MRT2: Surat Tony Pua tidak selesai masalah

Nasional
Typography

SURAT terbuka Setiausaha Politik Menteri Kewangan, YB Tony Pua kepada MMC-Gamuda tidak menyelesaikan masalah. Sebaliknya, timbul beberapa kekeliruan baru yang tidak membantu menyelesaikan masalah terutama yang melibatkan nasib pekerja-pekerja bawah tanah MRT2.

Isu pertama yang perlu diselesaikan segera tanpa membuka semula tender baru adalah mencari titik persefahaman mengenai kadar penjimatan yang sewajarnya disepakati bagi baki projek 60 peratus kerja-kerja bawah tanah yang belum diselesaikan.

Pihak MRT Corp, MMC-Gamuda dan jururunding dari Kementerian Kewangan mempunyai pandangan berbeza terhadap jumlah kos yang perlu dijimatkan antara 20% hingga 60%. Semua pihak perlu duduk semula ke meja rundingan untuk mendapatkan titik persefahaman tanpa perlu mengorbankan nasib pekerja dan risiko penyambungan kontrak yang lebih rumit.

Kementerian Kewangan seharusnya memberikan peratusan sebenar penjimatan yang relevan kepada MMC-Gamuda yang perlu dilakukan.

Isu kedua ialah pembukaan semula tender terbuka. Dalam kenyataan media MRT Corp yang bertarikh 8 Oktober 2018, tender baharu akan dibuka kepada syarikat antarabangsa. MMC-Gamuda juga melihatkan kebimbangan yang sama sekiranya syarat-syarat masih dikekalkan, maka hanya syarikat antarabangsa sahaja yang layak memperoleh kontrak berkenaan.

Walhal, daripada 10 senarai teratas pemegang saham Gamuda adalah terdiri daripada tabung rakyat seperti KWSP, KWAP, LTH dan ASB. Pulangan yang diperolehi daripada projek ini secara langsung akan dinikmati oleh rakyat juga.

Isu ketiga ialah nasib beribu rakyat yang memperoleh rezeki daripada projek MRT2. Kementerian Kewangan tidak boleh sewenangnya berkata, “you will find plenty of opportunities when the new project is awarded at a lower cost”.

Dalam keadaan kelembapan sektor pembinaan, ketidaktentuan ekonomi, dan pendekatan ‘austerity’ yang diambil oleh kerajaan, bukan mudah para pekerja yang diberhentikan ini boleh mendapatkan kerja-kerja yang lain. Kerajaan sekurang-kurangnya mesti memberikan jaminan pampasan yang akan dibayar kepada MMC-Gamuda ekoran daripada penamatan projek yang dilakukan ini. – HARAKAHDAILY 10/10/2018