Elak program merosak nilai agama dan budaya

Nasional
Typography

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah sangat berharap agar kerajaan mengutamakan program dan aktiviti masyarakat yang membina akal dan budi serta mengelakkan daripada mengadakan aktiviti yang menggalakkan kerosakan akal dan nilai budaya masyarakat Malaysia.

PAS Sabah sangat gembira apabila adanya program-program seperti Pesta Buku Borneo Borneo yang berlangsung di Kota Kinabalu baru-baru ini. Program seumpama ini akan membawa kebaikan kepada masyarakat dan boleh membangunkan semangat minat membaca yang seterusnya memberikan ilmu untuk seluruh masyarakat. Begitu juga dengan program-program kesukanan yang boleh menggalakkan semangat setiakawan dan kecerdasan fizikal dan mental.

Walaupun begitu, PAS Sabah sangat khuatir dengan beberapa program yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu yang tidak berkaitan langsung dengan nilai agama dan tatasusila masyarakat Malaysia. Walaupun program-program tersebut tidak diadakan di Sabah tetapi saya yakin dengan adanya media sosial yang tanpa sempadan, sedikit sebanyak akan memberikan kesan negatif terhadap masyarakat khususnya anak muda.

Sebagai contohnya, program pesta arak Octoberfest yang diadakan bermula hari ini. Begitu juga dengan Latin America Fest yang diadakan beberapa minggu lepas. Saya berpandangan aktiviti dan program seumpama ini merupakan 'pencemaran berat' kepada nilai agama dan norma masyarakat Malaysia. Kerajaan sepatutnya menjadi 'pengawal' kepada nilai-nilai ini bukannya menjadi 'perosak' kepada norma-norma yang baik ini.

PAS Sabah melihat ini adalah sebagai satu usaha untuk menghilangkan sedikit demi sedikit nilai agama dan budaya masyarakat tempatan. PAS Sabah sekali lagi berharap agar kerajaan yang ada sama ada negeri atau pusat menekankan kepada aktiviti dan program yang membina ilmu dan menjaga nilai-nilai tempatan.

MOHD AMINUDDIN ALING
Pesuruhjaya PAS Sabah
11 Oktober 2018 - HARAKAHDAILY 11/10/2018