‘Melukut tepi bangunan Parlimen’ jawabnya...

Nasional
Typography

SIDANG Dewan Rakyat akan bermula pada Isnin 16 Julai ini, sidang pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Sidang kali ini dijangka panas dan hangat dengan perubahan kedudukan susunan menteri, wakil kerajaan dan pembangkang serta tidak kurang wakil Bebas yang baharu membebaskan diri selepas PRU14.

wandinApatah lagi, cadangan untuk melantik Lim Kit Siang selaku Speaker Dewan Rakyat selepas tiga posisi penting dalam perundangan dan kehakiman diberi kepada bukan Islam iaitu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ehwal Undang Undang), Dato' Seri Liew Vui Keong, Peguam Negara, Tommy Thomas dan terkini, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum yang diketahui umum dengan kes-kes sensasi melibatkan isu-isu murtad dan sebagainya.

Maka keresahan di dada umat Islam semakin bertambah. Ada hujah yang kononnya menyatakan bahawa posisi itu tidak memberi kesan kepada perlembagaan mahupun ianya adalah formaliti sahaja, sedang setiap urusan perundangan tidak dibuat kelompok terbabit.

Hujah ini bagai menghalalkan lagi sebenarnya agenda tersirat pihak tertentu yang akan dan terus mencuba untuk mengusik lebih banyak urusan umat Islam khasnya yang telah termaktub dalam perlembagaan untuk dikurangkan, malah mungkin disamaratakan.

Lihat sahaja pengertian Istilah 'hifzuddin' yang ditafsirkan menteri yang menjaga ehwal agama, Dato' Dr Mujahid Yusof, yang diletakkan sebagai menjaga agama termasuk agama-agama lain selain Islam.

Sedangkan perkataan 'hifzuddin' dalam bahasa Arab, jelas ia istilah khusus yang berkait dengan Islam. Makna hifz- pelihara, ad-din dengan ditambah alif lam di hadapan bererti agama yang merujuk khusus kepada Islam. Justeru, hifzuddin bererti pelihara agama Islam.

"Sesiapa yang mencari selain Islam sebagai deen (agama sebenar), maka tidak diterima daripadanya, sedangkan dia di akhirat, termasuk di kalangan orang yang rugi." (Maksud Surah Ali Imran: 85)

Bayangkan mereka yang diamanahkan menjaga ehwal agama Islam sekalipun boleh sahaja membawa interpretasi yang sangat dangkal dalam menterjemah makna 'ad-deen', inikan pula mereka yang dalam kalangan bukan Islam mahu diharapkan menjaga urusan perundangan khasnya kebanyakan membabitkan soal Islam selepas ini?

Sejarah penyertaan mereka ini dalam kelompok pendesak yang bernaung atas nama hak asasi menjadi satu kegerunan dan kebimbangan kepada umat Islam, apatah lagi nanti jika Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula dinamakan sebagai Speaker Dewan Rakyat, maka apa sahaja usaha dalam memastikan perundangan, akta membabitkan syariah dan mahkamah syariah bakal "melukut di tepi bangunan parlimen" sahaja sifatnya selepas ini.

Apalah nasib Rang Undang-undang Akta 355 (RUU355) selepas ini andai penjaga pintu Dewan Rakyat nanti (jika berlaku) adalah dalam kalangan bukan Islam?

Sidang kali ini boleh memberi sedikit sebanyak gambaran awal apa yang bakal berlaku dalam lima tahun nanti sebelum PRU15, apakah hak dan kepentingan umat Islam bakal terus dirobek oleh mereka? Sama-sama kita nantikan adegan seterusnya. – HARAKAHDAILY 14/7/2018