GST sifar: Kenapa tidak ketara beza harga?

Nasional
Typography

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu memberi fokus kepada usaha menurunkan harga barang selepas pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar sifar sejak 1 Jun lalu. Tempoh 100 hari pertama menjadi indikasi penting apakah benar pelaksanaan GST benar-benar memberi kesan kepada penurunan harga barangan atau ia tidak menjejaskan apa-apa. Rakyat kini menghitung hari apakah langkah yang diambil Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi meringankan beban rakyat khususnya berkaitan harga barangan dan keperluan seharian.

Daripada penjelasan Menteri KPDNHEP, Datuk Saifuddin Nasution jumlah penurunan harga barangan sangat kecil, iaitu tidak mencapai 30 hingga 40 peratus. Menurut aduan yang KPDNHEP terima setakat ini, harga tidak berubah dan harga meningkat melibatkan makanan dan minuman di restoran, kedai makan serta medan selera. Harga makanan dan minuman di kedai-kedai makan adalah tanda aras kepuasan hati pengguna kerana kategori itu yang sering pengguna hadapi setiap hari. Jika harga bahan mentah dan barangan dapur tidak berubah sudah menjadi keluhan rakyat, bagaimana pula harga makanan dan minuman di kedai-kedai makan terutama di kedai mamak yang menjadi pilihan pengguna setiap hari.

Mungkin KPDNHEP perlu membuat kajian lebih terperinci mengapa harga di kedai-kedai makan terutama kedai mamak tidak mahu menurunkan harga atau mengekalkan harga makanan. Apakah faktor lain seperti kadar sewa atau bayaran premis, jumlah bil utiliti, kos upah pekerja yang mahal menjadi isu harga makanan masih mahal. Justeru, kerajaan perlu memberi mekanisma bagaimana agar harga premis, dan kos pekerja serta lain-lain dapat dikurangkan bagi membantu mengurangkan kos makanan. Sepatutnya dengan sifar GST, dengan harga barangan asas boleh turun, dengan bahan bekalan yang mencukupi, sudah cukup membantu pengusaha kedai menurunkan harga-harga makanan di kedai-kedai. Banyak kos telah dijimatkan dengan langkah yang diambil namun hasilnya masih belum dilihat.

Toleransi kerajaan perlu ada pada had terhadap mana-mana pengusaha kedai makan yang berdegil mahu menaikkan harga makanan dan minuman ketika banyak usaha telah dilakukan. Sememangnya KPDNHEP perlu membekalkan harga standard kepada semua pengusaha dan pengguna agar pengusaha mengetahui harga sebenar berbanding dengan harga yang dijual di kedainya. Tinjauan, siasatan dan serbuan berdasarkan aduan mesti dibuat dengan kerap sebagai langkah penguatkuasaan serta amaran kepada semua pihak agar tidak mengambil tindakan yang menjerut leher pengguna dengan harga yang mahal. Bagi pihak pengguna pula, sebagai pendidikan yang berterusan, jika ada pihak yang masih tetap dengan harga yang mahal serta sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan, boleh menggunakan kuasa beli yang ada pada mereka dengan memboikot mana-mana kedai tertentu. Namun mungkin ia adalah hasil kecil daripada kesan yang lebih besar yang mesti dimainkan oleh kerajaan bagi memastikan harga barangan di bawah pemerintahan kerajaan baru PH berbeza daripada Kerajaan BN terdahulu.

(Penulis adalah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat) - HARAKAHDAILY 12/7/2018