Pengerusi Felda masih misteri

Nasional
Typography

SEJAK perletakan Tan Sri Shahrir Abdul Samad sebagai Pengerusi Felda pada 14 Mei 2018 sehingga kini, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) belum melantik seseorang untuk mengisi kerusi ini.

Shahrir yang hanya berkhidmat setahun lebih dan menjadi Pengerusi Felda yang paling singkat dari kalangan tokoh politik dilantik ke jawatan ini.

Selepas tragedi skandal Tan Sri Isa hancurkan Felda menjadi punca kemarahan warga Felda terhadap Kerajaan, Shahrir dilihat orang yang mampu memulihkan Felda, namun tidak sepertimana diharapkan kerana kesan kerosakan yang ditinggalkan oleh Isa sangat besar dan warga Felda menghukum Barisan Nasional (BN) dalam PRU lalu sebagai terjemahan kemarahan mereka.

Pengerusi Felda yang pertama dilantik dari kalangan ahli politik bermula dengan Tan Sri Yusof Nor yang dilantik pada 1 Julai 2001 sehingga Disember 2010. Ahli Parlimen dari Terengganu ini tidak banyak mewujudkan polimik pentadbiran dan mampu mengekalkan prestasi tradisi Felda sehinggalah Isa merosakkannya melalui pelan transformasi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri ketika itu Dato' Seri Najib.

Selepas kejatuhan Najib dan BN, Perdana Menteri ketujuh, Tun Mahathir meletakkan Felda di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi tidak mengekalkan seliaan Felda di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Warga Felda melihat ada sesuatu yang tidak kena apabila selepas dua bulan pembentukan Kerajaan baharu, kerusi Pengerusi Felda gagal diisi dan dibimbangi memberi persepsi yang tidak baik dan akan menjejaskan pentadbiran kumpulan.

Oleh itu Kabinet PH perlu menyegerakan pelantikan Pengerusi Felda sama ada mengekalkan pelantikan dari kalangan ahli politik ataupun kembali kepada kaedah sebelum orang politik diserap masuk. Pelantikan segera jawatan ini juga mampu memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia untuk melihat Felda kembali stabil dan pulih dari imej teruk zaman Najib.

(Penulis ialah Pegawai Khas Seranta Felda Badan Perhubungan PAS Terengganu)
10 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 10/7/2018