21
Tue, May
31 Artikel Baru

Tidak lama lagi P. Pinang diperintah Melayu-Islam

Nasional
Typography

SAYA secara umumnya tidak menyukai Tun Mahathir atas beberapa sebab termaklum. Bukan sahaja kerana berlainan ideologi, malah kerana beberapa isu yang memperlihatkan beliau sebagai terlalu mengambil mudah dengan hal berkaitan Islam. Namun, saya terpaksa mengakui, watak Tun dalam politik tanah air, adalah sekeping ‘puzzle’ besar yang sangat penting kerana kelicikan beliau menguruskan kawan dan lawan politik, sepanjang perjalanan politik beliau. Jika ‘puzzle’ ini tidak dilekapkan pada papannya, maka ia tidak bermakna bagi politik Malaysia. Kali ini saya akan menulis hal beliau yang saya fikirkan agak positif dari sudut pandangan saya, walaupun mungkin ramai yang kurang bersetuju. Ini adalah pandangan peribadi saya.

Sudah termaklum oleh semua rakyat Malaysia akan perpindahan beramai-ramai pimpinan Umno kepada wakil bebas ataupun masuk Bersatu. Ianya kelihatan menjelekkan rakyat yang berpenat lelah menumbangkan BN kemudiannya bekas pimpinan BN juga menjadi orang kerajaan. Pi mai pi mai, tang tu. Perpindahan ini bukan secara kebetulan. Ia adalah hasil perancangan Tun bagi memastikan kekuasaan beliau kekal, paling kurang untuk sepenggal atau ajal beliau sampai, mana yang terdahulu. Semua mengetahui, Umno tidak akan dapat sekali-kali menerima Anwar atas alasan khianatnya dahulu, juga perebutan bagi membalas dendam dan ghanimah. Jika PKR dikuasai Anwar berkuasa penuh, maka pimpinan Umno akan menerima nasib yang malang. Jadi, jalan terbaik, berikan Tun kuasa supaya lebih kuat, bagi menyekat Anwar. Tun pun bukan sukakan Anwar, rahsia umum yang disimpan semua orang.

Di Sarawak, Tun membuka pintu politiknya bagi kemasukan Bersatu. Sesuatu yang tidak dibenarkan kepada Umno dahulu, atas kesefahaman dengan parti-parti di Sarawak. Kini parti-parti di Sarawak, telah membebaskan diri mereka daripada ikatan BN, jadi mereka tiada ikatan yang kuat dan memilih menyatakan sokongan kepada Kerajaan Pusat. Sudah pastinya apabila tunduk kepada kuasa besar, paling kurang ufti mesti dibayar. Maka menerima Bersatu sebagai satu parti di Sarawak, mungkin menjadi uftinya. Tun masuk Sarawak melalui Bersatu, tanpa diugut oleh parti-parti di Sarawak sebagai deposit tetap sesiapa, sebagaimana PBB dahulu beberapa kali menghalang Umno masuk Sarawak. Pastinya Pehin Taib Mahmud juga akan merasa aman dengan Tun, kerana jika DAP menguasai, maka beliau faham apa yang bakal terjadi. Tidur beliau bersama Permaisuri Lubnan akan terganggu dan wajah editor Sarawak Report, pasti membayangi hidup beliau.

Mutakhir ini, banyak tindakan Tun, menyamai kehendak PAS. Membayar royalti, menolak ICERD, tidak hadir himpunan Suhakam, keengganan untuk melaksanakan pilihan raya PBT antaranya. Tindakan ini saya melihat sebagai pemisahan Tun dengan bukan Melayu dan bukan Islam secara senyap kerana Tun sudah pun mula memasuki pasaran bagi pembelian pengundi Melayu-Islam. Tun sudah lihat bagaimana kira-kira lebih 90 peratus pengundi bukan Melayu bukan Islam telah mencurahkan majoriti yang tidak diduga pada PRU lalu kepada PH, ditambah dengan bantuan undi Melayu-Islam yang terpedaya. Namun, jika dikira semula, undi Melayu-Islam masih tinggi mengatasi bukan Islam jika semuanya dapat dikaut bergabung

Maka Tun membiarkan kebobrokan Menteri-menteri PH yang menjadi bahan lawak rakyat, termasuk pengundi PH dahulu pun, ada yang menyesal mengundi PH. Tun menjadikan zaman ketika Perang Dunia Kedua sebagai acuan tindakan ini. Ketika itu, rakyat merasa sangat merana hidup di bawah British dan dengan bersemangat memberikan laluan kepada Jepun untuk menguasai Malaya yang datang dengan motto Asia Untuk Orang Asia. Namun, hidup dua tahun setengah dengan Jepun, lebih menyeksakan. Ditambah lagi beberapa minggu hidup di bawah kuasa Komunis yang memerintah secara undang-undang rimba selepas kekalahan Jepun, cukup memeritkan. Mereka lebih rela hidup di bawah British. Inilah gambaran kepada rakyat Malaysia sekarang. Serba salah, tertipu, terhina, geram, semuanya kerana PH.

Impak undi Melayu

Undi orang Melayu-Islam sekarang terbuka kepada Umno dan PAS. Membiarkan Umno dan PAS bergabung, akan mengenepikan Bersatu. Maka Tun tidak mahu ketinggalan memasuki pasaran ini dan menolak ke tepi Umno. Lim Kit Siang dan Mat Sabu juga sedar perebutan ini, dan cuba juga menawarkan tempat bagi orang Umno dalam parti masing-masing. Tetapi wajah kedua mereka kepada orang Umno, tidak ternampak sebagai wajah peniaga yang jujur. Jadi tindakan-tindakan popular Tun, cenderung menjaga kepentingan Melayu adalah nilai yang ditawarkan kepada rakyat melalui Bersatu dan bukannya PH. Dengan mudah rakyat sekarang melihat Tun seperti sudah mula menunjukkan sikap ke-Melayuannya. Orang Umno sememangnya tidak boleh hidup susah kerana mereka sudah dilatih dengan kemewahan.

Tambah enteng bagi Tun, dengan sikap ke-Melayuan itu, orang Umno menjadi lembik tengkuk, longlai, sanggup cabut lari dari Umno. Tun tahu kelemahan itu. Justeru, Umno digoncang Tun bagi menggugurkan buah-buah yang tidak kukuh tangkainya bagi simpanannya. Orang Umno agak sukar menerima PAS. Itu sudah menjadi budaya semenjak dahulu. Seteru zaman berzaman. Atas sebab seperti tiada jaminan kekayaan kepada ahli, maka PAS bukan destinasi pilihan bagi mereka yang terjun dari kapal Umno.

Namun, orang PAS pula boleh pada bila-bila masa menerima orang Umno kerana ketaatan kepada pimpinan yang tidak mahu perbalahan yang tidak berkesudahan demi Islam. Sekarang, Tun mahu mengambil alih impian PAS untuk menjadi ‘King Maker’ dalam politik Malaysia. Setelah Sarawak mulai hendak ditawan, Umno datang menyembah, Bersatu memiliki kekuatan yang jauh lebih baik daripada ketika PRU dahulu. Itu belum lagi dikira orang PKR yang bila-bila masa boleh berpaling tadah. Bersatu boleh menumbangkan sesiapa dengan bantuan ketumbukan tentera politik mereka sedikit masa lagi.

Ini adalah lapisan atas yang dapat kita lihat jelas dari perancangan Tun. Tetapi saya lebih suka mengajak pembaca menumpukan perhatian kepada lapisan bawah yang tersirat yang bagi saya lebih penting iaitu penaklukan Pulau Pinang. Pulau Pinang ialah satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak pernah diperintah oleh Melayu-Islam. Bermula pada tahun 1959, Wong Pow Nee dari MCA yang diamanahkan memegang jawatan Ketua Menteri,. Kemudian pada tahun 1969, Dr Lim Chong Eu menduduki kerusi itu setelah membawa sebahagian ahli MCA keluar parti, menubuhkan Gerakan, selepas permintaan melampau beliau untuk kesamarataan kaum Cina, ditolak. Gerakan kemudiannya bergabung dengan BN bagi membentuk kerajaan. Setelah 26 tahun, Dr Koh Tsu Koon mengambil alih tugasan ini sebelum DAP menguasainya selepas PRU12, 2008. Kesemua mereka adalah Cina.

Umno, walaupun mempunyai majoriti kerusi di Dun, hanya layak memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri. Ketika itu, isu tanah wakaf di tengah bandar raya menjadi isu yang tidak berkesudahan, walaupun Umno memegang portfolio tanah dan agama. Kita tahu ada kuasa menekan. Tanah-tanah tinggalan India Muslim itu, pernah dilaporkan disewa oleh bukan Islam dengan harga yang sangat rendah dan perjanjian sewa beli itu juga dikatakan berjalan selagi ada bulan dan bintang. Penempatan Melayu semakin mengecil dan ada yang terpaksa berpindah keluar dari pulau. Pernah dicadangkan untuk jawatan Ketua Menteri digilirkan, namun ia dipandang sepi oleh Gerakan, walau hal ini bukan perjanjian, hanya kesefahaman.

Sekarang, BN tinggal hanya Umno dan MIC. Manakala MCA sudah tidak bergerak bersama BN, walaupun tiada rasmi penarikan diri mereka dari gabungan. Gerakan pula memecut laju keluar dari BN seawal dua bulan pertama kekalahan BN. Jadi BN sudah tiada wakil Cina di dalamnya secara zahir. Tun, akan bergerak atas nama PH yang Melayu-Islam dan sangat dipercayai akan menendang keluar DAP, parti Chauvinist, musuh yang Tun benci dahulu dengan mula meretakkan hubungan mereka dalam PH. Jika gabungan Melayu-Islam benar-benar diikat kemas dan rapi, Melayu-Islam dijangka akan dapat sekurang-kurangnya menang dengan majoriti mudah di Pulau Pinang.

Ini sangat munasabah kerana daripada 40 kerusi Dun ketika BN memerintah dahulu, Melayu Islam menguasai kira-kira 12-15 buah kerusi. Dan harus diingat, kebanyakan kerusi Cina dahulu, menangnya mereka dibantu oleh undi Melayu Umno. Tetapi belum tentu menangnya kerusi Melayu BN asbab bantuan daripada Cina, kerana sejarah telah menukilkan, Cina telah beberapa kali melarikan undi mereka kepada lawan Umno, tetapi Umno tetap juga menang. Itu ketika Melayu-Islam tidak bersatu. Ketika itu, jika Gerakan menumpang kapal PH sekali pun, mereka tidak boleh mendabik dada meminta kembali Pulau Pinang diserahkan kepada mereka. Persefahaman berlaku hanya ketika bersama BN dahulu. Sekarang yang ada ialah Bersatu, jelmaan BN dahulu, wajah yang serupa, nama yang berbeza dan tiada perjanjian.

Tun menepis tekanan

Dong Zong juga tidak boleh menolak Tun sehingga ke dinding, memaksa Tun memenuhi senarai tuntutan mereka sebelum PRU yang sentiasa diberikan dahulu. Tidak akan ada juga tuntutan (Sijil Peperiksaan Bersepadu) UEC. Kerusi-kerusi pilihan raya tidak lagi diberikan dengan banyak kepada Cina. Mungkin akan dibahagi lebih banyak kepada kaum India. Pilihan raya PBT akan hanya menjadi mimpi DAP yang tak kunjung tiba. Mengapa saya berkeyakinan begini? Kerana Tun seorang yang kuat berdendam dan tidak suka diugut. Beliau pasti mencari masa untuk membalas ugutan ini. Beliau sabar dan tahu bila untuk bertindak balas. Bersabar dalam memburu, akan mendapat hasil yang lumayan. Lihat sahaja dahulu, Tun Ling Liong Sik, Presiden MCA terlama bersama Tun. Beliau sentiasa mengikut arus Tun. Tidak melawan angin. Beliau selamat sehingga kini. Ke mana perginya kes PKFZ? Tun tidak mendendami beliau.

Tun mengambil kira Himpunan Menolak ICERD sebagai tanda aras. Katalah apa pun, isu bangsa dan agama adalah isu yang paling ampuh untuk digunakan ahli politik bagi memenangi PRU di Malaysia. Walaupun ada cubaan bagi menyamaratakan hak bangsa, percayalah, ianya tidak akan berlaku, mungkin bagi tempoh 20-30 tahun lagi. Tun mengambil isu ini sebagai ‘hot spot’ persengketaan antara rakyat untuk beliau menangguk ikan-ikan yang kepeningan. Ia tidaklah sukar dibaca, persis perilaku penjajah yang sentiasa meninggalkan titik panas pada setiap tanah yang mereka jajah. Kashmir menjadi ‘hot spot’ kepada India dan Pakistan. Mindanao pula pusat persengketaan Filipina. Di Selatan Thailand, Pattani dipecah-pecahkan bagi memudahkan perperangan. Jadi, di Malaysia, Tun meniru kaedah ini.

Oleh itu, musuh lama Tun, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, walau pun kelihatan tersenyum riang selepas kemenangan mereka Mei lalu, mereka tahu, akan ada sesuatu yang dahsyat bakal berlaku. Tinggal lagi bilakah waktunya. Jika kemusnahan DAP berlaku, ia bermakna Red Beans Army belaan DAP berkerja siang dan malam mencipta fitnah, sebenarnya membantu kemusnahan itu dengan melonjakkan Tun pada PRU dahulu, dan Tun kembali menerkam DAP. DS Anwar dahulu pernah dimaklumkan oleh seorang rakan Cina saya dari Pulau Pinang bahawa Cina melihat Feng Shui Anwar, ada ‘ong’ dan percaya beliau suatu hari akan menduduki kerusi PM. Saya sekarang mulai ragu dengan Feng Shui itu kerana Anwar disukai Cina kerana beliau tunduk dan cenderung menuruti kehendak Cina. Tetapi ianya tidak berlaku kepada Tun. Beliau tidak memberi percuma, melainkan beliau memastikan akan ada balasan kepada pemberiannya.

Di manakah PAS? PAS perlu mengakui dalam pertarungan ini, lebih baik mereka bersikap seperti ayam yang duduk di tepi lesung. Biarkan lesung dan alu berperang, kita mengutip padinya. Machiavelli sebaiknya bertarung dengan Machiavelli. PAS juga akan gembira jika Pulau Pinang dirampas oleh Melayu-Islam. Sekurang-kurangnya ianya boleh memadamkan jolokan ‘Hatyai Malaysia’ yang diberikan pelancong. Anda pasti memahaminya. Tun dikurniakan Allah dengan kehebatan mematahkan serangan musuh. Terkadang, kita boleh menumpang beliau jika Islam tidak terjejas, walaupun kefahaman Islam beliau ke laut. Rom dan Parsi berperang, Rasulullah isytihar sokong Rom.

PAS perlu menumpukan kerja keras mereka ke atas dua negeri yang dimiliki sekarang. Nama kedua-dua Ketua Negeri yang dikuasai PAS sekarang ini, cukup harum dengan kehebatan yang dikagumi rakyat dari seluruh pelosok negara. Mereka tidak berdendam, tidak menyalahkan orang lain, menjadi pujian. Mereka cukup bijak dalam menjalinkan hubungan dengan pusat. Inilah tarikan undi kita. Biarkan mereka yang berfahaman Liberal berangan mahu merampas Kelantan dan Terengganu pada PRU akan datang. Saya lebih cenderung mengatakan Pulau Pinang mungkin dahulu akan dirampas Melayu-Islam. Kita tunggu untuk melihat wajah-wajah orang ‘Penang’ ketika itu. Anwar, Lim Guan Eng dan Mat Sabu.

Untuk kali ini, saya sokong Tun membelasah DAP dan berharap ianya menjadi kenyataan. Dan ke mana arah tuju PAN? InsyaAllah rakyat membuang ke longkang, kerana rakyat sudah mengenali isi hati budi mereka sekarang yang sedia berkhianat kepada orang sendiri demi DAP. Ingat watak Buang dalam filem Sarjan Hasan?

MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
16 Disember 2018 - HARAKAHDAILY 16/12/2018