Bimbang bina hotel atas Bukit Bendera

Nasional
Typography

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) bimbang dengan cadangan pembinaan dua buah hotel di atas Bukit Bendera yang akan bertentangan dengan Pelan Kawasan Khas (SAP) bagi Bukit Bendera dan mendedahkan risiko serius terhadap kejadian tanah runtuh dan hakisan tanah bukan hanya kepada bukit itu sahaja tetapi juga kesannya kepada bahagian di bawahnya.

Menurut laporan akhbar, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata salah sebuah hotel itu akan dibina di belakang banglo Convalescent, manakala sebuah lagi akan dibina sepanjang cerun berdekatan kafe di Laluan Kuli.

Ketua Menteri mendakwa hotel itu akan dibina menurut garis panduan SAP.

Bagaimanapun, kami amat terkejut apabila membaca laporan bahawa Ketua Menteri berkata salah sebuah hotel itu akan dibina setinggi lima tingkat dengan 200 bilik yang terletak di belakang banglo Convalescent, ia akan mula dibina pada tahun depan dan “akan dibina lebih tinggi berbanding apa yang ditetapkan dalam SAP”, menurut Ketua Menteri.

Bagaimana kerajaan negeri boleh membenarkan pencabulan ke atas SAP yang bertentangan dengan undang-undang, memandangkan SAP mempunyai kuatkuasa undang-undang?

Menurut Ketua Menteri, rancangan bagi pembinaan hotel itu ditangguhkan memandangkan kawasan pembinaan melibatkan rizab hutan dan ia perlu ditangani. Hotel kedua dilaporkan pada peringkat perancangan.

Sementara Ketua Menteri berkata bahawa aspek keselamatan dan tanah runtuh yang berlaku di kawasan Bukit Bendera akan diambil kira, kami terkejut bahawa hotel itu akan dibina walaupun insiden lebih 200 tanah runtuh yang berlaku di Bukit Bendera itu sendiri pada tahun lepas. Terdapat juga tanah runtuh di luar kawasan Bukit Bendera.

Lebih-lebih lagi, tragedi tanah runtuh di Bukit Kukus pada bulan lepas dan tanah runtuh Granito di kawasan Tanjung Bungah pada tahun lepas jelas mendedahkan ketidakcekapan pihak berkuasa di peringkat negeri dan tempatan dalam berurusan dengan pembangunan di lereng bukit. Terdapat kekurangan kemampuan yang jelas di pihak kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk mengawasi dan memantau pembangunan di atas bukit dan lereng bukit. Terdapat juga tidakmampuan pemaju dan kontraktor projek di kawasan dua tragedi tanah runtuh dalam menjalankan kerja mereka dengan sempurna, jika tidak tragedi ini tidak akan berlaku.

SAP mengakui Bukit Bendera merupakan kawasan alam sekitar sensitif dengan ciri-ciri istimewa, dan berdasarkan fakta ini, kerajaan negeri perlu memberikan keutamaan dalam membaikpulih kawasan yang terjejas oleh tanah runtuh di Bukit Bendera, memulihkan kawasan yang terjejas dan mengambil semua langkah untuk melindungi Bukit, bukannya membenarkan lebih banyak pembangunan hotel di kawasan alam sekitar yang mudah terjejas itu.

Jelas, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pihak berkuasa tempatan tidak belajar daripada tragedi tanah runtuh baru-baru ini yang melibatkan kehilangan 20 nyawa, dengan kesan kemusnahan kepada alam sekitar di persekitarannya.

CAP dan SAM menggesa Ketua Menteri untuk tidak meneruskan dengan pembinaan dan rancangan bagi dua hotel di Bukit Bendera memandangkan ia merupakan kawasan yang amat sensitif serta mudah terdedah kepada kejadian tanah runtuh. Ini adalah pendekatan berhemah memandangkan alam semula jadi telah pun memberikan pengajaran kepada Kerajaan Negeri. Jangan lagi membuat kesilapan yang akan mengorbankan nyawa dan menjejaskan alam sekitar.

Sementara itu, Ketua Menteri juga perlu mendedahkan kepada umum rancangan dan cadangan dua hotel itu dan sebarang aktiviti komersial lain yang dirancang untuk Bukit Bendera supaya orang ramai boleh memberikan pandangan berhubung rancangan ini. Bukit Bendera merupakan bahagian yang paling berharga daripada warisan dan tarikan Pulau Pinang sebagai Pulau Mutiara, dan ia tidak seharusnya dikorbankan bagi tujuan kepentingan komersial yang sempit. – HARAKAHDAILY 9/11/2018

Penulis ialah Presiden CAP dan SAM.