Oktoberfest: Menteri wajar pelihara maslahah awam

Nasional
Typography

KEBENARAN diberikan oleh Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad untuk pesta arak Oktoberfest dilangsungkan di Ibu Negara telah menyerlahkan sikap tidak peka beliau terhadap risiko dan kesannya kepada masyarakat.

Malah, bagaikan satu lakonan, 'nasihat' Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr Mujahid Yusof Rawa kepada rakannya itu tidak lebih dilihat merupakan 'sokongan' untuk 'kelancaran' program tersebut.

Sejauh mana dapat dijamin tidak ada langsung orang Islam akan terlibat pada acara yang terang nyata maksiat dan munkar tersebut. Apakah kemudiannya wacana dangkal 'dosa peribadi' dan 'dosa awam' akan kembali dihujahkan?

Pihak Menteri mewakili Kerajaan PH sewajarnya menilai akibat dari pengambilan alkohol yang merekodkan banyak statistik buruk baik di Malaysia mahupun seluruh dunia. Apatah lagi dijadikan pesta sedemikian.

Ia sama sekali bukan budaya masyarakat di rantau ini yang kuat dengan resam ketimurannya. Bahkan negara baharu sahaja dikejutkan dengan tragedi keracunan alkohol pada bulan lalu melibatkan 40 kematian daripada 95 kes.

Majlis Keselamatan Jalan Raya juga pernah menyatakan bahawa 30 peratus punca kemalangan adalah disebabkan pengaruh alkohol. Hal sama juga punca kepada jenayah lain seperti zina, rogol, pergaduhan dan pembunuhan.

Bahkan, arak juga antara pencetus tertinggi kes masalah rumah tangga dan gejala sosial oleh semua kaum di negara ini. Sehingga bila semua ini dipekak-butakan hanya kerana semata-mata mahu memenuhi nafsu golongan tertentu?

Apakah janji "kajian akan dibuat" menjadi manifesto baharu disebalik kecederaan dan kematian berpunca dari arak yang saban minggu dilaporkan media? Walhal arak adalah kemungkaran yang tidak memerlukan 'intipan'.

Jelas di sisi Islam, mahupun pada nilai sosial dan kesihatan manusia arak membawa begitu banyak keburukan. Maka di dalam isu ini, di mana slogan "Rahmatan Lil 'Alamin" yang dicanang parti diwakili kedua-dua Menteri tersebut?

Sedangkan, wujud pilihan dan teladan lebih baik sebagaimana pernah ditunjukkan mantan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dato' Seri Mhd Amin Nordin apabila tidak meluluskan Better Beer Festival pada tahun lalu.

Kami tegaskan, kedangkalan dari kebenaran inilah bakal membarah 'dosa peribadi' meminum arak menjadi 'dosa awam' apabila ia menimbulkan kesan, mudarat atau bencana kepada pihak lain. Ketika itu, Khalid dan Mujahid perlu bertanggungjawab!

"Islam Memimpin"
"Terus Mara"
"Iltizam Bersama Islam"

USTAZ MOHD FARKHAN MD ZIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan - HARAKAHDAILY 11/10/2018