Bantah UEC: Gamis akan anjur himpunan aman

Nasional
Typography

KERAJAAN Pakatan Harapan sekali lagi mengambil langkah dangkal mengiktiraf UEC sebagai sijil akademik yang sah di Malaysia. Pengiktirafan ini bukan sahaja memecahkan perpaduan kaum, malah menimbulkan kegusaran ramai pihak sejauh mana kerajaan Pakatan Harapan serius menjadikan pendidikan sebagai simbol penyatuan masyarakat majmuk di Malaysia.

Seperti sedia maklum, UEC atau Sijil Peperiksaan Bersepadu adalah sijil yang dikelolakan sebuah badan bukan kerajaan, Dong Jiao Zong (Gabungan Lembaga Pertubuhan Sekolah-Sekolah Cina). UEC dilihat tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan kerana ianya diasaskan berdasarkan kepada sistem pendidikan Taiwan yang tidak mengikuti sukatan Kementerian Pendidikan malah hanya menggunakan Bahasa Cina dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar mata pelajaran.

Oleh hal yang demikian, kami melihat keperluan UEC untuk diiktiraf sebagai sijil di Universiti Awam adalah tidak berasas dan menimbulkan lagi jurang sosio-masyarakat Malaysia. Hal ini berdasarkan laporan seramai 604 peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) daripada kaum Cina dan India langsung tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Statistik tersebut didedahkan oleh Pensyarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Teo Kok Seong melalui kajian dibuat dalam kalangan 14,000 pelatih di 79 kem PLKN di seluruh negara pada 2010. Jumlah ini kemungkinan bertambah sekiranya UEC terus degil untuk dilaksanakan.

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menyatakan bantahan penuh pelaksanaan UEC. Kami sedia bersemuka dengan Menteri Pendidikan Malaysia dan wakil Dong Jiao Zong bagi menyatakan hasrat kemarahan terhadap isu pelaksanaan UEC ini.

Satu himpunan aman akan dianjurkan dalam masa terdekat menghimpunkan mahasiswa seluruh Malaysia bagi menyatakan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan yang hanya mementingkan manifesto sampingan tetapi mengabaikan manifesto utama yang perlu dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pemerintahan.

"Istiqamah Bersama Islam"

YAZID KHAIRUL AZMAN
Pengerusi Majlis Politik Nasional,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) - HARAKAHDAILY 14/7/2018