Dilema PTPTN tiada kesudahan

Nasional
Typography

MEKANISMA baru pembayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dilihat lebih membebankan peminjam, dan turut membebankan majikan.

Paling terbeban adalah golongan belia dan keluarga muda (segmen M40) yang hidup di tengah bandar, berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup dan bebanan cukai yang meningkat mengikut pendapatan, ditambah pula dengan hutang sekeliling pinggang.

Pelbagai rungutan diterima setiap kali ada pengumuman baru oleh Menteri Pendidikan dan Pengerusi PTPTN.

Ternyata, ianya merupakan natijah kepada kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan memenuhi janji manifesto yang tidak munasabah, dan terpaksa mencari jalan singkat untuk menunaikannya.

Sudah tiba masanya isu PTPTN dikaji secara menyeluruh dengan mengambil pandangan semua pihak berkepentingan, khususnya peminjam itu sendiri.

Isunya bukan sekadar mekanisma pembayaran balik pinjaman, tetapi keseluruhan ekosistem PTPTN meliputi aspek pendanaan, pembiayaan, pematuhan dan kesedaran.

Sistem pengajian tinggi negara yang masih bergantung kepada subsidi kerajaan dan yuran pelajar juga wajar dikembangkan dengan mengambil kira alternatif pendanaan awam dan waqaf sebagai instrumen yang lebih mampan.

Pemuda PAS telah dan akan terus mengemukakan cadangan solusi bagi merungkai dilema yang dihadapi oleh PTPTN, Kerajaan, IPT dan pelajar dalam isu ini.

Justeru sudah tiba masanya untuk semua pihak berkepentingan duduk semeja bagi mencari formula terbaik menyelesaikan dilema PTPTN yang semakin membebankan ini.

SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi DPPM
7 Disember 2018 - HARAKAHDAILY 7/12/2018

ptn