Isu jawatan KHN ulangi krisis Kehakiman 1988?

Nasional
Typography

SIKAP dan cara Perdana Menteri (PM) Ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad mengendalikan pelantikan (atau penamatan) Ketua Hakim Negara yang termaktub dalam jaminan Perlembagaan Persekutuan, nyata lebih buruk, tidak bertanggungjawab, bahkan tidak berperlembagaan berbanding semasa beliau selaku PM Ke-4 mengendalikan krisis kehakiman tahun 1988.

Pelantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara pada 11 Julai 2018 dalam keadaan tiada kekosongan pada jawatan itu menyebabkan ianya terbatal dan tidak sah (null and void). Ini terjadi apabila pelantikan itu dibuat sewaktu Tun Md Raus Sharif masih lagi memegang jawatannya yang berakhir 31 Julai 2018.

Berdasarkan kronologi, isu pelantikan tersebut bermula dari laporan media pada 10 Jun 2018, di mana bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Dato' Seri Gopal Sri Ram dilaporkan mengutuk tindakan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin yang bertemu dan mengarahkan Tun Md Raus dan bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin meletakkan jawatan.

Pada 13 Jun, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan membuat siaran media bahawa Tun Md Raus dan Tan Sri Zulkefli telah mengutus surat peletakan jawatan kepada Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) bertarikh 7 Jun 2018. Ia telah diperkenankan Baginda sebagai berkuatkuasa pada 31 Julai. Kenyataan itu juga menyebut, "Peletakan jawatan itu telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda YDPA pada 8 Jun 2018 dan dimaklumkan melalui surat Setiausaha Sulit, Bahagian Pengurusan Diraja, Istana Negara bertarikh 11 Jun 2018."

Sehingga kini, tiada sebarang makluman rasmi dari Kerajaan mahupun dari Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan mengenai sebab dan perbezaan tarikh berkuatkuasa yang diperkenankan itu boleh diawalkan. Di sebalik ketiadaan makluman rasmi dari sumber berautoriti, jelas sekali Malaysia memiliki dua Ketua Hakim Negara secara serentak dari 11 Julai hingga 31 Julai 2018.

Malah, tiada sebarang penafian oleh Kerajaan mengenainya, selain Menteri Undang-undang juga sewaktu perbahasan di Dewan Rakyat pada 6 Ogos baru-baru ini memilih untuk tidak menjawab isu tersebut. Pada 6 Ogos 2018, dalam perbahasan di Dewan Rakyat, Menteri Undang-undang, Dato' Liew Vui Keong telah disoal bertali arus berkenaan isu pelantikan itu oleh ramai Ahli Parlimen.

Mereka ialah Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Takiyuddin Hassan; Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar; Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh a/l Karpal Sing; Pengerang, Dato’ Seri Azalina Othman Said dan Ayer Hitam, Dato’ Seri Dr Wee Ka Siong. Namun jawapan Menteri sangat mengecewakan, gagal sama sekali menjawab isu perbezaan tarikh peletakan jawatan tersebut dan peranan CEP yang mendesak peletakan jawatan mantan Ketua Hakim Negara.

Disulami kegugupan, Menteri kelihatan cuba menyembunyikan rahsia besar berkenaan isu penting ini. Menteri menyatakan Majlis Raja-raja yang bersidang 10 Jun telah memutuskan tarikh berkuatkuasa peletakan jawatan Tun Md Raus diawalkan, dan dengan itu PM telah menasihati YDPA supaya mengawalkan tarikh kuatkuasa kepada 10 Julai 2018.

Menteri juga bersandar Perkara 122(B) Perlembagaan Persekutuan mengatakan bahawa PM mempunyai prerogatif untuk menasihati YDPA dalam hal pelantikan tersebut termasuk Hakim-hakim lain. Namun kami berpandangan ketiadaan maklumat rasmi Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan telah membayangkan satu pencabulan serius terhadap peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai penamatan atau pemecatan jawatan Ketua Hakim Negara.

Kerana, pengawalan tarikh kuatkuasa peletakan jawatan Tun Md Raus selepas telah diperkenankan untuk berkuatkuasa pada 31 Julai 2018 menjadikan penukaran tarikh kuatkuasa itu sangat dirahsiakan. Selain campur tangan CEP untuk mendesak peletakan jawatan Tun Md Raus, dan kerahsiaan Majlis Angkat Sumpah sehinggakan tiada seorang pun Hakim Kanan yang hadir sewaktu Majlis tersebut.

Jawatan Ketua Hakim Negara (dan Hakim-hakim) adalah dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Sebarang usaha untuk memberhenti atau menamatkan pemegang jawatan itu hendaklah dibuat melalui penubuhan satu Tribunal di bawah Perkara 125(4) atas sebab-sebab yang diperuntukan melalui Perkara 125(3) Perlembagaan Persekutuan.

Kesukarelaan Tun Md Raus (jika jawapan Menteri boleh dianggap benar) untuk meletakkan jawatan berkuatkuasa pada 31 Julai 2018 dan telah pun diperkenankan oleh YDPA melalui surat bertarikh 8 Jun 2018, tidak boleh ditukar oleh sesiapa jua, terrmasuk oleh Majlis Raja-raja atau Perdana Menteri atau pun YDPA, melainkan satu surat baru atau persetujuan (untuk mengawalkan tarikh kuatkuasa peletakan jawatan) diperolehi dari Tun Md Raus sendiri. Sehingga persetujuan itu diperolehi daripada Tun Md Raus berdasarkan Perkara 125(2) Perlembagaan Persekutuan, tarikh kuatkuasa yang diawalkan tersebut adalah terjumlah kepada satu pemecatan yang tidak sah di sisi Perlembagaan.

Pada akhirnya, rakyat terpinga-pinga kenapa perlunya Tan Sri Richard dilantik dengan penuh ketergesaan dan kerahsiaan, tanpa perlu menunggu sehingga 1 Ogos 2018? Malah, ini seakan mengulangi krisis pemecatan Tun Mohd Salleh Abbas, Lord President (Ketua Hakim Negara) pada tahun 1988. Walhal selepas PH berjaya menubuhkan Kerajaan Persekutuan pasca PRU14, slogan utama yang dilaungkan adalah untuk menjunjung “Rule of Law” (Keluhuran Undang-undang).

"Sejahtera Bersama Islam"
"Mara Menuju Cita"

WAN ROHIMI WAN DAUD
Pengarah
Jabatan Hal Ehwal Undang-undang (JUHAM)
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 9/8/2018