20
Thu, Jun
39 Artikel Baru

Tabung Haji: Apakah kerisauan kita? (Bah. Akhir)

Nasional
Typography

...SAMBUNGAN

B.     Mengenai TH di bawah pengawasan Bank Negara (BNM)

Dr Mujahid juga memaklumkan Kabinet bersetuju untuk meletakkan BNM diletakkan di bawah kawal selia BNM. 

Kebimbangan yang timbul ialah TH hanya akan menjadi entiti yang mementingkan soal mencari keuntungan semata-mata. Model bisnes Anglo-Saxon. Dibimbangi soal kemudahan dan kebajikan jemaah haji akan menjadi kepentingan sampingan sahaja.

Namun, kebanyakan kawan-kawan yang saya kenali dalam industri perbankan mengalu-alukan langkah ini sebagai satu langkah positif. Ini kerana TH tidak tertakluk kepada akta perbankan yang mewajibkan TH dikawal selia oleh BNM. Ini menjadikan pengurusan kewangan dan monetarinya agak longgar kerana tidak terikat untuk menggunakan amalan-amalan perbankan yang lebih telus dan ketat, dengan mengambil kira aspek pengurusan risiko dalam menguruskan pelaburan.

Tanpa kawal selia BNM, TH boleh sewenang-wenangnya menguruskan dana pendeposit secara ‘kekampungan’ dan ‘berbentuk dalaman’. Di mana ia akan lebih mudah terdedah kepada penyalah-gunaan dan kesilapan tadbir urus sebagaimana yang telah berlaku sebelum-sebelum ini. Walhal dana yang diuruskan oleh TH telah berkembang secara signifikan berbanding dengan dana yang diuruskan pada awal penubuhannya. Kesilapan menguruskan dana TH boleh memberikan impak yang besar kepada industri pelaburan dan perbankan negara juga.

Saya kira persoalan mengenai pengawasan BNM dalam aspek ini, boleh dipersetujui oleh semua pihak.

Namun penegasan perlu dibuat bahawa TH tidak akan melupakan peranan utamanya iaitu menjaga kebajikan dan kepentingan jemaah haji, selain daripada kecaknaan ekslusif kepada para pendepositnya juga. TH mestilah kekal dipandu oleh Akta Tabung Haji 1995, bukan bertukar arah sebagai entiti korporat semata-mata.

C.     Mengenai Special Purpose Vehicle (SPV) yang diuruskan oleh Kementerian Kewangan

Pada 11 Disember 2018, Datuk Seri Zukri Samat, CEO TH dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan mengumumkan bahawa sebuah syarikat (SPV) di bawah Kementerian Kewangan akan mengambil alih aset TH yang tidak menguntungkan bernilai RM19.9 bilion.

"Sebagai pertukaran kepada aset, SPV akan terbitkan RM10 bilion sukuk tujuh tahun dan Saham Islamik Boleh Ditebus Boleh Ditukar (RCPS-i) berjumlah RM9.90 bilion," katanya pada sidang media tersebut.

Ini bermakna tiada urus niaga tunai antara TH dan syarikat SPV di bawah Kementerian Kewangan tersebut. 

Antara maklumat lain berkenaan SPV yang didedahkan ialah ia akan berperanan untuk membiayai, menjual atau membeli aset-aset tersebut secara ketat.

Aset-aset yang diserahkan kepada SPV adalah terdiri daripada hartanah dan ekuiti. Bagi hartanah, iaitu hartanah yang mempunyai hasil kurang daripada dua peratus. Sementara bagi ekuiti pula, yang mempunyai kadar rosot nilai melebihi 20 peratus. SPV adalah sah untuk tempoh yang fleksibel antara 12 hingga 99 tahun. Jika SPV bankrap, ia tidak akan menjejaskan syarikat induk.

Beberapa kebimbangan kita ialah;

i-     Penyerahan hampir 30 peratus daripada nilai aset keseluruhan TH yang dilaporkan bernilai RM73 bilion kepada pihak SPV. Ini adalah suatu nilai yang sangat besar untuk diuruskan oleh pihak lain, sekalipun daripada Kementerian Kewangan. Silap langkah di sini boleh menjerumuskan TH ke sebuah lubang besar yang lain, yang lebih sukar untuk dikambus semula.

ii-     Masa fleksibel yang diberi kepada SPV untuk memulihkan semula aset tersebut adalah terlalu luas. Jika masa baik pulih yang diperlukan benar-benar memakan masa selama 99 tahun, tentulah pertambahan nilai 50 peratus daripada RM19.9 bilion pada waktu itu tidak lagi signifikan.

iii-     Jika SPV gagal memulihkan aset-aset tersebut, SPV juga terdedah kepada kebankrapan. Walaupun SPV yang bankrap tidak menjejaskan syarikat induk, namun syarikat induk akan kehilangan hampir 30 peratus nilai asetnya.

D.     Pertembungan Laporan-laporan Audit

Persoalan timbul bagaimanakah audit dilakukan kepada Laporan Kewangan TH? Adakah TH berhak untuk tidak mendedahkan aktiviti kewangannya yang tertentu kepada syarikat yang mengauditkan akaunnya? Sehingga timbul kesangsian berikutan pertembungan laporan audit daripada syarikat-syarikat audit yang berwibawa di negara kita dan juga Jabatan Audit Negara.

Bagaimanakah pula bentuk Laporan Kewangan Lembaga Tabung Haji yang diaudit pada tahun-tahun yang mendatang?

Yang lebih parah, sehingga timbulnya ‘Dividen Haram’ yang diisytiharkan Menteri oleh sebuah institusi pelaburan Islam tersohor seperti TH!

Keperluan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja atau Jawatankuasa Bebas Parlimen yang menyiasat kemelut Kewangan TH

Dengan kerisauan-kerisauan sebesar ini, TH tidak wajar menguruskan krisis kewangannya secara dalaman sahaja. Kita bimbang, ada lagi ‘sampah’ yang mampu disembunyikan di bawah permaidani, walaupun telah ramai yang memegang penyapu untuk membersihkannya.

Sebuah Suruhanjaya Di Raja wajar dibentuk untuk menangani kemelut ini. Atau sekurang-kurangnya, sebuah Jawatankuasa Bebas Parlimen wajar dibentuk. Fakta-fakta perlu disahkan. Cadangan-cadangan pemulihan perlu dicadangkan secara komprehensif. Pihak yang bersalah wajar dibawa ke muka pengadilan.

Jika tidak, beberapa kesan limpahan daripada krisis ini akan merebak membentuk krisis-krisis lain pula. Antara yang bakal menerima kesan langsung daripada kesilapan tadbir urus melampau di TH ialah anak syarikat TH dalam bidang kewangan Islam, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan juga BIMB Holding Berhad (BHB).

Kegagalan TH akan menjejaskan BIMB dan BHB. Semoga Allah S.W.T menjauhkan kita daripada malapetaka ini.

Beberapa perkara yang perlu diberi perhatian

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, ada memberikan isyarat bahawa Akta TH mungkin akan dipinda. Pindaan pada akta perlulah dilakukan dengan sangat berhati-hati. Jangan sampai matlamat utama TH ditubuhkan turut dikompromi.

Antara perkara lain yang perlu diberi perhatian juga ialah menentukan bentuk hubungan pendeposit dengan TH. Adakah ia berbentuk wadiah, al-qardhul hasan atau mudhorabah? Pelaburan-pelaburan TH dilihat mengandungi unsur-unsur risiko yang agak tinggi, sepatutnya tidak dibuat jika akad antara pendeposit dan TH hanya setakat akad wadiah semata-mata. 

Mungkin sudah masanya TH, membuat kajian semula terhadap perkara ini.

Kejatuhan Bursa Malaysia dan aliran keluar para pelabur yang ketara setelah pertukaran pentadbiran di peringkat Kerajaan Persekutuan juga, wajar diberikan perspektif yang betul mengenai kejatuhan nilai aset TH.

Pengurusan baharu TH mendepani cabaran getir

Pasukan pengurusan baharu TH di bawah Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Zukri Samat wajar diberi sokongan untuk memulihkan semula TH. Datuk Seri Zukri adalah nama yang tidak asing lagi kepada pemain-pemain dalam industri perbankan, apabila beliau berjaya memulihkan Bank Islam daripada kerugian teruk yang dialaminya pada tahun 2005.

Kita berharap Lembaga Pengarah TH yang baru dapat bekerjasama dengan baik dan profesional dengan pasukan pengurusan ini.

Kebimbangan kita ialah wujudnya ‘tangan ghaib’ di sebalik tabir ‘kuasa’ yang mampu menggugat keberkesanan perancangan kumpulan profesional ini demi mencapai keuntungan politik ‘segera’ dan ‘tidak menguntungkan ummah’.

Penutup

TH adalah permata hati ekonomi umat Islam di negara kita. Kesakitannya adalah kesakitan kita. Kuatnya adalah kekuatan kita. Lemahnya membahayakan kita. Robohnya, sukar untuk kita dibayangkan.

Kerisauan-kerisauan yang kita kemukakan patut diberi perhatian oleh pihak-pihak berkaitan. Ia adalah isu besar yang menuntut kecaknaan semua pihak. Apa yang kita saksikan di dalam media, hanyalah cebisan kecil daripada bongkah ais besar yang masih terendam di dalam air.

Suka atau tidak, kita sangat perlukan penyelesaian tuntas kemelut TH. Untuk itu, siasatan menyeluruh perlu segera dibuat tanpa bertangguh lagi.

ZAKARIA ISMAIL
AJK PAS Kawasan Marang
6 Januari 2019 - HARAKAHDAILY 6/1/2019