20
Thu, Jun
42 Artikel Baru

Bantu pesawah, tingkat industri padi

Nasional
Typography

KEHIDUPAN pesawah kian tersempit akibat peningkatan kos pengeluaran padi dan pengurusan sawah setiap tahun di negara kita malah ada segelintir mereka terpaksa menanggung kerugian.

Peningkatan kos ini merangkumi kos jentera, sewa tanah, kos buruh dan membeli baja, racun serta benih padi.

che aliasSelain itu, ancaman padi angin juga turut menyebabkan pendapatan pesawah terjejas dan sekali gus merugikan industri padi.

Padi angin merupakan sejenis padi yang mudah relai dan akan gugur ke tanah sebelum sempat dituai hingga menyebabkan kehilangan hasil tanaman.

Di samping itu, keluasan kawasan sawah yang saban berkurang akibat pembangunan, perniagaan komersial dan pembinaan jalan raya juga antara isu yang dibimbangi. Lebih-lebih lagi di Kedah-Perlis merupakan jelapang padi yang telah menyumbang 40 peratus pengeluaran beras negara turut terjejas.

Jika masalah ini tidak diselesaikan dengan baik, pesawah yang rata-rata kategori B40 akan terus dibelenggu kemiskinan dengan kos sara hidup yang tinggi.

Malah kedaulatan makanan negara boleh terjejas jika Malaysia terus bergantung kepada beras import apabila dilihat trend import beras meningkat tiga hingga lima peratus setahun.

Kerajaan digesa untuk membantu pesawah dari aspek kos pengeluaran padi dan pengurusan sawah bagi meringankan beban mereka sekali gus meningkatkan kualiti beras negara ini.

Walaupun taraf hidup pesawah tidak banyak berubah biarpun diberikan bantuan dan subsidi, namun Kerajaan perlu melakukan kajian secara spesifik punca utama taraf hidup pesawah masih ditahap yang sama.

Pihak Kerajaan perlu menyiasat kandungan benih padi, baja dan racun yang dibekalkan oleh anak syarikat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang telah menyebabkan berlakukan ancaman padi angin yang memberikan kerugian kepada pesawah.

Jika berlaku ketirisan pada saluran benih padi dan baja yang tidak berkualiti, tindakan yang sewajarnya perlu segera diambil.

Selain itu, Kerajaan boleh teruskan penggunaan teknologi iaitu Sistem Pengeluaran Clearfield (SPC) yang merupakan cara membendung padi angin.

Jika Kerajaan tidak memandang serius isu ini dan enggan membantu pesawah, saya bimbang industri padi akan menjadi mundur pada masa akan datang sedangkan beras merupakan makanan ruji 32.4 juta rakyat Malaysia.

“Islam Memimpin”

TUAN CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman
24 Januari 2019 / 18 Jamadil Awal 1440 – HARAKAHDAILY 25/1/2019