan lantang mengkritik Amerika yang mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai milik Israel.

Pope Benedict XVI pula walaupun sebelum ini lantang mengaitkan Islam dengan keganasan, tetapi di akhir jawatannya telah mengeluarkan kenyataan bahawa Kristian bukan agama Bible. Selepas mengeluarkan kenyataan, beliau memecahkan rekod sepanjang zaman apabila menjadi Pope pertama meletakkan jawatan. Khabar angin mengatakan beliau telah memeluk Islam.

Dari segi agama Kristian, mereka telah berpecah kepada beberapa mazhab. Yang paling masyhur adalah Katolik, Ortodoks dan Protestan. Kristian yang menguasai dunia pada hari ini terdiri daripada penganut Protestan dan juga anggota gerakan radikal Evangelikal, atau disebut sebagai Kristian-Zionis.

Allah menyatakan di dalam al-Quran bahawa golongan yang paling baik terhadap umat Islam adalah orang yang mengaku dirinya Kristian. Firman Allah:

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا ۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُم مَّوَدَّةً ل ِّلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَىٰ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ

"Demi sesungguhnya engkau akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang Musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: "Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani" yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong."

[al-Maidah:82]

Ada Ulama berpendapat yang dimaksudkan dengan Kristian ini adalah merujuk kepada Kristian Ortodoks yang dianuti oleh Roman Byzantine. Sehingga kini ia menjadi anutan di Syria, Mesir, Eropah Timur tetapi kebanyakannya berada di Rusia. (Rujuk bab Rom)

Ada juga yang berpandangan simplistik, dengan mengatakan semua Kristian adalah baik termasuk Amerika yang dikuasai oleh Protestan Sekular dan Evangelikal. Sedangkan sifat mereka dengan mafhum nas jauh panggang daripada api.

Pandangan yang lebih harmoni adalah, bahawasanya Kristian yang dimaksudkan oleh al-Quran meliputi Kristian Ortodoks dan Katolik hari ini. Ciri-ciri yang disebutkan dalam ayat tersebut lebih kurang sama antara Katolik dan Ortodoks. Tetapi tidak termasuk Protestan yang menganut fahaman Sekular dan Evangelical yang menyokong agenda Zionis.

Justeru melatari pembukaan Kota Rome, penganut Katolik di Vatican City akan menerima Islam. Boleh jadi mereka juga termasuk dalam Hadis mereka yang akan berdamai dengan Islam bagi menghadapi musuh yang sama. Sabda Rasulullah S.A.W:

ستصالحون الرومَ صُلحًا آمنًا، فتغزون أنتم وهم عدوًّا من ورائهم

"Kamu bakal berdamai dengan Rom. Maka kamu dan mereka akan memerangi musuh di belakang mereka."

[HR Ibnu Majah]

Gereja Katolik hari ini tidak terlepas daripada kemasukan anasir Evangelikalisme. Fahaman ini membawa kepada pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai hak milik Yahudi sebagaimana yang diperjuangkan gerakan Zionis. Katolik sedang bergelut dengan gerakan Reformasi Gereja yang membawa idealisme Evangelikal yang berasal dari US. Sehinggakan mazhab Ortodoks tidak terkecuali sebagai sasaran Evangelikal. Walau bagaimanapun, Protestan antara yang paling kuat terpengaruh dengan ideologi ini.

Namun perkaitan dengan Kristian Ortodoks adalah lebih kuat. Ini berdasarkan Hadis bahawa umat Islam akan bergabung sebelum berperang dengan Bani Asfar. Di dalam Hadis konteks berlainan, Nabi memaksudkan Bani Asfar sebagai keturunan Heraclius iaitu Maharaja Rom Byzantine. Keturunan beliau kini berada di Rusia. (Rujuk bab Rom)

Apa yang pasti, antara hikmah diturunkan Nabi Isa A.S menurut Ulama adalah untuk menyatukan kembali penganut Kristian. Simbolik mematahkan salib yang dilakukan oleh Nabi Isa nanti menjadi tanda bahawa anutan mereka selama ini salah, dan akhirnya membawa mereka memeluk Islam. Sabda Rasulullah S.A.W:

لا تقومُ السَّاعةُ حتَّى ينزلَ فيكم ابنُ مريمَ حَكمًا مُقسطًا فيَكسرَ الصَّليبَ ويقتلَ الخنزيرَ ويضعَ الجزيةَ ويفيضَ المالُ حتَّى لا يقبلَهُ أحدٌ

"Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah Ibn Maryam turun kepada kamu sebagai pemimpin yang adil. Baginda akan mematahkan salib, membunuh babi dan menghapuskan Jizyah. Maka ketika itu harta melimpah ruah sehingga tiada orang yang mahu menerimanya lagi."

[HR Bukhari]

Wallahualam.

(Petikan dari buku Hadis Geo-Eskatologi; Lokasi dan Kronologi akhir zaman yang bakal diterbitkan.)

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
29 Ramadan 1439
14 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 14/6/2018