Zambry ajak Umno belajar dari kekalahan

Kolumnis
Typography

DEMI melakar kebangkitan semula Umno bagi berkuasa semula, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengajak Umno belajar dari kekalahannya.

Itulah kunci saranannya pada wacananya di gedung Krangkraf bersama Timbalan Presiden baru dan Ketua Pemuda baru Umno.

Bila dia ajak semua belajar dari kekalahan dan mengapa ia kalah, maka tiga juta ahli Umno diajak belajar itu mungkin memberi tiga juta dapatan masing-masing. Habis bercelaru Umno dengan ratus ribuan persepsi itu.

Jika Zambry sendiri mula mempelajarinya, dia boleh dapat satu lagi PhD dan dengannya besar harapan Umno bangkit semula.

Adakah Zambry sendiri sudah belajar kekalahan Umno yang lebih dari sekali di Perak, negeri yang dia jadi menteri besar secara rampas kuasa tahun 2009?

Bagi Zambry kekalahan 9 Mei 2018 bukan kekalahan pertama Umno Perak dan baginya. Dia ketua Pemuda Umno Perak dan Adun pra PRU 2008. Partinya sudah kalah pada PRU itu. Adakah dia sudah belajar dari kekalahan itu dan adakah dia belajar dengan rampasan yang menjadikannya menteri besar?

Jika dia belajar dia tidak paut jadi menteri besar yang kalah 9 tahun selepas rampasan kuasanya. Jika dia belajar, belajarnya tidak habis.

Zambry boleh ambil PhD baru dengan mempelajari sejarah kekalahan Umno di Perak. Di Perak saja Umno kalah satu kerusi PRU1955 di Kerian. Umno menang 51 kerusi tapi merekodkan satu kekalahan Federal dan satu Dun di Perak. Adakah dia belajar mengapa Banjar Kerian tolak Umno?

PRK pertama selepas merdeka telah memberi isyarat pengundi Cina Ipoh tidak mengundi calon MCA bagi mengisi kekosongan kerusi Leong Yu Koh yang jadi Gabenor Melaka. Tahun 1955 mereka mengundi Perikatan Umno /MCA. Tahun 1957 mereka tidak lagi menyokong parti yang mengajak mereka sama-sama menuntut kemerdekaan.

Sejak itu Lembah Kinta jadi kawasanyang tidak setia kepada Umno.

Zambry baru masuk sekolah masa PRU1969. Umno kalah kepada PPP pimpinan D.R. Seenivasagam di Perak dan beberapa kerusi Parlimen termasuk empat di Lembah Kinta. Umno tidak cukup satu kerusi untuk membentuk kerajaan. Pembangkang PPP dapat kerusi terbanyak – 12. Pembangkang PPP, Gerakan, DAP dan PAS idak bersatu mereka tidak dapat menubuhkan kerajaan.

Beberapa hari Perak tidak ada kerajaan. Tercetus tragedi 13 Mei, Tun Razak membentuk kerajaan Mageran mengisytiharkan darurat berkurung seluruh negera. Umno mengambil kesempatan di luar demokrasi memaksa Adun tunggal Melayu PPP menjadi Adun Umno, maka pun berkuasa semula.

Dua kali Umno kalah di Perak – PRU1969 dan PRU2008 – Umno mengatasinya, berkuasa tanpa sokongan majoriti rakyat. Ia membeli Adun pembangkang secara paksa. Zambry jadi Menteri Besar tahun 2009 seperti kaedah Umno membentuk kerajaan tahun1969 dengan mengepung Samsudin Harun, Adun PPP yang dijadikan Umno. Dia berkuasa tetapi majoriti rakyat Perak tidak bersama Umno.

Saya naik bot ke Pangkor tahun 2017. Seorang penumpang memberitahu saya, Zamby kalah dari peti undi Pulau Pangkor PRU 2013. Tetapi dia menang dengan undi TLDM. Ertinya dia bukan wakil rakyat tapi wakil TLDM.

Pada PRU14 Zambry menang Dun Pangkor tapi kalah Parlimen Lumut. Dipercayai pengundi bukan Melayu di Pangkor tidak seramai di Lumut. Zambry boleh belajar 95 peratus undi Cina tidak undi Umno dan PAS di kebanyakan kawasan. Ia tidak membantu Umno menang tapi ia membantu Umno kalah.

Aliran undi Cina begitu sejak 1957. Adakah patah ke belakang selepas ini? – HARAKAHDAILY 14/7/2018